PM Wong rakam ucapan takziah kepada keluarga Almarhumah Puan Noor Aishah
Almarhumah Puan Noor Aishah, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara di samping Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak, meninggal dunia pada pagi Selasa (22 Apr).
"Puan Noor Aishah berdiri teguh di sisi suaminya, menyokong beliau semasa tahun-tahun getir pembangunan negara, dan kekal menjadi tonggak kekuatannya sehingga pemergian beliau pada 1970," kata Perdana Menteri Lawrence Wong dalam satu surat yang dikirim kepada anak lelaki Almarhumah, Dr Imran bin Yusof pada Selasa.
Bercakap bagi pihak pemerintah, Encik Wong mengucapkan salam takziah kepada keluarga Almarhumah Puan Noor Aishah atas pemergiannya.
Dalam surat yang dikirimkan, Encik Wong juga sempat memperingati pelbagai bentuk sumbangan yang dihulurkan Almarhumah Puan Noor Aishah sepanjang hayatnya.
Encik Wong menyingkap peranan Almarhumah dalam mengubah Istana daripada sebuah kediaman penjajah British kepada sebuah institusi yang benar-benar mencerminkan identiti Singapura.
"Beliau bekerjasama rapat dengan jurumasak untuk menggantikan juadah Inggeris dengan hidangan Asia. Sebagai seseorang yang mahir memasak, beliau memastikan hanya hidangan bermutu tinggi disajikan kepada para tetamu Istana," kata Encik Wong.
Seorang individu yang berdedikasi, Almarhumah juga giat memperbaiki diri, seperti meningkatkan penguasaannya menggunakan Bahasa Inggeris, agar dapat mendampingi rakyat dan tetamu kenamaan dengan lebih baik.
Kata Encik Wong, kesetiaan dan rasa tanggungjawab Almarhumah yang utuh meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan ramai.
Di luar Istana, Almarhumah Puan Noor Aishah banyak memperjuangkan isu-isu berkaitan pendidikan dan golongan wanita. Beliau pernah menjadi Penaung Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Palang Merah Singapura dan Persatuan Pandu Puteri Singapura.
Encik Wong turut menukil kata-kata Almarhumah yang mengatakan bahawa Singapura akan mempunyai masa hadapan yang cerah sekiranya rakyat “dikurniakan rasa altruistik yang mendalam, dan dengan rela hati memikul tanggungjawab untuk membantu rakyat yang kurang bernasib baik.”
Dan, menurut PM Wong, Almarhumah benar-benar menghayati kata-katanya itu dan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat untuk menyumbang dengan cara masing-masing.
Di atas sumbangannya, Almarhumah Puan Noor Aishah pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Pingat Jasa Gemilang pada 1964, Pingat Kehormat Khas NTUC pada 1971, dan dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura pada 2018.
Mengakhiri surat yang dikirimnya, Encik Wong menulis, "Puan Noor Aishah membawa penghormatan besar kepada institusi Presiden dan telah menyumbang banyak jasa kepada Singapura. Bagi pihak Pemerintah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas bakti dan legasi beliau. Doa dan ingatan kami bersama anda dan keluarga dalam saat yang sukar ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.