PM Wong umum beberapa inisiatif baharu dalam kerjasama SG-India
India sedang menyemak perjanjian perdagangan bebas dengan ASEAN, sedang Perdana Menteri Narendra Modi meningkatkan usaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan blok Asia Tenggara itu.
Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi. (Gambar: Mediacorp)
Singapura boleh memainkan peranan penting, dengan kedua-dua pihak meneroka peluang meluaskan kerjasama dalam bidang-bidang seperti pendigitalan, ekonomi hijau dan semikonduktor.
Dalam pada itu, Singapura dan India kini melangkah ke fasa seterusnya bagi hubungan dua hala.
Encik Modi berkata kedua-dua pihak setuju untuk mempercepat dan memberi lejangan kepada dagangan bersama serta menyemak Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh dua hala dan Perjanjian Dagangan Bebas dengan ASEAN berdasarkan rangka kerja yang terikat dengan masa.
Di sidang media bersama, Perdana Menteri Lawrence Wong dan Encik Modi juga mengumumkan beberapa inisiatif baharu.
Ia termasuk rancangan untuk menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Nasional bagi Pengilangan Maju di Chennai.
Ini akan membantu melatih pekerja dalam industri-industri seperti semikonduktor, elektronik dan penerbangan.
PM Wong berkata Singapura juga akan bekerjasama dengan India untuk membangunkan pusat-pusat kemahiran negara bagi memenuhi keperluan industri, khususnya dalam sektor-sektor penyenggaraan penerbangan, pembaikan dan kerja baik pulih serta semikonduktor.
Ia turut meliputi kerjasama untuk memasarkan industri angkasa lepas dan membentuk perkongsian antarabangsa, serta rancangan bagi meningkatkan aliran kewangan rentas sempadan.
Tahun lalu, kedua-dua negara membawa hubungan dua hala ke tahap seterusnya dan menuju ke arah apa yang disifatkan PM Wong sebagai peta hala tuju lebih hebat.
PM Wong berkata ia akan membuka pintu kepada peluang-peluang baharu sambil mengukuhkan kestabilan dan pertumbuhan di rantau itu dan rantau lebih luas.
"PM Modi dan saya juga bersetuju dengan sebuah peta hala tuju — sebuah peta hala tuju lebih hebat untuk melakar fasa seterusnya hubungan kita.
"Dalam dunia yang dibelenggu ketidaktentuan dan pergolakan hebat, kerjasama antara India dengan Singapura menjadi semakin penting lagi kerana ini adalah sebuah kerjasama yang bertunjangkan nilai-nilai dikongsi bersama, saling hormat-menghormati dan kepercayaan yang mendalam," kata PM Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.