Skip to main content

Singapura

PM Wong: Tiada pengecualian untuk Dr Faishal, piawai sama bagi semua AP PAP

Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata tiada pengecualian boleh diberikan kepada Dr Muhammad Faishal Ibrahim meskipun beliau telah berkhidmat selama dua dekad dan menerima sokongan padu daripada masyarakat Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong: Tiada pengecualian untuk Dr Faishal, piawai sama bagi semua AP PAP

Mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar fail: CNA/Tan Grace)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 07:59PM
  • Dr Muhammad Faishal Ibrahim meletak jawatan daripada semua jawatan politik dan PAP selepas interaksinya dengan seorang wanita didapati tidak memenuhi piawai yang ditetapkan.
  • Perdana Menteri Lawrence Wong menegaskan tiada pengecualian akan diberikan, walaupun Dr Faishal berkhidmat lebih 20 tahun dan mendapat sokongan masyarakat Melayu/Islam.
  • Pemerintah menjalankan siasatan objektif, melibatkan pemimpin kanan, sebelum bersetuju dengan keputusan peletakan jawatan Dr Faishal.
  • Zaqy Mohamad akan meneruskan tanggungjawab kepimpinan masyarakat Melayu/Islam, dengan jaminan semua inisiatif dan pembangunan akan diteruskan tanpa gangguan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata tiada pengecualian boleh diberikan kepada Dr Muhammad Faishal Ibrahim meskipun beliau telah berkhidmat selama dua dekad dan menerima sokongan padu daripada masyarakat Melayu/Islam.

Beliau menegaskan proses, piawai dan tindakan yang sama akan dikenakan terhadap mana-mana Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berdepan keadaan serupa.

"Jika perkara ini melibatkan mana-mana AP PAP yang lain, kami tetap akan mengambil tindakan yang sama. Proses, piawai dan tindakannya adalah sama," katanya semasa sidang media bagi mengumumkan rombakan Kabinet pada Rabu (22 Jul).

Dr Faishal meletak jawatan daripada semua jawatan politik serta PAP pada Isnin (20 Jul) selepas interaksinya dengan seorang wanita didapati tidak memenuhi piawai yang ditetapkan bagi seorang pemegang jawatan politik dan AP.

PM Wong berkata beliau memahami terdapat pihak-pihak yang berharap pengecualian dapat diberikan kepada Dr Faishal memandangkan rekod perkhidmatannya selama lebih 20 tahun serta sokongan yang diterimanya daripada rakyat Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam.

Namun, menurut beliau, tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan kepentingan Singapura.

KEPUTUSAN DIBUAT SELEPAS SEMAKAN MENYELURUH

PM Wong berkata Dr Faishal sendiri mengakui kedudukannya sebagai pemegang jawatan politik dan AP tidak lagi dapat dipertahankan.

Beliau berkata Dr Faishal turut mengakui bahawa respons dan interaksinya dengan wanita tersebut, secara objektif, adalah tidak wajar.

Menurut PM Wong, beliau telah berusaha sedaya upaya mencari jalan supaya Dr Faishal dapat terus berkhidmat.

Namun, selepas aduan dibuat dan perkara itu menjadi perhatian umum, pemerintah perlu menjalankan siasatan secara objektif dengan mendengar penjelasan kedua-dua pihak.

PM Wong berkata beberapa pemimpin kanan turut diminta meneliti bukti secara bebas dan mereka mencapai kesimpulan yang sama.

"Oleh sebab itu saya bersetuju dengan keputusan beliau untuk meletak jawatan. Itulah tindakan yang betul," katanya.

PM Wong turut memberi penghormatan kepada Dr Faishal atas sumbangannya sepanjang lebih 20 tahun dalam Perkhidmatan Awam.

Menurut beliau, insiden tersebut tidak menghakis sumbangan besar yang telah dicurahkan Dr Faishal kepada Singapura.

KEPIMPINAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DITERUSKAN

PM Wong mengakui peletakan jawatan Dr Faishal merupakan satu kehilangan besar kepada pemerintah, masyarakat Melayu/Islam dan Singapura.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan segala usaha yang telah dimulakan akan diteruskan.

PM Wong berkata pembangunan dan kemajuan masyarakat Melayu/Islam kekal menjadi keutamaan pemerintah, manakala semua inisiatif yang diusahakan Dr Faishal akan diteruskan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Zaqy Mohamad akan meneruskan tanggungjawab tersebut bersama para pemegang jawatan politik Melayu/Islam yang lain.

"Kami akan memastikan tiada gangguan atau kelengahan dalam usaha memajukan masyarakat," kata PM Wong.

Beliau turut memberi jaminan pemerintah akan bekerja dengan lebih gigih bagi memulihkan keyakinan dan kepercayaan yang mungkin terjejas akibat insiden itu.

ZAQY KOMITED TERUS DEKATI MASYARAKAT

Semasa sidang media yang sama, Encik Zaqy memberi penghormatan kepada Dr Faishal atas usaha beliau membina hubungan rapat dengan masyarakat Melayu/Islam.

Menurut beliau, pendekatan itu akan diteruskan bersama AP Melayu dan pemimpin masyarakat.

"Saya memahami masa ini amat mencabar dan penuh emosi bagi ramai anggota masyarakat. Saya ingin memberi jaminan bahawa komitmen kami terhadap masyarakat tidak berubah," katanya.

Encik Zaqy berkata institusi-institusi masyarakat, para sukarelawan, pemimpin agama serta keluarga yang kukuh akan terus menjadi kekuatan utama masyarakat Melayu/Islam.

Dalam masa beberapa minggu akan datang, Encik Zaqy berkata beliau akan bertemu pelbagai lapisan masyarakat untuk mendengar pandangan mereka serta bekerjasama menangani cabaran dan merebut peluang pada masa hadapan.

Beliau menegaskan bahawa usaha berkhidmat kepada masyarakat adalah tanggungjawab bersama, bukan terletak pada seorang menteri sahaja.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita