Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Wong ucap tahniah kepada PM Kanada Carney atas kemenangan pilihan raya persekutuan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong ucap tahniah kepada PM Kanada Carney atas kemenangan pilihan raya persekutuan

Perdana Menteri Mark Carney tersenyum semasa mengambil tempat duduknya di sidang akhbar pertamanya sejak memenangi pilihan raya persekutuan, di Ottawa,pada Jumaat, 2 Mei, 2025. (Gambar: AP/Adrian Wyld /The Canadian Press)

Diterbitkan : 08 May 2025 07:55PM Dikemas Kini : 08 May 2025 08:17PM
SINGAPORE: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Khamis (8 Mei) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Kanada Mark Carney atas kemenangannya dalam pilihan raya persekutuan baru-baru ini.

Parti Liberal Encik Carney mengekalkan kuasa dalam pilihan raya negara pada April, namun gagal membentuk pemerintah majoriti.

Dalam suratnya kepada Encik Carney, Encik Wong menyampaikan "ucapan tahniah setuklus hati" kepada rakan sejawatannya dari Kanada. Beliau juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Carney dalam peranannya yang baharu, dan berkata beliau berharap dapat bertemu dengannya lagi tidak lama lagi.

"Rakyat Kanada telah meletakkan kepercayaan mereka kepada anda dan Parti Liberal untuk memimpin mereka dalam tempoh perubahan ini. Pengalaman anda yang mendalam dan kepimpinan mantap anda akan membantu anda dalam memandu Kanada melalui cabaran yang akan datang," kata Encik Wong.

Beliau turut menarik perhatian kepada kerjasama rapat dan panjang antara Singapura dengan Kanada, dan bahawa tahun 2025 menandakan 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Ini adalah "tonggak penting yang berpaksikan kepercayaan strategik dan kerjasama" dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, keselamatan, tindakan iklim, dan hubungan antara rakyat, kata Encik Wong.

"Kami juga bekerjasama rapat dalam bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui, dan keselamatan siber."

Singapura dan Kanada juga berkongsi komitmen yang kuat terhadap kerjasama berbilang pihak dan perdagangan bebas, dengan kedua-duanya menjadi ahli Perjanjian Menyeluruh dan Progresif untuk Perkongsian Rentas Pasifik (CPTPP) sejak ia berkuat kuasa pada 2018.

"Singapura berharap untuk meneruskan kerjasama kami dengan Kanada dan rakan-rakan sefikiran yang lain untuk mempertahankan sistem perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan," kata Encik Wong.

Encik Wong juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mangsa-mangsa serangan kereta di festival masyarakat Filipino di Vancouver yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang berusia antara 5 hingga 65 tahun, dan menyebabkan puluhan lagi cedera.

"Saya berharap agar semua yang cedera dapat pulih dengan cepat dan sepenuhnya," kata Encik Wong.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan