PM Wong bakal lakukan lawatan ke Bangkok bagi rahat pemimpin SG-Thailand
Perdana Menteri Lawrence Wong akan melakukan lawatan ke Bangkok pada Rabu (2 Sep) bagi menghadiri rahat pemimpin Singapura-Thailand yang pertama bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan melawat Bangkok pada 2 September untuk menghadiri rahat pemimpin bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
- Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama pertahanan, ekonomi, sosial serta meneroka bidang baharu seperti ekonomi hijau, digital dan tenaga boleh diperbaharui.
- Lawatan ini turut melibatkan pemeteraian perjanjian pembangunan sosial, jamuan rasmi, dan sidang media bersama, dengan kehadiran beberapa menteri Singapura.
- Rahat ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, menangani isu serantau, dan melengkapi mekanisme sedia ada antara Singapura dan Thailand.
Kedua-dua pemimpin tersebut akan meninjau kerjasama pertahanan dan ekonomi yang terjalin sejak sekian lama antara Singapura dengan Thailand, di samping meneroka bidang kerjasama baharu dalam ekonomi hijau dan digital, daya tahan tenaga, jaminan bekalan makanan serta usaha memerangi jenayah rentas negara, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan serantau dan antarabangsa.
Semasa rahat tersebut, Encik Wong akan diraikan dalam satu jamuan tengah hari tertutup yang dihoskan Encik Anutin. Kedua-dua negara dijangka memeterai satu perjanjian bagi memperdalamkan kerjasama dalam pembangunan sektor sosial. Satu sidang media bersama juga akan diadakan.
Encik Anutin juga akan menjadi tuan rumah bagi satu jamuan malam rasmi bagi meraikan Encik Wong.
Rahat tersebut merupakan yang pertama antara Encik Wong dengan Encik Anutin, dan rahat pemimpin Singapura-Thailand yang pertama sejak edisi sebelumnya diadakan di Singapura pada 2015.
Kunjungan Encik Wong itu menyusuli lawatan Encik Anutin ke Singapura pada November 2025, tidak lama selepas beliau mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand.
Rahat pemimpin tersebut merupakan wadah dua hala peringkat tertinggi antara Singapura dengan Thailand, yang melengkapi mekanisme sedia ada seperti wadah Hubungan Ekonomi Dipertingkat Singapura-Thailand dan Program Pertukaran Perkhidmatan Awam Singapura-Thailand.
Hubungan ekonomi antara kedua-dua negara terus berkembang, dengan perdagangan dua hala mencecah S$52.4 bilion pada 2025, meningkat 17.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Thailand merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Singapura dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2025, manakala Singapura kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing terbesar Thailand, bernilai AS$17.57 bilion (S$22.36 bilion).
Kedua-dua negara juga terus memperluaskan kerjasama dalam bidang-bidang baharu seperti perdagangan digital, pasaran karbon dan tenaga boleh diperbaharui.
Perdana Menteri Wong akan diiringi isterinya, Menteri Pertahanan Chan Chun Sing, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli serta Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.