PM Wong tekankan pentingnya perkukuh keharmonian SG dalam keadaan dunia kian mencabar
SINGAPURA: Keharmonian yang dinikmati di negara ini harus diperkukuh dan dipelihara, lebih-lebih lagi melihat kepada keadaan dunia yang semakin berpecah-belah.
Demikian ditekankan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan ringkasnya semasa acara berbuka puasa di Masjid An-Nahdhah pada Selasa (24 Feb).
PM Wong dalam ucapannya berkata: "Keharmonian inilah yang perlu kita hargai, pelihara, pupuk dan terus diperkukuhkan. Lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin mencabar, semakin berpecah-belah, di mana pelbagai pengaruh luar boleh memberi kesan kepada masyarakat kita, malah ada kalanya cuba memecah-belahkan kita."
"Dalam persekitaran seperti ini, keharmonian kita menjadi semakin berharga. Saya berharap kita semua akan terus komited untuk bekerjasama memperkukuh perpaduan dan solidariti kita kerana sebagai satu negara yang bersatu padu, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi. Walau apa pun yang berlaku di sekeliling kita, selagi kita bersatu tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, kita akan sentiasa mampu mengharungi cabaran dan membina masa depan yang lebih cerah bersama-sama."
PM Wong turut menarik perhatian tentang keistimewaan Singapura di mana masyarakat dapat berkumpul untuk meraikan pelbagai perayaan, tradisi dan acara keagamaan bersama-sama.
Ini lebih-lebih lagi dengan Ramadan kali ini yang berlangsung semasa sambutan Tahun Baharu Cina, serta permulaan Lent bagi penganut Kristian berpuasa menjelang Hari Easter.
"Jadi ia sesuatu yang agak istimewa tentang Singapura, bahawa walaupun terdapat pelbagai perayaan, tradisi dan acara keagamaan, kita masih dapat berhimpun dan meraikannya bersama. Sebagai satu masyarakat, kita terus memupuk rasa saling menghormati dan harmoni apabila kita bersama-sama meraikan pelbagai tradisi ini, sesuatu yang benar-benar unik di Singapura." kata PM Wong.
ACARA BERBUKA PUASA HIMPUN PEMIMPIN AGAMA, MASYARAKAT, RAKAN MASYARAKAT SEMPENA RAMADAN
PM Wong menyertai sekitar 300 jemaah, kakitangan dan sukarelawan masjid, pemimpin masyarakat dan agama daripada badan-badan Melayu/Islam dan India Muslim serta hadirin berbilang kaum dan agama di majlis berbuka puasa itu.
Ini termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim serta Penasihat bagi Pertubuhan-Pertubuhan Akar Umbi GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat dan Elysa Chen dan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Semasa kunjungannya, PM Wong turut dibawa melawat masjid termasuk Pusat Harmoni dan Galeri Falak.
Beliau juga sempat beramah mesra dengan para pemimpin masyarakat, relawan serta jemaah masjid.
Acara tahunan MUIS itu menghimpunkan pemimpin agama dan masyarakat serta rakan-rakan masyarakat dalam semangat perpaduan dan kesyukuran sempena Ramadan.
Ia juga mencerminkan semangat SalamSG Ramadan 1447H yang berpandukan tiga nilai iaitu kesyukuran, kesantunan dan kesopanan pda tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.