Skip to main content

Singapura

PM Wong undang PM Palestin lakukan lawatan rasmi ke SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Nov 2025 09:31PM Dikemas Kini : 05 Nov 2025 09:37PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong mengundang rakan sejawatannya dari Palestin Dr Mohammad Mustafa untuk melakukan lawatan rasmi ke Singapura.

Undangan tersebut disampaikan oleh Menteri Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan di Ramallah.

Menteri Luar Penguasa Palestin (PA) menyifatkan hubungan dengan Singapura sebagai yang berasaskan saling percaya dan sokongan yang berterusan.

Lawatan Dr Balakrishnan menegaskan komitmen berterusan Singapura dalam menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.

Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Penguasa Palestin Dr Varsen Aghabekian Shahin berkata: "Bantuan anda selama ini, sama ada dalam bentuk bantuan kemanusiaan atau pembangunan, membawa perubahan cukup besar. Hari ini di Gaza, bantuan itu amat diperlukan."

Atas permintaan Penguasa Palestin, Dr Balakrishnan berkongsi, Singapura akan meluaskan program membina keupayaannya, termasuk lebih banyak latihan digital bermula tahun depan.

Langkah ini bertujuan untuk membantu usaha ke arah keamanan dan pembangunan yang mampan.

Beliau turut bertemu Perdana Menteri Palestin Dr Mohammad Mustafa yang menyampaikan penghargaan atas sokongan berterusan Singapura selama ini.

Lawatan tersebut diadakan menyusuli pelaksanaan fasa pertama gencatan senjata di rantau itu.

Dr Balakrishnan berkata: "Kami menyeru semua pihak, semua yang berkepentingan supaya merebut peluang ini untuk mencapai kesepakatan bagi fasa seterusnya dan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat gencatan senjata.

"Penderitaan penduduk Gaza, khususnya kaum wanita dan kanak-kanak, sudah berlarutan terlalu lama.

"Singapura adalah sebuah negara kecil, terletak sekitar 8,000 kilometer dari Gaza, namun hati kami tidak pernah berjauhan."
 
Sumber : CNA/NY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita