Skip to main content

Singapura

PM Wong dan Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah bincang tingkat hubungan dua hala SG-Brunei

Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Singapura pada Selasa (29 Sep), dengan kedua-dua pihak membincangkan usaha untuk memperdalam kerjasama dua hala dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong dan Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah bincang tingkat hubungan dua hala SG-Brunei

Perdana Menteri Lawrence Wong mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah (kiri) di Istana pada 29 September 2026. (Gambar: Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital)

Diterbitkan : 29 Sep 2026 10:14PM
  • Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah berada di Singapura selama lima hari bagi Program Pemimpin Muda Singapura-Brunei ke-12, program tahunan sejak 2013 untuk membina hubungan pemimpin masa hadapan.
  • Beliau bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam, PM Lawrence Wong dan SM Lee Hsien Loong, dengan perbincangan meliputi perkembangan sejagat serta cara memperkukuh hubungan istimewa Singapura-Brunei.
  • Kedua-dua pihak menekankan kerjasama dua hala dalam bidang kepentingan bersama, termasuk peluang untuk perniagaan dan rakyat, terutama menjelang ulang tahun ke-60 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang pada 2027.
  • Lawatan itu merangkumi Pelabuhan Tuas dan beberapa institusi lain, selain pemeteraian MoU untuk meningkatkan kerjasama pembangunan maritim dan pelabuhan antara Singapura dengan Brunei.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Singapura pada Selasa (29 Sep), dengan kedua-dua pihak membincangkan usaha untuk memperdalam kerjasama dua hala dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam kenyataannya.

Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah, yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, kini berada di Singapura bagi Program Pemimpin Muda Singapura-Brunei ke-12.

Program tahunan yang diadakan sejak 2013 itu bertujuan untuk membina dan memperkukuh hubungan antara generasi pemimpin masa hadapan kedua-dua negara.

Semasa lawatannya, Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah diraikan dalam satu jamuan petang oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong dan diraikan dalam satu jamuan tengah hari oleh Menteri Kanan Lee Hsien Loong.

Menurut MFA, mereka mengadakan perbincangan yang meluas mengenai perkembangan sejagat yang menjadi kepentingan bersama Singapura dan Brunei.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama yang boleh mewujudkan peluang bagi syarikat perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak juga saling menegaskan komitmen untuk memperkukuh "hubungan istimewa" antara Singapura dengan Brunei, terutama menjelang ulang tahun ke-60 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang pada 2027.

HUBUNGAN RAPAT, DIYAKINI SEMAKIN PENTING: PM WONG

Dalam catatannya di Facebook pada Selasa, PM Wong berkata beliau dan Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah mengadakan perbincangan yang meluas mengenai perkembangan sejagat yang menjejas kedua-dua negara.

"Sedang persekitaran sejagat menjadi semakin tidak menentu dan rumit, kerjasama erat dan diyakini seperti hubungan kita menjadi semakin berharga," kata PM Wong.

Mengenai pertemuannya dengan Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah, SM Lee berkata mereka mengadakan perbincangan yang muhibah mengenai perkembangan di kedua-dua negara dan cara-cara untuk mempertingkatkan hubungan istimewa Singapura-Brunei.

Menurut SM Lee, kerjasama yang terjalin sejak sekian lama itu bertunjangkan hubungan peribadi yang rapat antara para pemimpin kedua-dua negara.

Beliau menambah hubungan tersebut perlu terus dipupuk supaya dapat bertahan dan dipertingkatkan oleh generasi seterusnya.

LAWATAN LIMA HARI KE SINGAPURA

Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah tiba di Singapura pada Isnin (28 Sep) bagi lawatan lima hari dan akan diraikan dalam satu jamuan malam oleh PM Wong pada Khamis.

Beliau melawat Pelabuhan Tuas pada Isnin (28 Sep) dan dijadual mengunjungi beberapa lokasi lain, termasuk Singapore Oceanarium, SAFTI City, Masjid Sultan dan Taman Warisan Melayu.

Lawatan beliau turut merangkumi Temasek Shophouse, Institut Perubatan Biodiversiti SingHealth Duke-NUS, Daerah Digital Punggol dan Institut Teknologi Singapura (SIT).

Singapura dan Brunei turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di luar Program Pemimpin Muda itu bagi mempertingkat kerjasama dalam pembangunan maritim dan pelabuhan, menurut MFA.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita