PM Wong lancarkan Bulan Bahasa 2025; pemerintah kekal komited lestarikan bahasa & budaya Melayu
Para Duta Bahasa bersama Tetamu Kehormat, Perdana Menteri Lawrence Wong, serta Pengerusi MBMS, Zhulkarnain Abdul Rahim dan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar: MBMS)
SINGAPURA: Setiap kaum di Singapura mesti berasa bangga akan warisan kaum masing-masing namun perlu mencari titik persamaan dan jangan biarkan perbezaan itu memecahbelahkan mereka.
Dalam ucapannya di acara pelancaran Bulan Bahasa 2025 pada Jumaat (29 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong berharap titik persamaan itu akan dapat menyatupadukan rakyat Singapura.
Beliau juga sekali lagi menegaskan komitmen pemerintah untuk terus menyokong usaha mempromosikan budaya dan bahasa Melayu, di samping memastikan bahasa ibunda lain terus berkembang di Singapura.
Menurutnya, itulah cara Singapura untuk membangunkan sebuah negara untuk semua di mana semua orang setara dan dihormati. Beliau juga mengajak warga Singapura untuk mendukung pendekatan itu demi memajukan lagi Singapura.
"Usaha ini penting kerana warisan budaya merupakan sebahagian daripada jati diri kita. Kita mungkin menggunakan bahasa Inggeris di tempat kerja tetapi kita tetap orang Timur. Sebab itulah setiap kaum di Singapura mesti berasa bangga akan budaya, bahasa dan tradisi mereka sendiri," ujar PM Wong.
"Pada masa yang sama, kita tidak mahu perbezaan ini memisahkan kita. Sebaliknya, kita mencari titik persamaan - kita bersatu padu sebagai satu rakyat. Pemerintah akan terus menyokong usaha untuk mempromosikan budaya dan bahasa Melayu. Kami juga akan memastikan bahasa ibunda lain terus berkembang, sekaligus menjadi sumber kebanggaan generasi akan datang," tambahnya.
PM WONG TEKUN BELAJAR BAHASA MELAYU
PM Wong juga berkongsi bahawa beliau bertekad untuk melakukan yang terbaik dalam mempelajari bahasa Melayu agar dapat terus berhubung secara langsung dengan masyarakat Melayu.
"Ibu bapa saya boleh berbahasa Melayu tetapi dahulu saya tidak berpeluang mempelajarinya dengan betul. Saya mula ke kelas bahasa Melayu apabila menyertai politik dan setelah menjadi Perdana Menteri, saya belajar Bahasa Melayu dengan lebih tekun lagi," ucap PM Wong.
"Ini supaya dapat berhubungan secara langsung dengan anda semua, masyarakat Melayu kita. Belajar Bahasa Melayu memerlukan banyak masa dan latihan, namun saya bertekad untuk melakukan yang terbaik. Terima kasih atas dorongan anda!" tambahnya.
PM Wong turut menekankan bahawa bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa sebagai bahasa kebangsaan dan salah satu daripada empat bahasa rasmi negara yang membantu rakyat "lebih memahami budaya dan sejarah yang kita kongsi bersama."
Kehadiran PM Wong selaku tetamu kehormat menyerikan lagi acara pelancaran Bulan Bahasa 2025 yang istimewa sempena SG60.
USAHA MEMASYARAKATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PERANTARAAN
Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Zhulkarnain Abdul Rahim juga mengalu-alukan gesaan PM Wong untuk terus melestarikan bahasa dan budaya pelbagai kaum di Singapura.
“Ucapan beliau amat menitikberatkan tentang bagaimana walaupun kita semuanya berbahasa berbeza-beza menerusi bahasa ibunda kita, tetapi ianya tidak menjadi sesuatu yang memecahbelahkan. Malah, bahasa ibunda kita menyatupadukan kita dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita yang menjadi bahasa kebanggaan semua," kata Encik Zhulkarnain yang juga menerajui kempen Bulan Bahasa.
"Ini memartabatkan bahasa Melayu dan memasyarakatkan bahasa Melayu dalam negara kita - bagaimana bahasa itu menjadi bahasa perantaraan untuk menyatupadukan masyarakat kita semasa membina negara kita 60 tahun yang lalu dan sehingga hari ini," tambahnya.
BULAN BAHASA TAMPIL KEKAYAAN BAHASA, BUDAYA DAN WARISAN MELAYU
Pelancaran Bulan Bahasa tahun ini juga turut menampilkan kekayaan warisan Melayu menerusi pelbagai persembahan.
Ini selain persembahan lagu oleh bakat muda, Nurjannah, diiringi para penari dari Sri Warisan.
Menurut Encik Zhulkarnain, Bulan Bahasa yang diadakan bertepatan dengan SG60 turut menyaksikan penyertaan oleh masyarakat bukan Melayu yang berkongsi cinta terhadap bahasa Melayu.
"Kita ada satu keunikan iaitu ramai di antara mereka yang melibatkan diri (untuk Bulan Bahasa) bukan terdiri daripada masyarakat Melayu kita sahaja tetapi masyarakat berbilang kaum yang menggunakan dan mencintai bahasa Melayu kita dan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan dan kebanggaan semua yang mampu menyatukan semua masyarakat di Singapura," ujar Encik Zhulkarnain.
PELBAGAI USAHA DIGERAKKAN BELIA
Tambah Encik Zhulkarnain, pelbagai usaha kali ini diadakan secara ‘ground-up’, dengan belia sendiri menyuntik idea-idea segar dan inovatif.
"Saya lebih teruja kerana dapat melihat lebih banyak aktiviti ataupun usaha ikhtiar yang diadakan secara 'ground-up', oleh masyarakat kita dan ia terdiri daripada belia-belia kita dan mereka memberikan satu suntikan inovatif yang segar dan mereka inginkan daya tarikan untuk diri mereka sendiri serta rakan-rakan mereka," menurut Encik Zhulkarnain.
DUTA BAHASA FATIH HAMDANI INGIN MANFAATKAN KEREMAJAANNYA UNTUK DEKATI GENERASI MUDA
Antaranya termasuk salah seorang Duta Bahasa yang dilantik tahun ini, Fatih Hamdani.
Pelantikan itu bukan hanya menjadi satu penghormatan besar bagi belia berusia 18 tahun itu bahkan merupakan dorongan yang besar baginya untuk terus melestarikan bahasa dan budaya Melayu.
"Saya rasa saya akan menggunakan ‘kemudaan’ saya kerana saya rasa ramai dalam generasi muda ini menganggap hanya orang yang lebih tua atau yang lebih berpengalaman sahaja (boleh menjadi Duta Bahasa)," kongsi Fatih kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Saya harap dengan pelantikan saya sebagai seorang wakil dari generasi muda, saya dapat melestarikan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan golongan muda terutamanya," tambah beliau.
Sebagai seorang yang minat menulis lagu dan menari, Fatih juga berharap dapat menggunakan bakat-bakatnya itu untuk menarik perhatian generasi muda.
Ini selain memanfaatkan platform media sosial.
"Kita harus lebih aktif menggunakan trend-trend yang ada seperti di TikTok, Instagram, atau apa-apa trend yang mungkin boleh diterjemahkan atau diinterpretasikan dalam bahasa Melayu. Kami boleh menggunakan trend-trend ini untuk terus memperkasa penggunaan bahasa Melayu," ujar Fatih.
DUTA BAHASA IZYAN MELLYNA HARAP MASYARAKAT DAPAT HARGAI KEINDAHAN BAHASA MELAYU
"Kalau dengan golongan muda, harus dengan cara dan gaya yang mungkin lebih santai. Kita harus menunjukkan kepada mereka bahawa bahasa Melayu ini bukan satu bahasa yang ketinggalan zaman, bahkan sesuatu yang kita boleh gabungkan antara moden dan tradisi. Saya rasa bahasa ini sebenarnya bukan sahaja alat komunikasi, tetapi ia boleh menjadi satu jambatan untuk mengaitkan sesuatu yang moden dan tradisional," kongsi Izyan.
Bagi dirinya yang sudah lama berkecimpung dalam bidang media dan seni, bahasa Melayu itu sudah menjadi sebahagian daripada identitinya.
Oleh itu, pelantikan sebagai Duta Bahasa dianggap sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab besar yang perlu digalasnya.
"Saya betul-betul berharap masyarakat boleh melihat keindahan bahasa Melayu ini dan saya berharap saya tidak dilihat sebagai seseorang yang mengarah tetapi hanya untuk memberi inspirasi. Jadi mereka (masyarakat) boleh menerima bahasa (Melayu) dan bukan sekadar melihatnya sebagai satu subjek sahaja, tetapi melihat keindahannya. Itu pada saya lebih penting dan menerusi itu juga, mereka boleh mempelajari untuk menghargainya," ujar Izyan.
DUTA BAHASA HIDAYAT NORDIN INGIN BERI KEYAKINAN KEPADA GOLONGAN MUDA GUNA BAHASA MELAYU MESKI MEREKA KURANG FASIH
Pelantikan itu juga memberi semangat bagi Encik Hidayat Nordin untuk meneruskan usaha beliau melestarikan budaya dan seni Melayu kepada generasi muda.
Beliau mahu terus berusaha untuk memberikan keyakinan kepada golongan muda untuk menggunakan bahasa Melayu.
"Saya mahu memberikan keyakinan kepada belia supaya kalau mereka tidak fasih sangat, tidak mengapa asalkan perlahan-lahan, mereka menggunakan dan mengenali bahasa Melayu itu sebab 'kalau tak kenal, maka tak cinta'. Jadi saya rasa itu adalah satu pendekatan yang boleh saya terapkan dalam usaha saya mendekati belia-belia ini," tambahnya.
Untuk Bulan Bahasa kali ini, Encik Hidayat akan mengendalikan satu rancangan digital di TikTok dan Instagram bersama Encik Nadiputra dan juga artis muda, Qis Maraj dalam sesi membedah lirik.
Bulan Bahasa 2025 anjuran MBMS akan berlangsung hingga 12 Oktober ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.