Skip to main content

Singapura

PM Wong gesa pemimpin APEC kerjasama, perbaharui WTO di tengah 'masa tidak menentu'

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong gesa pemimpin APEC kerjasama, perbaharui WTO di tengah 'masa tidak menentu'

Perdana Menteri Lawrence Wong menghadiri sesi pertama Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 pada 31 Oktober 2025. (Gambar: MDDI)

GYEONGJU, Korea Selatan: Pemimpin-pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menghadiri sidang puncak itu sedang keadaan tidak menentu, tetapi kumpulan tersebut boleh membawa perubahan dengan mendakapi semangat kerjasama, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (31 Okt).

Dalam ucapannya semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC, PM Wong menyeru para pemimpin lain agar bersikap pragmatik dan berpandangan jauh.

“Dengan berbuat demikian, kita dapat menghasilkan keputusan nyata bagi ekonomi kita, sambil mengukuhkan aturan dunia berasaskan peraturan,” katanya.

PM Wong berkata tekanan ke arah perpecahan semakin meningkat dan usaha berbilang hala kini terancam.

Oleh itu, adalah penting untuk menegaskan kembali prinsip dan nilai teras APEC.

Beliau menggesa para pemimpin APEC agar bekerjasama dalam memperbaharui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) supaya ia kekal “berkesan dan relevan”.

Prinsip WTO yang membuat keputusan atas persetujuan bersama kini menjadi “resipi kepada kebuntuan”, katanya, sambil menambah bahawa mekanisme baharu diperlukan agar hasil yang bermakna dapat dicapai.

PM Wong turut menyentuh tentang usaha meningkatkan kerjasama merentasi pelbagai kumpulan perdagangan bagi mencapai matlamat jangka panjang untuk mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.

Beliau berkata perjanjian sedia ada merupakan asas penting, dan kerjasama perlu dijalin bagi perjanjian tersebut.

Beliau juga menekankan bahawa perjanjian sektor - seperti yang sedang dibangunkan oleh Singapura, Chile dan New Zealand dalam bidang ekonomi hijau - boleh membawa kepada penyelarasan secara beransur-ansur dalam bidang tertentu.

Misi untuk menyokong perdagangan serta pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini kini “lebih penting berbanding sebelumnya,” kata PM Wong.

“Singapura mengalu-alukan kerjasama dengan semua ekonomi APEC bagi membina sistem global yang memberi manfaat kepada semua.”

Di luar sesi dan dialog rasmi, PM Wong turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan para pegawai dari Amerika Syarikat, Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau bertemu dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Scott Bessent, Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan, yang mewakili UAE.

PM Wong juga menghadiri majlis jamuan malam oleh Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Rabu dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon pada Khamis di Gyeongju.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjadi tetamu kehormat pada majlis jamuan malam pada Rabu, sebelum pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping pada pagi Khamis di Busan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita