Skip to main content

Singapura

PM Wong gesa sistem undang-undang SG dikaji semula di tengah gangguan AI

Rangka kerja undang-undang sedia ada tidak direka bagi dunia di mana kecerdasan buatan (AI) membolehkan mesin untuk membuat “keputusan penting”, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (13 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 May 2026 04:28PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 01:48PM
  • Perdana Menteri Lawrence Wong menegaskan undang-undang Singapura perlu disemak semula kerana AI membolehkan mesin membuat keputusan penting, menimbulkan isu tanggungjawab dan liabiliti.
  • Beliau menekankan perlunya keseimbangan antara keselamatan dan inovasi, serta memastikan undang-undang tidak ketinggalan atau menghalang kreativiti.
  • Wong turut membincangkan cabaran akses kepada keadilan, perlindungan undang-undang dadah, dan kawalan ucapan demi keharmonian masyarakat.
  • Di peringkat antarabangsa, beliau menegaskan Singapura mesti mempertahankan prinsip undang-undang demi kepentingan negara kecil dalam sistem global.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Rangka kerja undang-undang sedia ada tidak direka bagi dunia di mana kecerdasan buatan (AI) membolehkan mesin untuk membuat “keputusan penting”, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (13 Mei).

Realiti tersebut memerlukan pertimbangan semula dari segi tanggungjawab, liabiliti dan kebertanggungjawaban, tambah beliau.

Sambil mengakui bahawa langkah tersebut tidak mudah dilakukan, Encik Wong menarik perhatian kepada ketegangan antara perkembangan yang terlalu perlahan sehingga undang-undang ketinggalan, dengan perkembangan yang terlalu pantas sehingga mengekang inovasi.

“Kita mesti mencapai keseimbangan yang betul - antara keselamatan dengan kemajuan, antara kawalan dengan kreativiti,” kata beliau.

Encik Wong berkata demikian di Forum Belia SGLaw200 sebagai sebahagian daripada acara untuk memperingati ulang tahun ke-200 sistem undang-undang dan kehakiman moden Singapura.

Beliau berkata AI berkembang dengan lebih pesat berbanding kemampuan sistem undang-undang untuk mengejarnya, sambil memberi contoh penipuan yang semakin canggih, 'deepfake' dan maklumat palsu sebagai kesan penggunaan teknologi itu.

“Walaupun kita memanfaatkan teknologi, kita mesti mengetahui bahawa undang-undang akhirnya bergantung pada pertimbangan manusia,” kata Encik Wong.

“Mesin boleh membantu, menganalisis dan membuat saranan. Namun persoalan tentang tanggungjawab, keadilan dan kesaksamaan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada algoritma.

“Ini persoalan bagi manusia, yang mesti diputuskan oleh manusia - dan ia mesti kekal sebegitu.”

Akses kepada keadilan juga merupakan satu lagi cabaran yang dihadapi sistem undang-undang semasa, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Sistem undang-undang terbaik di dunia sekali pun tidak bermakna jika ia tidak dapat diakses rakyat biasa, kata Encik Wong.

“Sesuatu sistem hanya berfungsi jika rakyat Singapura boleh menggunakannya untuk mendapatkan keadilan dan menguatkuasakan hak mereka,” tambah beliau.

Encik Wong berkata Singapura sudah mencapai kemajuan penting dalam bidang tersebut menerusi penubuhan Pejabat Peguam Bela Awam yang dibiayai pemerintah pada 2022.

Namun, jurang masih wujud bagi kumpulan rentan yang mungkin tidak tahu cara untuk mengemudi sistem undang-undang, kata Encik Wong.

Beliau berkata itulah sebabnya Kementerian Undang-Undang (MinLaw) menubuhkan sebuah pasukan bertindak bagi mewujudkan sebuah sistem keadilan yang lebih inklusif.

UNDANG-UNDANG DALAM KEHIDUPAN HARIAN

Pragmatisme semata-mata tidak mencukupi, tambah perdana menteri itu, kerana kedaulatan undang-undang merupakan “kontrak sosial hidup” yang bergantung kepada keyakinan orang ramai terhadapnya serta kesediaan mereka untuk mempertahankannya.

“Institusi utama kita - polis, Pejabat Peguam Negara (AGC), badan kehakiman - mesti menegakkan piawaian tertinggi dan bertindak dengan integriti dan demi kepentingan awam,” kata beliau.

Satu lagi contoh yang disingkap Encik Wong ialah undang-undang Singapura berhubung pengedaran dadah.

Apabila dadah ditemui dalam pada seseorang, dalam banyak sistem perundangan lain, pihak pendakwa mesti membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa tertuduh mengetahui dirinya membawa dadah tersebut, kata Encik Wong.

“Namun membuktikan apa yang diketahui seseorang selalunya amat sukar,” kata Encik Wong, kerana seseorang individu boleh mendakwa mereka tidak tahu tentang dadah tersebut.

“Ini menjadikan penguatkuasaan amat sukar, dan pengedar dadah tahu bagaimana untuk mengambil kesempatan atas perkara itu,” kata beliau.

Menurut Encik Wong, sebabnya itulah Singapura mengambil pendekatan yang berbeza.

“Jika dadah ditemui pada anda, undang-undang di Singapura mengandaikan anda tahu bahawa ia berada di situ. Beban pembuktian beralih kepada anda untuk membuktikan sebaliknya. Ini mencerminkan realiti yang praktikal: anda merupakan pihak yang paling berpengetahuan tentang apa yang ada di dalam simpanan anda.”

Beliau turut menekankan perlindungan yang wujud bersama anggapan berkanun tersebut.

“Setiap kes melalui siasatan dan perbicaraan penuh di hadapan hakim bebas. Tertuduh berhak mendapatkan representasi guaman - dan bagi kes hukuman mati, pemerintah akan melantik peguam bela secara percuma. Setiap keputusan hukuman mati akan disemak secara automatik oleh Mahkamah Rayuan, walaupun tertuduh tidak membuat rayuan.”

Contoh ketiga yang dikongsi Encik Wong ialah ucapan dan ruang online.

“Di sesetengah negara, ucapan yang menyinggung perasaan sekali pun akan dilindungi atas sebab kebebasan untuk bersuara. Anda boleh menghina kaum atau agama seseorang. Anda boleh menerbitkan maklumat palsu secara online. Tanggapannya ialah ucapan yang buruk boleh ditangani dengan lebih banyak ucapan - bukan sekatan undang-undang,” kata Encik Wong.

Singapura mengambil pandangan berbeza kerana ucapan yang menghina kaum atau agama boleh memecahbelahkan masyarakat, menormalisasikan kebencian dan membawa kepada keganasan, kata beliau.

“Ada yang mengkritik pendekatan ini sebagai terlalu ketat. Namun hari ini, masyarakat yang dahulunya mengambil pendekatan yang lebih longgar juga sedang mengetatkan undang-undangnya - kerana mereka berdepan cabaran dan realiti yang sama,” kata Encik Wong.

Penguatkuasaan undang-undang mesti berfungsi dalam rangka kerja undang-undang, jika tidak, ia berisiko disalahgunakan, kata Encik Wong.

“Namun jika kuasa itu dikekang dengan terlalu ketat dalam sesuatu rangka kerja, penjenayah akan mengambil kesempatan daripada kelemahan yang ada, pihak bersalah akan terlepas, dan orang biasa akan menanggung akibatnya.

Justeru, setiap negara mesti mencari keseimbangannya sendiri dalam hal tersebut.

“Kedaulatan undang-undang juga bukan sekadar ketenteraman atau kecekapan. Ia juga melibatkan legitimasi.

“Orang ramai mesti percaya bahawa sistem itu adil - bahawa mereka dilayan secara bermaruah, dan keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi juga dilihat sebagai dilaksanakan. Tanpa keyakinan itu, undang-undang paling kukuh sekali pun tidak akan bertahan,” kata Encik Wong.

Menyentuh tentang kedaulatan undang-undang di peringkat antarabangsa, Encik Wong berkata ia kini semakin tertekan, dengan lebih banyak negara “bertindak secara sepihak tanpa menghiraukan akibatnya”.

Negara-negara kecil dan lebih rentan merasakan kesannya terlebih dahulu, kata beliau, sambil menambah bahawa itulah sebabnya Singapura menyuarakan pendiriannya di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, jika prinsip seperti undang-undang laut menjadi lemah, ia akan menjejas Singapura secara langsung sebagai sebuah negara perdagangan, kata Encik Wong.

“Apabila prinsip asas diuji, kami menyatakan pendirian kami dengan jelas dan konsisten,” kata beliau.

“Jadi ini bukan sekadar soal idealisme. Ini soal kepentingan negara. Dan bagi sebuah negara kecil seperti Singapura, sistem peraturan antarabangsa yang kukuh dan berfungsi adalah sangat penting.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita