PM Wong bentang 3 teras utama pacu SG harungi ketidaktentuan global
Di tengah-tengah perkembangan global yang amat membimbangkan dan walaupun berdepan hambatan dan rintangan sebagai sebuah negara kecil, Singapura "bukan lagi sebuah negara yang terbatas dan tidak mempunyai sumber", kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (16 Apr).
Kemakmuran Singapura bergantung kepada "aturan global berasaskan peraturan yang stabil". Apabila aturan lama bercelaru, yang baharu akhirnya akan muncul, kata PM Wong, semasa Ceramah S Rajaratnam bagi edisi tahun ini, yang disampaikan kepada para pemegang jawatan politik, diplomat dan pegawai kanan pemerintah.
Siri Ceramah S Rajaratnam dianjurkan oleh Akademi Diplomatik Kementerian Ehwal Luar (MFA). Dinamakan sempena menteri ehwal luar pertama Singapura yang memegang jawatan tersebut dari 1965 hingga 1980, acara itu dihadiri lebih 900 tetamu.
Penceramah terdahulu termasuk mantan Presiden Halimah Yacob, Tony Tan dan S R Nathan, mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong, serta Menteri Kanan Lee Hsien Loong.
Aturan baharu itu berkemungkinan lebih dicabar dan kurang diselaraskan, dan tidak akan dibentuk oleh "reka bentuk sesebuah kuasa besar", kata PM Wong.
Walaupun Singapura terbatas sebagai sebuah negara kecil, ia tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh dalam landskap yang sedang berkembang ini, kata PM Wong.
"Sebaliknya, kita mesti bertindak dengan tangkas dan penuh tekad, dan secara aktif membentuk masa depan kita sendiri. Dan Singapura hari ini bukan tanpa sumber dan rangkaiannya," tambah PM Wong sambil menambah bahawa negara ini kini mempunyai sumber yang lebih baik dan lebih terhubung berbanding sebelum ini.
"Lebih penting, kita tidak bersendirian."
Banyak negara yang berfikiran sama berkongsi komitmen Singapura terhadap sistem global yang terbuka, stabil dan berasaskan peraturan, kata PM Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Singapura akan memperdalam dan mengembangkan rangkaiannya dengan mereka, tambah PM Wong.
"Dan bersama-sama, kita boleh mengekalkan rangka kerja berbilang hala yang penting dan menetapkan asas untuk aturan global yang lebih stabil yang boleh muncul pada tahun-tahun mendatang," kata PM Wong.
Beliau turut menekankan tiga teras utama yang Singapura merancang untuk memberi tumpuan - menyumbang secara aktif kepada kepentingan global, memperjuangkan perpaduan dan integrasi serantau yang lebih mendalam, serta mengukuhkan rangkaian perkongsian globalnya.
Banyak cabaran paling mendesak di dunia memerlukan lebih banyak kerjasama global, kata PM Wong, sambil merujuk kepada contoh-contoh seperti tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI) dan perubahan iklim.
Apabila Singapura menyatakan bahawa ia menyokong undang-undang antarabangsa dan berbilang hala, ia "bukan hanya mengharapkan yang terbaik", tetapi secara aktif berusaha untuk memastikan sesuatu berlaku, tambahnya.
“Kami faham bahawa kepentingan kami sebagai sebuah negara kecil paling baik dilindungi apabila peraturan terpakai sama rata kepada semua, dan kami mengambil langkah konkrit untuk menegakkan peraturan itu,” kata PM Wong, sambil menambah bahawa Singapura telah memainkan peranan yang membina dalam forum berbilang hala.
Singapura juga boleh berfungsi sebagai inkubator untuk mencetuskan idea dan inisiatif praktikal, tambahnya.
Dengan perjalanan pembangunannya,Singapura boleh menyokong pembangunan negara lain dengan berkongsi pengalamannya, kata PM Wong.
“Pendekatan kita tertumpu kepada usaha menyokong pembangunan modal insan, yang kami percaya adalah ramuan asas untuk kejayaan mana-mana negara,” tambah PM Wong.
"Dan kita melakukannya melalui program latihan dan lawatan sambil belajar untuk membina kapasiti dan memangkinkan perubahan."
Singapura akan terus memberi tumpuan kepada Asia Tenggara, tetapi juga akan memperuntukkan lebih banyak sumber untuk rakan-rakan kongsi yang berada lebih jauh di Afrika, Timur Tengah, Amerika Latin, Pasifik dan Caribbean, kata PM Wong.
INTEGRASI SERANTAU YANG LEBIH MENDALAM
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kekal sebagai pusat dasar luar Singapura, kata PM Wong.
"Dalam dunia yang berpecah belah, perpaduan serantau lebih penting daripada masa-masa sebelum ini," tambahnya.
Kekal bersatu padu dan proaktif akan membantu kesemua 10 anggota ASEAN mengharungi ketegangan geopolitik dan mengekalkan kerjasama kolektif, kata PM Wong.
Jika digabungkan, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia, kata PM Wong, sambil menambah bahawa keuntungan telah memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan.
"Tetapi kita tidak boleh dan kita tidak sepatutnya berhenti di sini. Kita perlu mempercepatkan usaha integrasi kita," katanya.
ASEAN harus menyasarkan 100 peratus penghapusan tarif di seluruh rantau ini dan meningkatkan perdagangan dalam perkumpulan serantau kita, tambah PM Wong.
Rantau ini harus mempertingkatkan perjanjian perdagangan bebas dengan rakan-rakan kongsi utama seperti China, India dan Republik Korea, dan mempercepatkan pembangunan grid tenaga ASEAN, kata PM Wong.
Grid itu akan membantu ASEAN beralih kepada tenaga hijau dengan lebih pantas, menarik pelaburan baharu, mewujudkan pekerjaan yang lebih baik dan mengukuhkan keselamatan tenaga ASEAN secara kolektif, tambahnya.
Apabila Singapura mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN pada 2027, yang akan menandakan ulang tahun ke-60 perkumpulan serantau ini, ia akan memperdalam integrasi serantau dan memastikan rantau ini kekal sebagai "tunggak penting dan diyakini" untuk keamanan dan kemakmuran di Asia, kata PM Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.