PM Wong mahu perkukuh sistem berasaskan peraturan berbilang hala dalam perubahan aturan dunia
Perdana Menteri Lawrence Wong dalam temubual untuk Rundingan Pemimpin CCTV-13. (Gambar: Lawrence Wong/Facebook)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin tertinggi China bagi membincangkan cara untuk perkukuh sistem berasaskan peraturan berbilang hala, di tengah-tengah apa yang beliau sifatkan sebagai "keadaan yang berubah-ubah" dalam aturan dunia.
Lawatan negara pertamanya ke China minggu depan juga bakal membina hubungan kukuh di peringkat kepimpinan.
Menurut PM Wong, ia akan menetapkan cara hubungan dua hala diadakan secara keseluruhan.
PM Wong berkata demikian semasa ditemu bual saluran televisyen rasmi China CCTV.
PLATFORM KERJASAMA LEBIH MENDALAM
Dari sebuah paya menjadi hab inovasi dalam beberapa dekad sahaja, Taman Perindustrian Suzhou adalah projek kerjasama pertama antara pemerintah Singapura dengan China.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif seumpama itu harus dilihat sebagai platform bagi kerjasama yang lebih mendalam.
PM Wong menukil satu lagi projek - Bandar Eko Tianjin -yang disifatkannya sebagai boleh menjadi model untuk pertumbuhan mampan bagi seluruh China.
"Baru-baru ini kami raikan ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou, dan kini kami mengalu-alukan lembaran kerjasama baharu di mana usahasamanya boleh diperluas, bukan sekadar sesama entiti pemerintah, tetapi juga dengan ekosistem pemain (industri) yang lebih luas."
LUASKAN PERJANJIAN PERDAGANGAN BEBAS CHINA-ASEAN
Di luar platform kerjasama itu, PM Wong berharap kedua-dua negara boleh berganding bahu dalam bidang rendah karbon, sains bioperubatan dan ekonomi digital.
Singapura juga mahu bekerjasama dengan China, untuk memperkukuh hubungan perdagangan.
"Singapura pasti mahu bekerjasama rapat dengan ASEAN dan negara-negara yang berkongsi pemikiran serupa untuk terus menegakkan perdagangan bebas dan sistem dagang yang berasaskan undang-undang.
"Didorong semangat itu, kami sokong sepenuhnya peluasan kepada FTA China-ASEAN. Kami harap ia dapat dimeterai di sidang puncak ASEAN-China yang bakal diadakan pada bulan Oktober, dan hubungan yang baru dinaik taraf itu dapat dikuatkuasakan tidak lama kemudian."
Menurutnya, semua jalinan ini adalah untuk merebut peluang di tengah-tengah tarif Trump, dan pada masa di mana Amerika berundur daripada kepimpinan globalnya.
Beliau menyifatkan detik ini sebagai tempoh peralihan yang "sangat tidak dapat diramalkan", dan berpotensi "sangat berbahaya".
"Saya rasa apa yang penting bagi kami semua, (dan) negara di mana-mana sahaja, adalah untuk mengetahui bahaya yang membelenggu kami, untuk kami semua mainkan peranan bagi menguruskan ketegangan geopolitik dan persaingan secara berhati-hati agar dapat mengurangkan risiko konflik dan perang, untuk kami semua cari jalan supaya negara-negara tetap boleh berganding bahu dan meneroka kerjasama saling menguntungkan, terutamanya dalam bidang yang menjadi kepentingan bersama.
"Dan perlahan-lahan, kamu semua boleh mengembleng tenaga untuk melakarkan asas bagi aturan global baharu yang lebih stabil yang mungkin muncul pada tahun-tahun mendatang."
Dalam pada itu, beliau berkata Singapura tidak seharusnya mengabaikan arus peraturan berasaskan sistem berbilang hala, malah harus memperbaikinya.
PM Wong berkata beliau akan berkongsi mesej itu apabila bertemu para pemimpin global di sidang puncak musim panas Davos di Tianjin minggu depan.
REBUT PELUANG KUKUHKAN ATURAN BERBILANG HALA
Namun sebelum sidang puncak tersebut, PM Wong juga akan berunding cara untuk mengukuhkan aturan berbilang hala apabila beliau bertemu dengan para pemimpin tertinggi China dalam lawatan negara pertamanya sebagai Perdana Menteri.
Perdana Menteri Singapura itu juga melahirkan rasa yakin terhadap masa depan China, bermula dengan pemimpinnya yang berfikiran terbuka.
Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.