PM Wong, Chan Chun Sing bakal bentang respons pemerintah terhadap semakan gaji pemegang jawatan politik
Semakan gaji pemegang jawatan politik akan menjadi antara tumpuan parlimen apabila ia bersidang pada Selasa (8 Sep).
Gambar fail: CNA/Jeremy Long
- Parlimen Singapura akan membincangkan semakan gaji pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen pada 8 September, dengan maklum balas daripada Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Chan Chun Sing.
- Jawatankuasa bebas telah menyelesaikan semakan gaji, namun pemerintah menangguhkan pertimbangan saranan tersebut kerana ketidaktentuan global seperti perang di Timur Tengah.
- Rangka kerja gaji semasa belum disemak sejak 2011, walaupun saranan untuk semakan berkala setiap lima tahun telah dibuat oleh jawatankuasa sebelum ini.
- Pemerintah juga pernah menangguhkan semakan pada 2023 akibat risiko kemerosotan ekonomi global dan keadaan luar yang tidak menentu.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong serta Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing akan menyampaikan maklum balas pemerintah terhadap semakan gaji pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen.
Kenyataan menteri tersebut akan dibahaskan pada Khamis di bawah peraturan tetap 44.
Pada Januari, Encik Chan berkata sebuah jawatankuasa bebas sudah dibentuk untuk menyemak gaji para pemegang jawatan politik.
Rangka kerja gaji tersebut merangkumi gaji semua pemegang jawatan politik serta Anggota Parlimen (AP) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).
Pada Mei, Encik Chan berkata jawatankuasa tersebut sudah menyelesaikan semakannya, namun pemerintah memutuskan untuk menangguhkan pertimbangan terhadap saranan yang dikemukakan berikutan ketidaktentuan akibat perang di Timur Tengah.
Beliau ketika itu berkata pemerintah akan mengeluarkan laporan jawatankuasa tersebut berserta responsnya pada masa yang sesuai.
Rangka kerja gaji dan gaji para pemegang jawatan politik belum pernah disemak sejak ia berkuat kuasa pada Mei 2011.
Rangka kerja gaji semasa ditetapkan oleh sebuah jawatankuasa semakan pada 2012, dengan pemerintah menerima saranannya supaya rangka kerja tersebut disemak oleh sebuah jawatankuasa bebas setiap lima tahun.
Sebuah lagi jawatankuasa kemudiannya dibentuk pada 2017 untuk menyemak rangka kerja 2012 itu. Ia mendapati rangka kerja tersebut masih sesuai dan gaji pemegang jawatan politik harus diselaraskan setiap tahun sejajar dengan perubahan gaji yang menjadi penanda aras.
Namun, pemerintah memutuskan untuk tidak membuat sebarang perubahan pada gaji pemegang jawatan politik ketika itu.
Pada 2023, pemerintah memutuskan untuk menangguhkan semakan yang dijadualkan disebabkan oleh keadaan luar yang tidak menentu serta risiko kemerosotan ekonomi global ketika itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.