Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PMD akan diharamkan di banyak kolong blok, koridor awam; sedang zon pejalan kaki diuji

Sebanyak 15 daripada 16 Majlis Bandaran sudah mengambil keputusan untuk mengharamkan penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD) di kolong-kolong blok HDB dan koridor awam yang bermatlamat untuk meningkatkan keselamatan di laluan-laluan awam.

Anggaran Waktu Membaca:
PMD akan diharamkan di banyak kolong blok, koridor awam; sedang zon pejalan kaki diuji

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 Aug 2019 03:56PM Dikemas Kini : 05 Aug 2019 04:02PM

SINGAPURA: Sebanyak 15 daripada 16 Majlis Bandaran sudah mengambil keputusan untuk mengharamkan penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD) di kolong-kolong blok HDB dan koridor awam yang bermatlamat untuk meningkatkan keselamatan di laluan-laluan awam.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min di Parlimen pada Isnin (5 Ogos).

Majlis Bandaran Aljunied-Hougang masih menimbangkan langkah tersebut. Setakat ini belum ada garis masa yang ditetapkan untuk menguatkuasakan larangan tersebut.

Selain itu, Dr Lam berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan bekerjasama dengan sebilangan majlis bandaran untuk menjalankan ujian selama tiga bulan bagi memperuntukkan zon-zon pejalan kaki (POZ) di mana para penunggang mesti turun dan tolak PMD mereka.

Ujian-ujian itu, yang akan dimulakan tidak lama lagi, akan dijalankan di pusat-pusat bandar Ang Mo Kio, Bedok, Bukit Batok dan Khatib serta sebuah pusat kejiranan di Tampines. Jika ujian-ujian itu membuahkan hasil yang memberangsangkan, inisiatif itu akan diperluaskan ke merata negara sebelum akhir tahun ini.

Dr Lam berkata LTA juga sudah memulakan ujian di mana zon-zon sekolah ditandakan di laluan pejalan kaki di luar sebilangan sekolah. Kerja-kerja di tapak ujian pertama sudah selesai di Sekolah Rendah Fern Green, sementara inisatif itu akan diperluaskan ke Sekolah Rendah Fengshan, Sekolah Rendah Jiemin, Sekolah Rendah Rivervale dan Sekolah Menengah Yishun menjelang September.

Selain langkah-langkah tersebut, Dr Lam mendedahkan bahawa Kementerian Pengangkutan akan memperuntukkan dana bagi menangani tempat-tempat di mana cenderung berlakunya kemalangan melibatkan PMD dengan meluaskan laluan pejalan kaki, memasang tanda-tanda amaran dan memasang jalur-jalur untuk mengawal kelajuan.

"Usaha-usaha ini dianggarkan menelan belanja S$50 juta untuk dilaksanakan dalam jangka beberapa tahun akan datang," katanya. "Kami akan bekerjasama dengan Anggota-Anggota Parlimen dan para penduduk tempatan untuk mengenal pasti peningkatan prasarana yang diperlukan untuk menangani lokasi-lokasi tumpuan khusus di setiap kawasan undi."

Di peringkat nasional, Dr Lam juga mengumumkan bahawa LTA akan meluaskan rangkaian laluan berbasikal sehingga 750 kilometer menjelang 2025, dan sehingga dua kali ganda menjelang 2030.

Langkah-langkah tersebut diperkenalkan menyusuli laporan mengenai 228 kemalangan melibatkan PMD di laluan-laluan awam pada 2017 dan 2018.

LARANGAN DI KOLONG BLOK, KORIDOR AWAM

Menyentuh tentang larangan ke atas penggunaan PMD di kolong blok dan koridor awam, Dr Lam berkata majlis-majlis bandaran mengambil keputusan untuk melaksanakannya setelah berbincang dengan lebih lanjut.

Parlimen berbincang dua bulan lalu sama ada PMD wajar dilarang di tempat-tempat tersebut, di mana 'ada banyak sudut terlindung yang tidak boleh diatasi menerusi naik taraf prasarana".

Namun, majlis-majlis bandaran berkenaan belum menetapkan jadual untuk melaksanakan larangan itu kerana mereka masih menyelesaikan perkara-perkara terperinci seperti pemasangan papan tanda. Larangan itu juga perlu dikuatkuasakan oleh pihak majlis bandaran masing-masing.

ZON PEJALAN KAKI

Beralih kepada pelaksanaan POZ di sesetengah pusat bandar, Dr Lam berkata beberapa majlis bandaran memaklumkan pihak berkuasa tentang "risiko tinggi kemalangan di pusat-pusat bandar atau kejiranan yang dikunjungi ramai orang di mana laluan-laluan dibarisi dengan kedai-kedai".

Semasa ujian-ujian dijalankan, LTA akan mengkaji kesan POZ terhadap para penghantar makanan dan menggunakan hasil ujian-ujian itu untuk menyesuaikan inisiatif tersebut di bandar-bandar lain.

"Kami akan berbincang dengan anggota-anggota parlimen mengenai butiran terperinci," tambah Dr Lam. "Jika konsep POZ terbukti berguna, kami akan melancarkannya di bandar-bandar lain di merata negara."

TANDA-TANDA ZON SEKOLAH

Mengulas tentang pelancaran tanda-tanda di zon sekolah, Dr Lam berkata ini termasuk jalur-jalur mengawal kelajuan, tanda-tanda perkataan "SLOW" yang bermakna "perlahankan kelajuan" dan tanda-tanda visual yang lebih jelas untuk mengingatkan para pengguna PMD supaya memperlahankan kelajuan dan berjaga-jaga terhadap pengguna lain, lebih-lebih lagi kanak-kanak kecil.

TEMPAT-TEMPAT MUDAH BERLAKU KEMALANGAN

Menyentuh tentang tempat-tempat yang cenderung berlaku kemalangan PMD, Dr Lam memberikan contoh bandar Ang Mo Kio, yang akan mempunyai rangkaian laluan berbasikal sepanjang 20 kilometer menjelang 2022.

"Ada empat bahagian laluan di mana terdapat keperluan untuk membina laluan berbasikal bagi tujuan keterhubungan, namun laluan-laluan pejalan kaki di situ tidak cukup luas," kata Dr Lam yang merujuk kepada Ang Mo Kio Street 22, 41, 43 dan 61.

"Bagi memastikan rangkaian laluan berbasikal yang selamat dan dihubungkan dengan baik, kami akan menggunakan ruang jalan raya untuk membina laluan berbasikal di keempat-empat bahagian laluan pejalan kaki.

Dr Lam berkata LTA akan melaksanakan rancangan serupa di bandar-bandar HDB lain secara bertahap-tahap.

LEBIH BANYAK LALUAN BERBASIKAL

Akhir sekali, Dr Lam berkata penambahan jumlah laluan berbasikal memerlukan LTA untuk menggunakan laluan-laluan kereta sedia ada. Sebelum ini LTA ,menyatakan komitmen untuk membina rangkaian berbasikal sepanjang 700 kilometer menjelang 2030.

"Di estet-estet kejiranan baru seperti Kampong Bugis, Tengah dan Woodlands North Coast, LTA merancang untuk membina laluan-laluan berbasikal di kedua-dua belah jalan," tambah Dr Lam.

"Laluan-laluan berbasikal baru juga mungkin akan dibina di estet-estet kejiranan privet dan kawasan-kawasan perindustrian." 

Sumber : CNA/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan