PM Wong alu-alukan kerjasama rapat dengan Malaysia; tangani isu rumit sebagai 'jiran baik'
PM Singapura Lawrence Wong dan PM Malaysia Anwar Ibrahim berucap di sidang media bersama di Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia pada 4 Dis 2025.
Sambil meraikan peristiwa penting kedua-dua negara meraikan 60 tahun hubungan diplomatik, Encik Wong berkata beliau sentiasa menghargai perbincangan dan persahabatan dengan rakan sejawatannya, Encik Anwar dalam pertemuan mereka sebelum ini.
"Kami boleh mengadakan perbincangan secara terus terang dan membina, dan kami berdua memberi tumpuan kepada apa yang boleh kami capai bersama sebagai jiran yang rapat, teman baik dan demi manfaat kedua-dua rakyat kami," kata Encik Wong di Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12, yang berlangsung di hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore.
Encik Wong kemudian berkata beliau "sangat gembira kerana Malaysia secara rasmi bersetuju dengan cadangan Singapura untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak".
Di rahat itu, kedua-dua negara saling bertukar dua memorandum persefahaman mengenai kerjasama kesihatan dan membanteras perdagangan dadah, dan juga memeterai perjanjian mengenai Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor-Singapura.
Encik Wong kemudian berkata "masih ada isu-isu tertunggak" antara kedua-dua pihak, termasuk mengenai ruang udara, bekalan air dan penentuan sempadan laut.
Dengan peningkatan trafik udara di rantau itu, Singapura dan Malaysia perlu mengusahakan pengaturan tentang bagaimana untuk menguruskan keperluan kini dan masa depan kedua-dua pihak bagi memastikan lapangan terbang dapat beroperasi dengan selamat dan cekap.
Terdapat juga kepentingan bersama untuk meningkatkan hasil dan melindungi mutu air di Sungai Johor, kata Encik Wong.
Kedua-dua pihak mahu melindungi daripada perubahan cuaca ekstrem dan senario gangguan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat di Johor dan memenuhi keperluan Singapura seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Air 1962, katanya.
Encik Wong menambah kedua-dua pihak sudah memulakan perbincangan mengenai harga air mentah dan tidak dirawat "tanpa merugikan kedudukan satu sama lain".
Bagi penentuan sempadan maritim, para pegawai mendapat pemahaman lebih baik tentang pendirian masing-masing melalui beberapa pusingan rundingan, tetapi lebih banyak masa diperlukan bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Kesemua isu-isu dua hala yang tertunggak ini adalah isu rumit. Terdapat perbezaan dalam pandangan dan ia tidak mudah untuk diselesaikan," kata Encik Wong.
"Tetapi sebagai jiran yang baik, kita akan terus mendampingi satu sama lain dengan niat yang baik."
Para pegawai dari kedua-dua pihak akan meneruskan perbincangan, dan Singapura berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia untuk mencapai hasil yang positif dan berdaya tahan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara, katanya.
"Saya gembira dapat rakan kongsi seperti (PM Anwar) yang sama-sama komited dalam memastikan hubungan kita terus berkembang untuk beberapa tahun lagi yang akan datang," katanya Encik Wong.
"Saya mengalu-alukan kerjasama rapat bersamanya... bagi terus mengukuh kerjasama kita dan memartabatkan rakyat kedua-dua negara."
KEMAJUAN DALAM KERJASAMA EKONOMI, PENGANGKUTAN TENAGA
Encik Wong turut menekankan cara-cara di mana Singapura dan Malaysia mengukuhkan hubungan termasuk "kemajuan sangat baik" dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ).
Beliau menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura memperuntukkan pelaburan lebih S$5.5 bilion ke dalam SEZ sejak Januari 2024.
"Kami mengalu-alukan pengesahan Perjanjian SEZ, dan terdapat potensi besar untuk ia berkembang dengan lebih lanjut. Kami baru sahaja bermula," katanya.
"Potensinya jauh lebih besar di hadapan, terutama sekali dengan sambungan pengangkutan yang dipertingkat."
Berhubung hal-hal pengangkutan, perjanjian tambahan Laluan RTS yang dimeterai semasa rahat itu dapat bantu memudahkan persiapan bagi kemudahan imigresen bersama, antara lain.
Para pegawai juga sedang membincangkan penambahbaikan secara timbal balik bagi skim teksi rentas sempadan untuk menyediakan pilihan lebih mudah kepada para penumpang, kata Encik Wong, sambil menambah kedua-dua pihak sudah memperkenalkan inisiatif seperti lorong automatik dan pelepasan kastam QR bagi mengurangkan kesesakan.
Perkongsian tenaga antara Singapura dan Malaysia juga mendapat momentum yang baik, dengan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura memberikan kelulusan bersyarat kepada cadangan untuk mengimport bekalan elektrik rendah karbon dari Sarawak.
Beliau juga berkata terdapat rancangan untuk meluaskan keupayaan bagi perdagangan elektrik rentas sempadan melalui penyambung elektrik kedua.
"Projek-projek ini akan mendekatkan kita kepada masa depan rendah karbon, mewujudkan lebih banyak peluang, dan menyokong pembangunan Grid Kuasa ASEAN," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.