Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pokok di Yio Chu Kang "dipakaikan baju" warna-warni sempena Hari Kebangsaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bak kata pepatah, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit.

Itulah yang dicapai menerusi usaha para penduduk dan relawan daerah Yio Chu Kang yang berjaya menghiasi 31 batang pokok di sekitar kawasan kejiranan Yio Chu Kang.

Yang menariknya, pokok-pokok itu dihiasi dengan lebih 1,500 helai kain kait sempena Hari Kebangsaan Singapura.

Setiap helai kain itu berukuran 15 sentimeter kali 15 sentimeter.

SENI KAIT LIBATKAN LEBIH 40 PENDUDUK YIO CHU KANG

Sejak April lalu, lebih 40 penduduk Yio Chu Kang berusia antara 17 tahun hingga 70an tahun meluangkan masa hujung minggu mereka bagi menyiapkan kraftangan itu bersama-sama.

--

Idea kreatif tersebut dipanggil "yarn bombing" atau seni mengait menggunakan benang pelbagai rona.

Projek yang dinamakan 'Our Yarny Trees' itu dianjurkan oleh kelab Masyarakat Seni dan Budaya Yio Chu Kang, beberapa pertubuhan akar umbi dan YarnbombingSG.

Corak-corak yang dihasilkan juga bertujuan menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 9 Ogos ini.

Menurut pengerusi Kelab Masyarakat Seni dan Budaya Yio Chu Kang, Cik Catherine Soh, tahun ini adalah kali pertama kawasan kejiranan Yio Chu Kang dihiasi dengan seni kraftangan sedemikian.

Di samping menyemarakkan semangat ulang tahun negara, projek 'Our Yarny Trees' ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan para penduduk.

"Matlamat inisiatif ini adalah untuk meraikan Hari Kebangsaan Singapura dan menyatukan para penduduk dan relawan. Justeru, pada pendapat saya ia adalah projek yang amat seronok dan bermakna. Malah, hasil kraftangan itu boleh digunakan semula selepas ini," kongsi Cik Catherine kepada BERITAmediacorp.

SITI HAJAR NORDIN BERJAYA SIAPKAN LEBIH 100 KEPING HELAI KAIN KAIT

Antara yang terlibat dalam projek ini termasuk Cik Siti Hajar Nordin, 39 tahun yang berjaya menyiapkan lebih 100 keping kain kait dalam masa dua bulan.

--

Meskipun agak mencabar untuk menyiapkannya sebelum Hari Kebangsaan, beliau akur berasa berbesar hati dapat ikut serta dalam projek ini dan segala penat lelahnya berbaloi setiap kali menikmati keindahannya.

Suri rumah itu memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau berasa berbesar hati dapat ikut serta dalam projek tersebut.

Kata Cik Siti: "Siapa yang nampak mesti tersenyum sebab ia mewarnai taman dan dalam masa yang sama juga mereka yang terlibat juga berasa bangga kerana dapat menyumbang kepada projek ini.

"Kita sama-sama dapat bergotong-royong untuk menghiasi taman sempena Hari Kebangsaan."

-

Selain menyuntik elemen warna-warni, ia juga diharap dapat menarik lebih ramai penduduk ke taman ini bagi menikmati dan menghargai alam sekitar.

Hasil kraftangan tersebut akan dipamerkan sehingga hujung bulan ini.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan