PM Wong galak rakyat SG lawat, buka perniagaan di Timor-Leste sedang ekonominya berkembang
Encik Lawrence Wong berharap lawatannya ke Timor-Leste, iaitu yang pertama oleh seorang perdana menteri Singapura, akan mencetuskan lebih banyak minat dan pertukaran antara rakyat Singapura dengan warga Timor-Leste.
- Encik Lawrence Wong mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Dili, Timor-Leste, sebagai perdana menteri Singapura pertama berbuat demikian.
- Beliau berharap lawatan ini akan meningkatkan minat, pertukaran dan kerjasama antara rakyat Singapura dan Timor-Leste, serta membuka peluang perniagaan baharu.
- PM Wong mengakui cabaran pelaburan di ekonomi baharu seperti Timor-Leste, namun menasihatkan syarikat Singapura agar berpandangan terbuka dan mencari rakan tempatan.
- Singapura akan membuka sektor pembinaan, limbungan kapal marin dan pemprosesan kepada pekerja Timor-Leste tahun hadapan, selain menggalakkan rakyatnya mempelajari budaya tempatan.
"Terdapat banyak kemungkinan, dan semoga lawatan ini dapat mencetuskan lebih banyak minat dalam kalangan rakyat Singapura, dan ia akan mendorong lebih banyak perkongsian dan interaksi antara rakyat Singapura dengan warga Timor-Leste," kata PM Wong kepada media Singapura pada Jumaat (3 Jul), di penghujung lawatan dua harinya ke ibu kota Dili.
Terdapat "banyak ruang untuk optimisme terhadap potensi jangka panjang Timor-Leste", katanya.
"Mereka adalah sebuah negara muda, penduduk penuh bertenaga dan mereka mempunyai sumber, mereka berpotensi berkembang lebih jauh daripada mereka berada sekarang."
PM Wong berkata status Timor-Leste sebagai sebuah ekonomi baharu juga akan menimbulkan cabaran kepada rakyat Singapura yang berhasrat melabur di negara itu.
"Bagi perniagaan yang ingin menembusi pasaran baharu, mereka perlu datang dengan minda terbuka, akur bahawa akan sentiasa ada kerumitan apabila anda ke luar negara - perniagaan perlu berpandangan jauh dan perlu mencari rakan kongsi tempatan yang baik," katanya.
"Ini adalah sesuatu yang perniagaan-perniagaan perlu tahu lakukan. Pemerintah tidak dapat membimbing perniagaan dalam membuat keputusan sedemikian."
Encik Wong bertemu dengan sekumpulan 50 hingga 60 rakyat Singapura yang berpangkalan di Timor-Leste pada Khamis, dan berkata beliau terdorong oleh perkongsian itu.
"Walaupun jumlah mereka mungkin kecil, ramai yang sudah lama berada di sini dan bertapak kukuh, malah sebahagian daripada mereka telah memulakan perniagaan dalam pelbagai bidang yang berbeza," katanya.
Walaupun tidak semua yang berjaya, "terdapat sejumlah" yang berkembang maju dan optimistik mengenai laluan di hadapan, katanya.
Rakyat Singapura yang menimbangkan untuk menubuhkan perniagaan di sana "berdepan dimensi pembelajaran yang baharu", tetapi boleh memanfaatkan pengalaman mereka yang sudah menemui kejayaan.
Sedang Timor-Leste mempelbagaikan ekonomi menjangkau minyak dan gas, Encik Wong berkata sektor-sektor baharu seperti hospitaliti, prasarana dan ekonomi biru - iaitu penggunaan kawasan pantai dan laut bagi pertumbuhan ekonomi - boleh membuka peluang bagi perniagaan Singapura.
"Sedang Timor-Leste membuka ekonominya, mungkin ada peluang baharu bagi perniagaan Singapura, dan persatuan perniagaan kita yang mungkin berminat," katanya, sambil menambah, satu misi perniagaan boleh dianjurkan bagi membolehkan lebih banyak syarikat "melihat sendiri apakah peluang-peluang tersebut".
Encik Wong juga menggalakkan rakyat Singapura dan pelancong lain untuk mengunjungi Timor-Leste dan mempelajari mengenai budaya dan penduduknya.
"Jangan sekadar datang dengan tanggapan bahawa orang ramai ingin belajar daripada kita, memang benar, tetapi pada pendapat saya, dalam banyak hal kita juga boleh pelajari daripada mereka," katanya, sambil menambah bahawa para pengunjung seharusnya berusaha untuk mempelajari adat resam, norma, dan sedikit sebanyak bahasa tempatan.
Semasa lawatan itu, Encik Wong menerima penghormatan tertinggi Timor-Leste dari Presiden Jose Ramos-Horta.
Beliau juga mengumumkan bahawa Singapura akan membuka sektor pembinaan, limbungan kapal marin dan pemprosesannya kepada pekerja dari Timor-Leste pada tahun hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.