Skip to main content

Singapura

Podcast KitorangSG kembali menyelami kisah 'otai-otai' kita

Tujuh personaliti, tujuh perjalanan hidup dan pelbagai kisah yang mungkin belum pernah dikongsi.

Anggaran Waktu Membaca:
Podcast KitorangSG kembali menyelami kisah 'otai-otai' kita

Podcast KitorangSG kembali dengan tujuh personaliti mapan atau ‘otai’, yang berkongsi kisah perjalanan hidup mereka yang padat dan berisi. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Sep 2026 11:51AM Dikemas Kini : 05 Sep 2026 12:41PM
  • Podcast KitorangSG musim baharu menampilkan tujuh personaliti mapan Singapura dari bidang sukan, seni, politik, penulisan dan budaya.
  • Antara tetamu ialah Mardan Mamat, Zaliha Hamid, Zainul Abidin Rasheed, Osman Ariffin, Isiah Majid, Jamal Ismail dan Raman Daud, yang berkongsi kisah peribadi dan cabaran hidup.
  • Podcast diterbitkan oleh unit Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, dihoskan oleh Izwan Ohtman dan Syah Ibrahim, dengan episod baharu setiap minggu dari 2 September hingga 14 Oktober 2026.
  • Tujuan utama ialah menyingkap sisi manusiawi dan pengalaman sebenar para 'otai', memberi inspirasi serta membuka ruang perbualan lebih mendalam kepada penonton dan pendengar.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mereka sudah lama mencipta nama dalam bidang masing-masing.

Ada yang mengharumkan nama Singapura di persada antarabangsa. Ada pula yang berpolitik. Ada juga berjuang untuk masyarakat, seni dan hiburan - tanpa banyak mendapat perhatian.

Dalam musim baharu podcast KitorangSG, tujuh personaliti mapan atau ‘otai’ daripada pelbagai bidang tampil untuk berkongsi perjalanan hidup mereka - bukan sekadar tentang kejayaan yang diketahui ramai, tetapi juga kisah peribadi, cabaran dan detik-detik yang selama ini jarang diceritakan secara terbuka.

Diterbitkan oleh unit Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, KitorangSG merupakan vodcast dan podcast yang mengetengahkan cerita ‘otai-otai’ yang padat dan berisi.

DI SEBALIK NAMA YANG KITA KENALI

Antara tujuh personaliti yang tampil musim ini ialah pemain golf profesional Encik Mardan Mamat, yang berkongsi perjalanan luar biasanya daripada seorang ‘caddy’ remaja kepada antara pemain golf terbaik yang pernah dilahirkan Singapura.
Related article image
Pemain golf profesional negara, Mardan Mamat, membuka perkongsian tujuh ‘otai’ dalam musim terbaru KitorangSG. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Di sebalik pencapaian di padang golf, Encik Mardan turut membuka lembaran yang lebih peribadi tentang keluarga, pengorbanan dan kehilangan.

Antaranya, detik yang cukup menyentuh hati apabila beliau tidak sempat berada di sisi arwah isterinya sebelum menghembuskan nafas terakhir kerana ketika itu beliau berada di luar negara untuk menyertai kejohanan.

Turut berkongsi kisah ialah pelakon dan pelawak veteran Zaliha Hamid, atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Leha, yang sudah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak tahun 1970-an.

Beliau mengimbas kembali zaman apabila dirinya merupakan antara segelintir wanita, malah satu-satunya pelawak wanita dalam kelompok pelawak lelaki yang mendominasi persada komedi Melayu tempatan ketika itu.

Penonton juga akan dibawa mengenali insan-insan yang mungkin tidak sentiasa berada di hadapan kamera, tetapi telah meninggalkan kesan dalam bidang masing-masing. Daripada dunia kewartawanan, politik dan penulisan, sehinggalah muzik, seni serta warisan budaya.

Mereka adalah, Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, Pengarah Urusan Life Records, Encik Osman Ariffin, Jurulatih Kanan Perguruan Silat Seni Gayong Singapura, Cik Isiah Majid, penulis veteran, Encik Jamal Ismail serta kolumnis dan mantan wartawan kanan, Encik Raman Daud.

BUKAN SEKADAR TEMU BUAL

Podcast KitorangSG juga mahu penonton melihat ‘otai-otai’ ini di luar imej yang sudah begitu sinonim dengan mereka.

Di sebalik setiap nama besar, ada manusia biasa dengan cerita tersendiri.
Setiap episod bukan sekadar mengimbas nostalgia. Ia turut menyelongkar bagaimana mereka berdepan kegagalan, kehilangan, perubahan zaman dan keputusan-keputusan sukar yang akhirnya membentuk siapa mereka hari ini.

Ada cerita yang mencuit hati. Ada yang mengejutkan. Dan ada juga perkongsian yang membuat kedua-dua hos terdiam seketika.

GANDINGAN HOS BERPENGALAMAN

Mengemudi perbualan kali ini ialah dua wajah yang tidak asing lagi kepada penonton Mediacorp, iaitu penyampai berita Berita Medicaorp, Encik Izwan Ohtman dan bekas penyampai radio serta pengacara televisyen, Encik Syah Ibrahim.
Related article image
Gandingan Izwan Ohtman (kiri) dan Syah Ibrahim (kanan) buat pertama kalinya, menghidupkan lagi perkongsian dalam podcast KitorangSG. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Walaupun mempunyai pengalaman luas di hadapan kamera, KitorangSG menyaksikan mereka digandingkan buat pertama kali sebagai hos podcast.

Dengan personaliti dan gaya tersendiri, kedua-duanya membawa suasana perbualan yang santai, sambil cuba menyelami sisi tetamu yang mungkin tidak pernah dilihat khalayak sebelum ini.

Bagi Encik Izwan, peluang mengendalikan KitorangSG turut membuka ruang untuk mengenali personaliti-personaliti yang selama ini mungkin hanya dikenali menerusi pencapaian mereka.

“Begitu banyak perkara menarik yang sebenarnya sebelum ini kita tidak tahu tetapi mereka kongsi dalam podcast kali ini.

“Perkongsian dalam podcast ini penuh dengan pelbagai emosi, seperti ‘roller-coaster’, kerana ada yang kelakar, ada yang sedih, tiba-tiba marah.
“Jadi banyaklah yang yang boleh di nanti-nantikan oleh para penonton dan pendengar,” kata beliau.

Encik Syah pula melihat format podcast sebagai peluang untuk membawa perbualan ke arah yang lebih spontan dan peribadi, tanpa terlalu terikat kepada apa yang lazimnya diketahui mengenai seseorang tetamu.

Beliau menambah: “Saya rasa sesuatu yang istimewa kerana kita dapat menyelami perasaan mereka.

“Bayangkan kita lihat seorang yang tegas, yang tegap, yang gagah seperti Encik Mardan, tetapi mengalirkan air mata. Apa cerita sedih di sebalik seorang lelaki yang tegap gagah, kehilangan seorang isteri.

“Jadi, banyak yang kita bongkar, kita selongkar, kita kongsi yang membuat kita berfikir dan mungkin diam sejenak untuk merenung lebih dalam lagi.”

TUJUH MINGGU, TUJUH KISAH

Musim baharu KitorangSG menampilkan tujuh episod yang akan dilancarkan setiap minggu, bermula 2 September hingga 14 Oktober 2026.

Selain sedutan yang disiarkan menerusi episod mingguan Detik, penonton boleh menonton episod penuh KitorangSG menerusi portal BERITA Mediacorp dan YouTube BERITA Mediacorp.

Versi audio pula boleh didengarkan menerusi MeListen, Apple Podcasts dan Spotify.
Sumber : BERITA Mediacorp/RI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita