Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

POFMA terbukti 'langkah tepat', tidak hadkan perbincangan orang awam, kata Janil Puthucheary

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih dua tahun selepas undang-undang untuk membanteras berita palsu berkuat kuasa, "jelas" bahawa undang-undang tersebut tidak menghadkan pendapat dan kritikan ataupun pelibatan orang awam dalam perbahasan, menurut Dr Janil Puthucheary. 

Merujuk kepada Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA), Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan itu menambah: "Mereka yang sudah menerima arahan POFMA masih terus menyuarakan pendapat mereka online." 

Beliau juga menarik perhatian bahawa orang awam masih aktif menulis kepada pejabat yang mentadbirkan undang-undang tersebut untuk memaklumkan tentang berita yang mungkin palsu ataupun untuk memeriksa satu-satu isu. 

"Pelibatan orang awam dalam proses ini ialah satu sebab mengapa kami rasa kami sudah mengambil langkah yang betul," kata Dr Puthucheary, yang bercakap di persidangan pada Khamis (27 Jan) mengenai menangani isu maklumat palsu di Asia Tenggara, yang dianjurkan oleh jabatan kajian firma komunikasi Black Dot. 

Terdapat kecaman daripada kalangan orang-orang terpelajar, aktivis masyarat sivil dan juga anggota parti pembangkang apabila undang-undang itu dilakarkan dan dibahaskan untuk pertama kali. Antara sebab utama adalah ia akan menghadkan lagi kebebasan bersuara di Singapura. 

Namun, undang-undang tersebut diluluskan selepas perbahasan di parlimen selama dua hari pada Mei 2019 dan berkuat kuasa lima bulan kemudian. 

Dr Puthucheary mengakui kritikan tersebut, tetapi berkata bahawa undang-undang berkenaan terbukti membantu perjuangan Singapura terhadap pandemik COVID-19, yang menjadi satu infodemik memandangkan terdapat tindakan untuk mencetuskan keraguan tentang vaksin-vaksin. 

Beliau juga berkata kebanyakan kes POFMA berhubung kait dengan maklumat salah tentang COVID-19. 

Apabila arahan pembetulan dikeluarkan di bawah Akta tersebut, ia harus diikuti dengan penjelasan daripada Pemerintah, selain catatan online yang mengandungi berita palsu itu. 

"Merit pembetulan itu menambah kepada kemantapan imuniti yang kami cuba bangunkan dalam kalangan orang awam. Orang awam boleh membaca kedua-dua berita palsu dan fakta dalam penjelasan Pemerintah serta komentar tentang isu tersebut dan membuat pilihan sendiri," tambahnya. 

"Kami percaya dengan pendekatan kami - untuk mencegah kepalsuan dan naratif palsu yang tular online dengan menyediakan lebih fakta." 

TIGA STRATEGI 

Walau bagaimanapun, undang-undang hanya sebahagian daripada pendekatan tiga peringkat Pemerintah untuk mencegah maklumat palsu, kata Dr Puthucheary. 

Selain undang-undang, penting untuk memupuk masyarakat awam yang berpengetahuan untuk menilai maklumat dengan bijak, memandangkan kecenderungan para pembaca untuk memilih maklumat yang sejajar dengan pendirian mereka sendiri. 

"Kami tidak boleh dan tidak mahu hanya bergantung kepada POFMA sahaja. Ia adalah mekanisme 'tindak balas'," kata Dr Puthucheary lagi. 

Untuk membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, Pemerintah perlu secara proaktif berkomunikasi dan mengedarkan maklumat yang tepat dan tepat pada waktunya menerusi pelbagai wadah. 

"Ini akan mengurangkan ruang untuk maklumat palsu, terutama sekali semasa COVID-19," tambahnya. 

Kumpulan-kumpulan masyarakat dan individu-individu juga memainkan peranan utama untuk menangani maklumat palsu. 

"Orang ramai mempercayai fakta apabila ia datang daripada mereka yang terdekat dan dipercayai - seperti anggota keluarga ataupun kawan-kawan. Hubungan-hubungan itu boleh membantu menangani kebimbangan dan keprihatinan pada waktu ini di mana terdapat begitu banyak maklumat palsu, terutama sekali maklumat yang rumit dan mempermainkan perasaan dan rasa takut." 

Strategi ketiga adalah untuk menggalakkan pembangunan sistem pengesahan fakta, menurut Dr Puthucheary. 

Mengesahkan fakta adalah tugas yang menggunakan sumber dan selalunya sukar untuk dilakukan sendiri. 

Oleh itu, beliau berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama antara pertubuhan-pertubuhan pengesahan fakta dan juga pertubuhan-pertubuhan lain, khususnya syarikat-syarikat teknologi yang mempunyai sumber untuk menyediakan dan membangunkan keupayaan untuk mengenal pasti maklumat palsu di wadah-wadah mereka. 

"Mereka juga boleh menyediakan wadah yang boleh dipercayai bagi pengesahan fakta, dengan akses kepada data untuk mengenal pasti yang lebih kukuh lagi maklumat palsu," kata Dr Puthucheary. 

"Syarikat-syarikat teknologi boleh dan harus memperluaskan kerja yang dilakukan wadah pengesahan fakta menerusi wadah-wadah mereka, memandangkan kebanyakan orang yang melihat berita palsu itu mungkin tidak akan lihat pengesahan fakta ataupun penjelasan yang diberikan." 

Sekalipun demikian, beliau menambah bahawa syarikat-syarikat teknologi perlu sensitif kepada konteks dan nilai-nilai tempatan apabila mereka mengesahkan berita palsu dan memerlukan penduduk asal tempat atau negara tersebut untuk memberikan kata putus. 

Sebagai penutup di sidang tersebut, Dr Puthucheary mengatakan bahawa Singapura merupakan negara yang bergerak pantas untuk menangani maklumat palsu online melalui pelbagai strategi, namun taktik-taktik dan naratif-naratif maklumat palsu sekarang sudah berubah dan menjadi lebih canggih. 

"Pemerintah-pemerintah di rantau ini dan juga merata dunia sedang mengemas kini peraturan dan strategi mereka untuk mengatasi maklumat palsu. Kita juga harus terus belajar daripada pengalaman mereka." 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan