Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Wong puji usaha M³, galak lebih ramai jadi sukarelawan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong turut memuji usaha M³ sepanjang lima tahun sejak pembentukannya pada 2018.

Dalam ucapannya di Forum M³ pagi tadi (10 Nov), PM Wong berkata rangkaian M³ bukan sahaja telah berjaya memperkasa dan menyatukan masyarakat tetapi juga telah mendorong lebih ramai rakyat Singapura untuk menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam dan negara.

Lantaran itu, beliau mengalu-alukan usaha untuk membangunkan inisiatif-inisiatif baharu termasuk menggalak lebih ramai relawan untuk tampil ke hadapan.

"Kejayaan M³ membuktikan bahawa kita boleh capai apa-apa sahaja jika kita bersatu padu dan bekerjasama. Ayuh kita bekerjasama dengan lebih rapat supaya masyarakat Melayu/Islam terus maju ke hadapan sebagai sebuah Masyarakat Gemilang," kata PM Wong.
 

Gambar: MDDI

Selain itu, PM Wong turut menarik perhatian bahawa rangkaian M³ telah mewujudkan sinergi yang lebih baik antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI dan Persatuan Rakyat (PA) MESRA untuk menyediakan sokongan yang lebih baik buat masyarakat.

"Secara individu, setiap '3M' telah melakukan kerja yang baik tetapi M³ menyatukan ketiga-tiga mereka dan memperhebatkan kesan masing-masing. Dengan M³, pertubuhan-pertubuhan mula bekerja secara lebih sistematik bersama, termasuk bekerjasama dengan pertubuhan lain dan pemerintah. M³ membolehkan mereka memanfaatkan kekuatan kolektif dan rangkaian-rangkaian mereka sekali gus meluaskan kapasiti dan jangkauan mereka," ujarnya lagi.

Dengan usaha sama itu juga, mereka dapat meluaskan lagi jangkauan kepada lebih 127,000 penduduk Melayu/Islam dengan jumlah program yang meningkat hampir lima kali ganda.

(Gambar: M3 Eco)

Selain itu, M³ juga memberikan wadah bagi golongan karyawan dan relawan untuk lebih mendekati dan mendampingi masyarakat.

Inisiatif M³@Bandar misalnya membolehkan mereka untuk mengolah program-program berunsur kemasyarakatan dan kesihatan misalnya, yang dapat dimanfaatkan semua lapisan penduduk.

"4,000 sukarelawan telah tampil ke hadapan selama lima tahun kebelakangan ini. Selanjutnya ialah bilangan anggota masyarakat kita yang telah dapat kita dekati dan kita beri khidmat yang mereka perlukan ataupun digelarkan 'last mile delivery'. Ini merupakan saya rasa pencapaian yang kita dapat mencapai selama lima tahun kerana tekad untuk menggembleng tenaga di kalangan institusi-institusi utama kita," kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

M³ BERJAYA TARIK LEBIH RAMAI SUKARELAWAN DARIPADA LATAR BELAKANG PELBAGAI

Selain daripada berkongsi antara pencapaian paling berkesan M³ dalam menyokong pembangunan masyarakat Melayu/Islam sepanjang lima tahun lalu, Dr Maliki turut menekankan bahawa rangkaian itu sudah berjaya menarik lebih ramai sukarelawan daripada latar belakang yang lebih pelbagai berbanding sebelumnya. Ini termasuk para doktor, peguam dan karyawan lain.

Dr Maliki berkata: "Sebelum ini mereka mengatakan mereka ingin menyumbang tetapi tidak ada ruang untuk menunjukkan kebolehan mereka tetapi menerusi M³ kami telah dapat menarik mereka, mengenal pasti apakah kepakaran dan apa yang boleh mereka sumbang kepada masyarakat melalui kepimpinan yang mereka tonjolkan."

Memandang ke hadapan, Dr Maliki berkata berkata M³ akan terus berusaha menggembleng lebih ramai sukarelawan termasuk Sukarelawan Pertubuhan (OV) bagi meluaskan lagi bentuk bantuan yang dapat dihulurkan.
 

Buku sempena ulang tahun kelima rangkaian M³.
BUKU RAKAM KEMAJUAN M³ DILANCARKAN

Di acara yang sama, PM Wong juga melancarkan sebuah buku peringatan sempena ulang tahun kelima M³.

Buku setebal 93 muka surat itu merakam kemajuan program-program dan usaha-usaha rangkaian tersebut.


Ia juga mengandungi coretan kisah para sukarelawan M³ dalam mendampingi masyarakat.

Bagi menyanjung sumbangan para sukarelawan, PM Wong turut menyampaikan penghargaan kepada 11 sukarelawan cemerlang M³.

Antaranya ialah Cik Rahidah Mohd Noor, 58 tahun yang sudah berkhidmat sebagai relawan dalam akar umbi selama lebih 20 tahun.

Beliau berharap lebih ramai akan tampil untuk menyokong usaha membantu masyarakat, lebih-lebih lagi golongan yang memerlukan.

"Harapan saya semoga dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada masyarakat Melayu Islam kita untuk sama-sama menabur bakti untuk masyarakat kita. Saya menyeru kepada masyarakat Melayu/Islam. Jika ada kesempatan ada peluang ada masa, datanglah untuk menyokong," kata Cik Rahidah.

Lagi seorang penerima anugerah ialah Cik Zarina Zaharudin yang terlibat dalam menganjurkan lima forum masyarakat.

Ada yang diadakan secara online pada waktu COVID-19.

Siri forum itu disertai lebih 400 penduduk bagi berkongsi ilmu dan membincangkan pelbagai topik seperti hubungan kekeluargaan.

"Saya percaya saya hanyalah sebagai perintis. Kita telah bermula 5 tahun yang lalu dan saya rasa tugas saya selanjutnya ialah untuk 'pass the baton' kepada generasi yang lebih muda untuk mungkin saya bantu dan berikan mereka panduan untuk mereka meneruskan perjalanan di M³@Nee Soon," kata Cik Zarina.

Di samping itu, projek-projek khas terbaik juga diberi pengiktirafan.

Senarai penerima anugerah:

Anugerah Sukarelawan Paling Memberi Inspirasi
1. M³@Bedok: Mohamad Raihan Hafidz Bin Mohd Rafiek
2. M3@Chua Chu Kang: Hairulnizam Bin Sahamad
3. M3@Geylang Serai: Iylia Shukor
4. M3@Jalan Besar: Redzuan Bin Ismail
5. M3@Jurong: Dian Atiqah Binte Lokman O Mahat
6. M3@Marsiling-Yew Tee: Rahidah Binte Mohd Noor, PBM
7. M3@Nee Soon: Zarina Zaharudin
8. M3@Pasir Ris-Punggol: Nurhani Zailani Shatifan
9. M3@Tampines: Norsharifah Binte Omar
10. M3@Toa Payoh: Hirman Mohamed Khamis
11. M3@Woodlands: Muhammad Harmizan Bin Abdul Hamid

Anugerah Projek Khas

1. M3@Bedok: Pasukan Peluasan Project Dian
2. M3@Chua Chu Kang: Pengagihan Bubur Masyarakat
3. M3@Geylang Serai: Le-Park
4. M3@Jalan Besar: Cinta Minda
5. M3@Jurong: Senang Senam
6. M3@Marsiling-Yew Tee: Gaya Sihat @ Marsiling-Yew Tee
7. M3@Nee Soon: Forum Keluargaku Kukuh, Masyarakatku Utuh
8. M3@Pasir Ris-Punggol: Back to School (BTS)
9. M3@Tampines: Sinar Ramadan
10. M3@Toa Payoh– Perpaduan Kaum & Pengagihan Briyani
11. M3@Woodlands – Kelab Kesihatan Woodlands
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan