Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PMET lebih berkemungkinan besar dapati kerjaya mereka bermakna berbanding pekerjaan lain: Tinjauan IPS

Golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) lebih berkemungkinan besar mendapati pekerjaan mereka lebih bermakna dan menawarkan lebih tujuan hidup berbanding golongan pekerja perkeranian atau perkhidmatan dan pekerja pembersihan dan buruh.

Anggaran Waktu Membaca:
PMET lebih berkemungkinan besar dapati kerjaya mereka bermakna berbanding pekerjaan lain: Tinjauan IPS

Para pekerja di Raffles Place di pusat bandar Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) lebih berkemungkinan besar mendapati pekerjaan mereka lebih bermakna dan menawarkan lebih tujuan hidup berbanding golongan pekerja perkeranian atau perkhidmatan dan pekerja pembersihan dan buruh.

Demikian antara dapatan daripada tinjauan yang dijalankan pada Oktober 2022 oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) Universiti Nasional Singapura (NUS) ke atas 1,010 rakyat Singapura, berusia antara 21 hingga 84 tahun, yang bekerja.

Lebih 60 peratus PMET bersetuju bahawa ia adalah benar atau sangat benar bahawa mereka sudah menemui kerjaya yang bermakna dan pekerjaan mereka membawa perubahan positif kepada dunia, menurut dapatan kajian tersebut yang dikeluarkan pada Isnin (16 Jan).

Bagi golongan pekerja perkeranian, penjualan dan perkhidmatan, 42 peratus berkata ia adalah benar atau sangat benar bahawa mereka sudah menemui kerjaya yang bermakna. 46 peratus daripada mereka bersetuju pekerjaan mereka membawa perubahan positif.

Sementara itu, 43 peratus pengendali pengeluaran dan pengangkutan, pekerja pembersihan serta pekerja buruh berkata ia adalah benar atau sangat benar bahawa mereka sudah menemui kerjaya yang bermakna. 55 peratus daripada mereka pula bersetuju bahawa pekerjaan mereka membawa perubahan positif.

"PEKERJAAN BERMAKNA BANTU JADIKAN ANDA LEBIH BERMOTIVASI"

“Kami merasakan ia penting untuk mengetengahkan perkara ini kerena terdapat banyak perbincangan mengenai usaha membantu rakyat mencari kerja yang bermakna. Itu penting kerana apabila anda mencari pekerjaan yang bermakna, anda akan mendapat kepuasan, ia membantu anda menjadi lebih bermotivasi untuk meneruskan pekerjaan anda, meningkatkan diri dalam kerjaya anda... dan juga kekal lebih lama dalam pekerjaan itu," kata zamil penyelidik kanan, Dr Laurel Teo.

“Sebaliknya, jika anda mendapati pekerjaan anda membosankan, tidak bermakna, anda tidak menyumbang apa-apa, anda tidak akan dapat mencari kepuasan dalam pekerjaan anda. Ia melemahkan semangat dan juga mempunyai kesan pada pandangan peribadi anda juga."

Menekankan bahawa perbezaan pada hasil dapatan antara PMET dan pekerjaan lain adalah ketara, zamil penyelidik kanan, Dr Chew Han Ei, menarik perhatian bahawa hasilnya mencerminkan masyarakat dan perubahan yang dikehendakinya.

Dr Chew menukil ulasan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum ini yang menyentuh tentang rakyat Singapura lebih menghargai "pekerjaan yang menyuburkan minda" berbanding "pekerjaan setakat untuk menyara hidup".

"Inilah hakikatnya dalam dapatan itu di mana kita tidak begitu menghargai 'pekerjaan yang setakat untuk menyara kehidupan saja'. Kadangkala ia mencerminkan pendapat pekerja dalam pekerjaan itu kerana tugas mereka tidak begitu dihargai oleh masyarakat, maka ia mungkin dilihat ibarat pekerjaan mereka tidak begitu bermakna."

Tinjauan itu mendapati tiga aspek paling penting dalam sesuatu pekerjaan adalah dibayar gaji yang setimpal, etika di tempat kerja dan persekitaran tempat kerja.

Rakyat Singapura lebih muda berusia antara 21 hingga 34 tahun menghargai perkembangan dan pembelajaran serta kemajuan kerjaya jauh lebih tinggi berbanding golongan pekerja berusia antara 35 hingga 54 tahun serta mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas, menurut para penyelidik.

Jaminan kerja, bagaimanapun, diletakkan sebagai aspek paling kurang penting bagi responden lebih muda berbanding responden yang sudah berumur.

RESPONDEN NILAI 15 ASPEK PEKERJAAN

Responden diminta untuk menyusun 15 aspek pekerjaan dalam urutan mengikut yang paling penting.

Aspek-aspek itu adalah pencapaian, perkembangan dan pembelajaran, kebebasan pekerjaan, jaminan kerja, masa lapang, dibayar gaji yang adil, pengiktirafan, kepelbagaian kemahiran, interaksi sosial, kepentingan pekerjaan mereka, kepelbagaian tugasan mereka, keadaan di tempat kerja, kerencaman di tempat kerja dan etika di tempat kerja.

Menjawab soalan mengenai pentingnya kemajuan kerja seperti yang disaksikan pada hasil dapatan tinjauan itu, Dr Teo berkata: "Ia boleh menjadi satu bidang yang memprihatinkan kerana usia persaraan kita mungkin akan dinaikkan."

Meskipun kepelbagaian umum di tempat kerja disenaraikan sebagai paling rendah dalam ranking keseluruhan, responden bersetuju bahawa individu yang mengalami kesihatan mental dan mereka yang kurang upaya merupakan dua kategori paling penting untuk disertakan ke dalam tempat kerja.

Kategori lain adalah usia, kelas sosial atau pendapatan, kaum, jantina, orientasi seksual dan agama.

PERUBAHAN DI TEMPAT KERJA

Tinjauan itu juga mengukur kesediaan responden apabila menangani perubahan di tempat kerja. Ia meliputi betapa mereka sedar tentang perubahan yang bakal berlaku di tempat kerja mereka dan sejauh mana mereka terbuka kepada perubahan tersebut selain kebimbangan mereka berhubung perubahan itu atau bertugas dalam pekerjaan lain.

Pekerja lebih berumur kurang berkemungkinan sedar akan perubahan di tempat kerja dan bersikap terbuka terhadapnya, menurut para penyelidik.

63 peratus responden berusia 55 tahun dan ke atas bersetuju atau sangat bersetuju bahawa mereka akan bersikap terbuka terhadap perubahan di tempat kerja. Ini berbanding 77 peratus daripada responden berusia 35 hingga 54 tahun dan 83 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 21 hingga 34 tahun.

Kurang separuh daripada responden berusia 55 tahun dan ke atas terbuka untuk menukar pekerjaan mereka, berbanding 63 peratus responden berusia 35 hingga 54 tahun dan 69 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 21 hingga 34 tahun.

Bagaimanapun, tiada perbezaan ketara dari segi kebimbangan tentang perubahan di tempat kerja dalam kalangan kumpulan usia yang berbeza itu.

Sebahagian lagi tinjauan itu meninjau bagaimana responden menguruskan kerjaya mereka sendiri serta keyakinan mereka terhadap keupayaan mereka untuk menjalankan tugas di tempat kerja dengan cara yang kreatif.

Jantina, tahap pendidikan dan status sosioekonomi muncul sebagai peramal penting, menurut para penyelidik.

Sekitar 66 peratus responden wanita bersetuju bahawa mereka mempunyai keyakinan terhadap keupayaan mereka untuk menghuraikan masalah secara kreatif di tempat kerja berbanding 79 peratus responden lelaki.

54 peratus responden yang menyatakan mereka dibesarkan dalam keluarga kelas sosial atasan melaporkan bahawa mereka mencari latihan atau pembangunan berkaitan kerjaya di luar pertubuhan mereka.

Ini adalah sekurang-kurangnya 12 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang dibesarkan dalam kelas sosial pertengahan atau lebih rendah, menurut tinjauan itu.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan