Skip to main content

Singapura

PM Wong lakukan perubahan dasar 'berani' dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan sulungnya: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong lakukan perubahan dasar 'berani' dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan sulungnya: Penganalisis

Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan. (Gambar: MDDI)

SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong telah membuat beberapa pengumuman dasar besar dan berani dalam Rapat Hari Kebangsaan sulungnya, mengorak lagi langkah ke arah kompak sosial diperbaharui sebagaimana yang dijanjikan dalam inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura, kata para pengamat politik.

Encik Wong, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei tahun ini, menyampaikan ucapan rapat umum itu pada Ahad (18 Ogos). Rapat Umum Hari Kebangsaan dilihat sebagai ucapan politik paling penting pada setiap tahun.

Encik Wong, tambah para pengamat, juga berjaya menampilkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang memahami rakyat apabila beliau berkongsi pengalaman peribadinya. Mereka percaya pendekatan ini dapat menarik perhatian generasi rakyat Singapura yang lebih muda, khususnya mereka yang dilahirkan selepas kemerdekaan.

"(Semasa menyampaikan ucapan), beliau seolah-olah bercakap sesama warga, dan bukannya sebagai Perdana Menteri," kata Zamil Kanan Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam Dr Leong Chan-Hoong. Beliau juga ketua program kajian perpaduan sosial di sekolah tersebut.

"Ada banyak bahagian dalam ucapannya, beliau menunjukkan dirinya memahami rakyat, terutama sekali ketika menceritakan dirinya baik-baik sahaja walaupun telah menuntut di sekolah kejiranan. Generasi muda akan mendapati perkara ini lebih mudah untuk difahami."

Dr Teo Kay Key, seorang zamil penyelidik di Institut Pengajian Dasar menambah, ucapan itu juga membantu rakyat Singapura mengenali Perdana Menteri baharu mereka dengan lebih baik lagi.
MEMBAWA SINGAPURA KE HADAPAN

Para pemerhati juga berpandangan nada dan intipati ucapan Encik Wong selaras dengan gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, di mana pemerintah mahu mewujudkan satu kompak sosial baharu untuk membawa Singapura ke hadapan, di tengah-tengah persekitaran global yang berubah-ubah.

"Ia menunjukkan usaha mencuba menggubal semula dasar-dasar untuk 'memperbaharui' dan 'menyesuaikan semula' kompak sosial," kata Zamil Penyelidik Institut Pengajian Dasar Dr Teo Kay Key.

Beliau menambah, sekalipun matlamat dasar-dasar tidak berubah, pelan-pelan yang dicadangkan kini jelas berbeza.

"Saya rasa, selain cuti paterniti - yang sudahpun dinaikkan sebelum ini dan maka itu tidak dijangkakan - serta perubahan-perubahan lain, pada dasarnya bersifat lebih 'berani' kerana ia bertitik tolak daripada bagaimana dasar-dasar asal dilakar," kata Dr Teo.

Pada Ahad (18 Ogos), Encik Wong mengumumkan pelbagai perubahan, seperti manfaat perumahan buat golongan bujang dan satu skim baharu untuk membantu mereka yang tidak bekerja.



"Perkara utama yang ditekankan pada malam ini benar-benar soal pendekatan lebih saksama dalam pengurusan dasar-dasar Singapura," ulas Dr Leong.

"Misalnya, beliau bercakap tentang membolehkan GEP (Program Pendidikan Bijak) disediakan di semua sekolah. Ia satu mesej jelas tentang apa yang boleh kami jangkakan, apakah dasar-dasar yang mengagihkan semula sumber-sumber kepada masyarakat Singapura lebih luas. Ini termasuk perumahan awam di kawasan bandar, yang dahulu hanya tersedia bagi mereka yang lebih berkemampuan."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita