Skip to main content

Singapura

PM Wong ucap tahniah kepada canselor baharu Jerman Friedrich Merz

Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (6 Mei) mengucapkan tahniah kepada Encik Friedrich Merz atas pelantikannya sebagai canselor Jerman.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong ucap tahniah kepada canselor baharu Jerman Friedrich Merz

Canselor baharu Jerman Friedrich Merz di dewan parlimen Bundestag di Berlin, Jerman pada 6 Mei 2025. (Gambar: Reuters/Lisi Niesner)

SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (6 Mei) mengucapkan tahniah kepada Encik Friedrich Merz atas pelantikannya sebagai canselor Jerman.

PM Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Canselor Olaf Scholz atas usahanya mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Encik Merz dilantik sebagai canselor oleh parlimen pada Selasa dalam pusingan kedua undi selepas beliau gagal memperoleh undi majoriti dalam pusingan undi yang pertama.

Dalam surat yang dihantar kepada Encik Merz, Encik Wong mengucapkan "setinggi-tinggi tahniah" kepada beliau, sambil menarik perhatian kedua-dua negara berkongsi "persahabatan yang mendalam dan berkekalan, disokong oleh kepercayaan bersama dan kerjasama dari pelbagai segi".

Singapura dan Jerman meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik tahun ini.

Kedua-dua negara juga meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik pada November lalu.

Encik Wong berkata: "Perkongsian ini memperdalam kerjasama ekonomi dan keselamatan sedia ada, di samping menyediakan dorongan baharu untuk bekerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti pendigitalan/AI, penyelidikan, syarikat pemula dan inovasi, tenaga bersih dan pembangunan mampan."

"Singapura dan Jerman juga berkongsi komitmen bersama untuk memelihara perdagangan terbuka, undang-undang antarabangsa dan sistem global berasaskan peraturan.

"Dalam hal ini, kami bekerjasama rapat di forum pelbagai hala," katanya.

PM Wong juga berkata beliau mengalu-alukan penglibatan Jerman yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata terdapat lebih 2,300 syarikat Jerman yang mempunyai kehadiran di Singapura, dengan kebanyakannya memanfaatkan Singapura sebagai pintu masuk ke ASEAN dan rantau ini.

"Saya berharap dapat terus meningkatkan hubungan kami, termasuk dengan memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Singapura dan Perjanjian Perdagangan Digital EU-Singapura," kata Encik Wong.

Beliau menambah bahawa beliau turut mengalu-alukan kerjasama dengan Encik Merz untuk "mempergiatkan lagi, meningkatkan dan memperdalam hubungan antara kedua-dua negara".

"Saya juga mengucapkan selamat maju jaya sedang anda mengambil alih jawatan canselor dan berharap dapat bertemu dengan anda tidak lama lagi," kata PM Wong.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada ketika itu mengadakan pertemuan dengan Canselor Negara Olaf Schulz pada 9 April 2024 di Berlin, Jerman. (Gambar: MCI)
PERSAHABATAN DAN SOKONGAN

Dalam surat berasingan yang dihantar kepada Encik Scholz pada Selasa, Encik Wong mengucapkan tahniah kepada beliau atas persahabatan dan sokongan terhadap usaha mengukuhkan hubungan antara Singapura dengan Jerman.

"Hubungan dua hala bertambah mekar semasa penggal anda berkhidmat sebagai canselor," kata Encik Wong.

"Kami meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik pada tahun lalu, menyuntik dorongan baharu ke dalam perkongsian sedia ada kerjasama dalam bidang baharu seperti keselamatan, kecerdasan buatan dan kemampanan."

PM Wong juga berkata Singapura dan Jerman memperdalam hubungan pertahanan kedua-dua negara itu, di mana beliau memuji usaha berterusan Encik Scholz untuk mendampingi rantau ini.

"Terima kasih atas sokongan anda di pelancaran dua kapal selam kelas Invincible Angkatan Tentera Laut Singapura di Kiel bersama dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika itu pada Disember 2022," kata PM Wong.

"Saya memuji usaha teguh anda dalam meningkatkan penglibatan Jerman di Asia Pasifik dan ASEAN."

Encik Wong juga berkata beliau masih mengingati perbincangan yang diadakan semasa beberapa acara seperti lawatan Encik Scholz ke Singapura pada November 2022 dan lawatannya ke Berlin pada April tahun lalu.

"Saya berharap dapat bertemu dengan anda tidak lama lagi dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha anda pada masa hadapan."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita