Skip to main content

Singapura

PM Wong ucap takziah kepada mangsa banjir kilat Nepal-Tibet

Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (27 Ogos) menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terjejas akibat banjir kilat yang meragut nyawa di sempadan Nepal dan Tibet, China.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong ucap takziah kepada mangsa banjir kilat Nepal-Tibet

Para mangsa yang terselamat duduk di atas serpihan yang bertimbun sambil menunggu jalan menuju ke kediaman mereka dibuka semula menyusuli banjir dahsyat di Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal, pada 27 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Navesh Chitrakar)

Diterbitkan : 27 Aug 2026 03:13PM
  • Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa banjir kilat di sempadan Nepal dan Tibet yang mengorbankan sekurang-kurangnya 165 orang.
  • Lebih 1,300 orang, termasuk dua warga Singapura, dilaporkan hilang selepas banjir dan tanah runtuh melanda kawasan tersebut pada Rabu.
  • Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan China serta menawarkan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas.
  • MFA menasihatkan rakyat Singapura di Nepal supaya berwaspada, mengelakkan kawasan terjejas, dan mendaftar perjalanan mereka untuk keselamatan serta kemudahan bantuan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (27 Ogos) menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terjejas akibat banjir kilat yang meragut nyawa di sempadan Nepal dan Tibet, China.

Lebih 1,300 orang, termasuk ratusan pelancong asing, dilaporkan hilang selepas banjir kilat dan tanah runtuh melanda rantau tersebut pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 165 orang.

Encik Wong berkata beliau "amat berdukacita dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan" yang berlaku.

"Saya menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang, serta kepada semua yang terjejas akibat tragedi ini," kata beliau dalam satu catatan di Facebook.

Perdana Menteri menambah bahawa Kementerian Ehwal Luar (MFA) sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan China untuk menawarkan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas.

Menurutnya, kementerian tersebut juga sedang berhubung dengan waris mereka yang terjejas.

"Ingatan kami bersama rakyat Nepal dan China dalam masa yang sukar ini, serta pihak berkuasa dan kakitangan kecemasan yang bertungkus-lumus menjalankan usaha menyelamat dan pemulihan," kata Encik Wong.

"Kami berharap mereka yang masih hilang dapat ditemui dengan selamat."

2 WARGA SG DILAPORKAN HILANG

Agensi berita AFP melaporkan pada Khamis bahawa dua warga Singapura merupakan antara 47 anggota sebuah kumpulan pelancongan yang dilaporkan hilang di Nepal.

Sebahagian besar anggota kumpulan tersebut menginap di kawasan Rasuwagadhi yang dilanda banjir, manakala beberapa yang lain sedang berada dalam perjalanan ke bandar berkenaan, kata Pengarah Urusan syarikat pelancongan pendakian Himalayan Glacier, Sanket Pandey.

Mediacorp sudah menghubungi MFA dan Himalayan Glacier untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Dalam satu nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada Khamis, MFA menasihatkan rakyat Singapura di Nepal supaya meningkatkan tahap kewaspadaan, terus berwaspada, mengikuti perkembangan berita tempatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Warga Singapura harus mengelakkan kawasan yang terjejas akibat banjir (Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Gorkha dan Chitwan) serta menjauhi sungai, tebing sungai, jambatan dan kawasan rendah," tambahnya.

MFA turut menggalakkan warga Singapura yang melancong ke atau menetap di Nepal supaya mendaftarkan perjalanan mereka secara online dengan kementerian itu, membeli insurans perjalanan yang menyeluruh dan terus berhubung dengan keluarga, hotel, agensi pendakian, pemandu atau pengendali pelancongan tempatan.

"Warga Singapura di Nepal yang memerlukan bantuan konsular harus menghubungi Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi atau Pejabat Bertugas MFA yang beroperasi 24 jam," menurut kementerian tersebut.

MFA memberi amaran bahawa jalan raya, pengangkutan, komunikasi dan perkhidmatan penting mungkin terjejas di kawasan-kawasan yang dilanda bencana.

"Sila periksa keadaan jalan raya dan cuaca setempat sebelum memulakan perjalanan," menurutnya lagi.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita