POFMA galak demokrasi, tidak lemahkan pembangkang, kata Shanmugam tentang GE akan datang
Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) tidak melemahkan pihak pembangkang tetapi sebaliknya "lebih menggalak demokrasi", kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dalam program In Conversation yang disiarkan pada 21 Jun 2020.
SINGAPURA: Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) tidak melemahkan pihak pembangkang tetapi sebaliknya "lebih menggalak demokrasi", kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.
Beliau berkata demikian semasa ditanya hos Diana Ser dalam program 'In Coversation' pada Ahad (21 Jun), tentang POFMA dan Pilihan Raya Umum akan datang.
Rang Undang-Undang yang hebat dibahaskan itu diluluskan pada Mei tahun lalu dan mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober. Pilihan Raya Umum akan datang bakal menjadi yang pertama diadakan dengan pelaksanaan POFMA.
Cik Ser sebelum itu meminta Encik Shanmugam mengulas kritikan yang mendakwa POFMA melemahkan kedudukan pihak pembangkang.
"Anda boleh mengkritik dasar-dasar Pemerintah, memberi pandangan anda tentang Pemerintah. Anda boleh menyarankan alternatif lain. POFMA tidak boleh dikenakan terhadap sebarang tindakan seperti itu," terang Encik Shanmugam.
"Hanya apabila anda mendakwa... fakta-fakta tertentu adalah tidak benar atau anda berbohong, anda perlu mengeluarkan notis. Saya tidak melihat itu sebagai satu isu."
Arahan pembetulan POFMA memerlukan penerima memuat naik notis dan kenyataan yang menjelaskan bahawa apa yang dikatakan adalah tidak benar. Mesej dan dakwaan asal tidak perlu dipadamkan, supaya para pembaca boleh membuat perbandingan antara kenyataan asal dengan notis pembetulan.
"Arahan POFMA memerlukan anda mengeluarkan notis yang menyatakan apa yang diungkapkan adalah tidak benar. Jadi ia tidak meletakkan anda dalam kedudukan yang merugikan," tambah Encik Shanmugam yang akur, notis dikeluarkan akan dikaitkan pada pautan dengan fakta-fakta sedia ada. "Orang ramai membaca apa yang anda tulis. Mereka juga baca penjelasan Pemerintah. Dan mereka boleh membuat penilaian sendiri."
Encik Shanmugam berkata, ini "sebenarnya lebih menggalak demokrasi" kerana ia membentangkan lebih banyak maklumat untuk direnungkan masyarakat.
"Anda hanya boleh mempersoalkan tentang 'censorship' (penapisan maklumat) apabila rencana anda diturunkan," kata Encik Shanmugam. "Tetapi rencana anda masih ada di situ. Jadi apa yang hendak anda malukan?"
Pihak berkuasa boleh mengeluarkan arahan menurunkan rencana di bawah POFMA bagi kes-kes ekstrem tetapi tiada perintah sedemikian dikeluarkan sejauh ini. Kebanyakan arahan POFMA yang dikeluarkan berbentuk arahan pembetulan.
Orang ramai juga berhak mencabar arahan POFMA di mahkamah, jelas Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa "kita perlu menggalak perbincangan berdasarkan dasar-dasar dan fakta".
Dalam kalangan anggota parti pembangkang, Brad Bowyer dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) diarah membuat pembetulan terhadap satu catatan Facebook yang dimuat naik pada November tahun lalu. Ia merupakan kali pertama POFMA digunakan di Singapura.
Lim Tean dari Parti Suara Rakyat juga dikenakan arahan POFMA, sementara rayuan Parti Demokratik Singapura terhadap perintah POFMA ditolak di mahkamah.
Merujuk kepada kes Encik Bowyer, Encik Shanmugam berkata sebilangan pihak mungkin akan rasa malu mereka perlu memuat naik notis pembetulan, dan mereka umumnya "tidak suka (kenyataan palsu mereka) didedahkan".
"Mereka ingin diberi kebebasan untuk bercakap tentang perkara-perkara yang tidak benar, membuat orang marah, tanpa ditegur," katanya. "Jadi jika ia salah, mereka seharusnya muhasabah diri, mengapa mereka perlu berbohong."
Apabila ditanya tentang sekiranya berlaku tindak balas pengundi akibat persepsi mereka terhadap POFMA, Encik Shamugam berkata beliau percaya majoriti akan faham perlunya ada undang-undang ini.
"Ada yang benar-benar kurang tahu dan maka itu mereka prihatin. Mereka membentuk minoriti dalam masyarakat. Dan ada yang benar-benar tahu semuanya, tetapi bersikap sinis dan cuba membuat kekeliruan tentang POFMA dengan kenyataan-kenyataan tidak benar," tambah Encik Shanmugam.
"(Tetapi) umumnya, para pengundi tahu POFMA sudah berkuatkuasa buat beberapa waktu dan dengan arahan sudah keluarkan, mereka sudah melihat bagaimana ia dilaksanakan. Mereka lihat rencana-rencana asal masih ada."
Encik Shanmugam selanjutnya berkata POFMA juga "cukup berkesan" dalam membendung kepalsuan tentang penularan COVID-19. Beliau menarik perhatian, separuh arahan POFMA dikeluarkan kerana melibatkan maklumat salah mengenai virus korona tersebut. Ada turut dikeluarkan bagi menyangkal khabar angin yang menyentuh tentang penutupan, kes jangkitan dalam masyarakat dan kematian berkaitan dengan COVID-19.
Beliau menambah, POFMA sudah membantu mendidik orang ramai dan menghalang pihak-pihak yang ingin menyebarkan berita palsu.
"Kita tidak lagi boleh bergantung kepada semangat muhibah platform-platfom Internet. Pemerintah harus ambil tindakan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.