Skip to main content

Singapura

PM Wong lucutkan Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang, pelawa WP calonkan AP lain untuk galas peranan itu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Jan 2026 04:50PM Dikemas Kini : 23 Jan 2026 11:41PM
SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh dilucutkan sebagai Ketua Pembangkang, sehari selepas parlimen mengundi bahawa beliau tidak lagi sesuai untuk meneruskan dengan peranan tersebut selepas sabit kesalahan kerana berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata dalam satu kenyataan pada Khamis (15 Jan) bahawa keputusan itu diperlukan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, serta maruah dan integriti parlimen.

Encik Wong menambah bahawa beliau sudah mempelawa WP untuk mencalonkan seorang lagi Anggota Parlimen yang dipilih untuk menggalas peranan sebagai Ketua Pembangkang yang seterusnya.

“Calon ini tidak seharusnya terlibat dalam dapatan awal Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen, dan harus mampu memenuhi piawaian tinggi yang diharapkan daripada peranan ini. Saya berharap dapat menerima pencalonan mereka tidak lama lagi, agar jawatan penting dalam demokrasi berparlimen kita ini tidak dibiarkan kosong terlalu lama.”

Dalam kenyataannya, Encik Wong berkata semasa perbahasan parlimen pada Rabu (14 Jan), Encik Pritam menegaskan beliau menerima keputusan mahkamah, namun berkata beliau tidak bersetuju dengan dapatan itu dan mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah.

“Encik Pritam berhak terhadap pandangan peribadinya berhubung perkara ini. Namun, persoalan sama ada bersalah atau tidak ditentukan melalui proses mahkamah yang berkecuali. Encik Pritam disabitkan oleh Mahkamah Daerah atas dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa, sekali gus mengesahkan dapatan awal COP. Rayuannya ke Mahkamah Tinggi telah ditolak.

“Keputusan undang-undang ini adalah muktamad dan konklusif – ia mesti dihormati, dan diberi pertimbangan sepenuhnya dalam menentukan kesesuaiannya untuk terus berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang,” kata Encik Wong.

Dalam suratnya kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat WP, Encik Wong berkata Ketua Pembangkang memainkan peranan penting dalam sistem politik Singapura dan jawatan tersebut memikul tanggungjawab yang besar.

Surat penuh PM Wong:
Related article image
Related article image
Related article image
Pada Rabu, para AP menyokong usul yang dikemukakan oleh Ketua Dewan Indranee Rajah yang menggesa Anggota Parlimen untuk menyatakan rasa kecewa terhadap tingkah laku Encik Pritam, yang disifatkan sebagai “tidak terhormat dan tidak wajar” sebagai seorang AP.

Usul itu juga meminta para AP untuk mempertimbangkan bahawa tingkah klaku sedemikian menjadikannya tidak sesuai untuk terus menggalas peranan sebagai Ketua Pembangkang.

Cik Indranee berkata tingkah laku Encik Pritam melibatkan pelbagai pembohongan dan merupakan kegagalan dari segi kepimpinan, manakala ketua WP itu pula berkata hati nuraninya kekal jelas dan tidak bersetuju tingkah lakunya adalah tidak terhormat.

Menyusuli perbahasan yang berlangsung selama kira-kira tiga jam, sebilangan besar AP menyokong usul tersebut, manakala kesemua 11 AP WP yang hadir berdiri untuk menolak usul tersebut.

Encik Pritam dilantik sebagai Ketua Pembangkang oleh Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong, selepas Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Ketua Pembangkang menikmati beberapa keistimewaan, termasuk taklimat sulit oleh pemerintah berhubung isu-isu negara yang penting.

Di parlimen, beliau juga diberikan hak untuk memberi maklum balas pertama serta lebih banyak masa untuk berucap, setara dengan tempoh ucapan seorang menteri.

Ketua Pembangkang turut diberikan sebuah pejabat di parlimen, sokongan kakitangan dan sumber tambahan, serta elaun berganda berbanding seorang AP yang dipilih.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada Mei, apabila WP mengekalkan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied dan Sengkang serta Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang, Perdana Menteri Lawrence Wong mengesahkan bahawa Encik Pritam akan kekal sebagai Ketua Pembangkang.

Namun, itu berlaku sebelum rayuan Encik Pritam terhadap sabitannya yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

 
Sumber : CNA/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita