Skip to main content

Singapura

PM Wong ucap tahniah kepada PM Thailand Anutin Charnvirakul

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pada Isnin (8 Sep) menyusuli pelantikannya pada Jumaat lalu (5 Sep) oleh Parlimen Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong ucap tahniah kepada PM Thailand Anutin Charnvirakul

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menghadiri sidang media di ibu pejabat parti Bhumjaithai pada 7 September 2025. (Gambar: REUTERS/Chalinee Thirasupa)

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pada Isnin (8 Sep) menyusuli pelantikannya pada Jumaat lalu (5 Sep) oleh Parlimen Thailand.

Encik Anutin memperoleh majoriti sebanyak 311 undi, sekali gus mengalahkan calon parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri dalam persaingan untuk merebut jawatan perdana menteri yang pertama kali diadakan di parlimen sejak 2019.

Dalam suratnya kepada Encik Anutin, Encik Wong menyampaikan ucapan "setinggi-tinggi tahniah" kepada rakan sejawatannya dari Thailand.

Beliau menarik perhatian kepada perkongsian yang terjalin lama antara Singapura dengan Thailand, sambil berkata tahun 2025 adalah "signifikan" kerana ia menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Singapura dan Thailand berkongsi persahabatan yang sudah lama terjalin dan kerjasama kukuh yang terus berkembang dalam pelbagai bidang," katanya.

"Salah satu pencapaian terkini adalah pemeteraian Perjanjian Pelaksanaan Kerjasama Kredit Karbon, iaitu perjanjian pertama Singapura dengan sebuah negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN)."

"Ini mencerminkan komitmen bersama kita terhadap pembangunan mampan dan memajukan peralihan hijau. Lebih penting sekali, ia menunjukkan bagaimana negara kita boleh bekerjasama untuk menerajui kepimpinan serantau dalam tindakan iklim."

Encik Wong turut meluahkan keyakinan bahawa hubungan antara Singapura dengan Thailand akan "terus berkembang secara meluas dan mendalam" di bawah kepimpinan Encik Anutin.

"Kita mempunyai banyak peluang untuk bekerjasama dalam bidang ekonomi digital dan inovasi, ketersambungan dan jaminan bekalan makanan.

"Saya yakin usaha berterusan kita akan membawa manfaat berkekalan kepada penduduk kita dan menyumbang kepada daya tahan kolektif ASEAN," katanya.

"Saya juga ingin menjemput anda untuk melawat Singapura dan saya berharap dapat bertemu dengan anda tidak lama lagi.

"Saya ucapkan yang terbaik dalam peranan baharu anda."

Perdana Menteri Thailand terdahulu, Paetongtarn Shinawatra dipecat pada 29 Ogos selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand mendapati beliau bersalah melanggar etika selepas panggilan telefon bersama mantan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dibocorkan.

Encik Anutin sebelum ini pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri kesihatan, namun beliau lebih dikenali sebagai tokoh yang menyahjenayahkan kanabis di Thailand pada 2022.

Beliau adalah pemimpin ketiga Thailand dalam tempoh dua tahun, dan mengambil alih jawatan dengan sokongan gabungan yang menetapkan syarat agar parlimen dibubarkan dalam masa empat bulan bagi mengadakan pilihan raya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita