PM Wong: Jangan biarkan prejudis terhadap mana-mana masyarakat jadi perkara biasa di SG
Perdana Menteri Lawrence Wong menggesa rakyat Singapura supaya menolak sentimen perkauman dan prejudis terhadap mana-mana masyarakat serta tidak membiarkannya menjadi perkara biasa di negara ini.
- Prime Minister Lawrence Wong urged Singaporeans to reject racial sentiments and prejudice so that they do not become the norm in society.
- The call came following a rise in racist comments online, including over the issue of missing people in Nepal and SIA's investment in Air India.
- PM Wong stressed the importance of distinguishing between robust debate and prejudice, and called on the public to respond by rejecting negative views.
- He reminded Singaporeans that Singapore's unity has been preserved because they have consistently rejected attempts to divide them along racial or religious lines.
- Perdana Menteri Lawrence Wong menggesa rakyat Singapura menolak sentimen perkauman dan prejudis agar tidak menjadi norma dalam masyarakat.
- Gesaan ini dibuat susulan peningkatan komen berbaur perkauman dalam talian, termasuk isu rakyat hilang di Nepal dan pelaburan SIA di Air India.
- PM Wong menekankan pentingnya membezakan antara perbahasan tegas dan prejudis, serta menyeru masyarakat bertindak balas dengan menolak pandangan negatif.
- Beliau mengingatkan bahawa perpaduan Singapura terpelihara kerana rakyat konsisten menolak usaha memecahbelahkan berdasarkan kaum atau agama.
Dalam catatan Facebook pada Ahad (6 Sep), PM Wong berkata identiti Singapura mesti kekal terbuka dan inklusif, tanpa mengira latar belakang seseorang.
“Walau apa pun latar belakang kita, jika kita menerima nilai-nilai dan cara hidup kita, kita adalah sebahagian daripada negara ini.
“Inilah yang diperjuangkan dalam Ikrar Negara kita dan saya percaya sebahagian besar rakyat Singapura berkongsi pandangan ini,” katanya.
Namun, PM Wong berkata satu sisi yang lebih buruk muncul di online sejak kebelakangan ini.
Beliau merujuk kepada komen berbaur perkauman yang dibuat mengenai rakyat Singapura yang masih hilang selepas banjir dahsyat di Nepal.
Menurutnya, persoalan mengenai pelaburan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India baru-baru ini turut disertai kecaman anti-India.
PM Wong menegaskan bahawa perbezaan antara perbahasan yang tegas dengan prejudis perlu diperjelaskan.
“Kita boleh dan harus mengadakan perbahasan yang tegas. Namun, kita tidak seharusnya menggunakan hujah yang kelihatan sah sebagai alasan untuk menyemarakkan prejudis terhadap mana-mana masyarakat atau permusuhan terhadap warga asing,” katanya.
Beliau menambah bahawa pandangan sedemikian tidak mewakili Singapura, namun ia juga tidak boleh diketepikan sebagai sekadar perbualan dalam talian yang tidak mendatangkan bahaya.
Menurut PM Wong, jika tingkah laku sedemikian dibiarkan, ia boleh menjadi perkara biasa, meningkatkan rasa tidak percaya antara masyarakat dan memecahbelahkan rakyat.
Beliau berkata perkembangan tersebut sudah dibincangkan bersama rakan-rakan Kabinetnya dan Menteri Kanan K Shanmugam turut bersuara tegas mengenainya pada hujung minggu.
PM Wong berkata Singapura pernah berdepan sentimen serupa sebelum ini, termasuk sentimen antiwarga asing dan perkauman semasa pandemik COVID-19 serta perbahasan mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif India-Singapura (CECA).
Sentimen sedemikian turut muncul semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), apabila beliau bersuara menentang percubaan membawa isu kaum dan agama ke dalam politik.
“Akan sentiasa ada pihak yang cuba mengeksploitasi perbezaan kita. Kita tidak dapat menghalang setiap komen berunsur kebencian daripada muncul online. Namun, cara kita bertindak balas terpulang kepada kita.
“Kita boleh menolak pandangan sedemikian dan enggan memberikan lebih banyak ruang atau kesahihan kepadanya,” katanya.
PM Wong berkata Singapura kekal bersatu kerana negara ini secara konsisten menolak usaha untuk memecahbelahkan rakyat berdasarkan kaum atau agama dan sebaliknya memilih untuk mengiktiraf satu sama lain sebagai rakyat Singapura.
“Kita mesti terus membuat pilihan itu dan berpegang teguh kepada cita-cita dalam Ikrar Negara kita — tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama.
“Kita tidak boleh sekali-kali membiarkan prejudis terhadap mana-mana masyarakat diterima atau menjadi perkara biasa di Singapura,” tegasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.