PM Wong akan hadiri sidang puncak ASEAN selama dua hari di Kuala Lumpur
Perdana Menteri Lawrence Wong melambai sebelum Sidang Puncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-12 di Vientiane, Laos, pada 11 Oktober 2024. (Gambar: AP/Dita Alangkara)
Sidang puncak itu adalah yang pertama daripada dua sidang yang dianjurkan oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.
Satu kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Ahad mengatakan tema sidang puncak tahun ini - Inklusiviti dan Kelestarian - menggariskan "agenda dan keutamaan yang berpandangan ke hadapan dalam membina ASEAN yang bersatu padu dan berdaya tahan di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ekonomi".
Para pemimpin akan mengesahkan semula komitmen mereka terhadap usaha integrasi dan pembinaan komuniti ASEAN, serta membincangkan cara-cara untuk terus mempromosikan "struktur serantau yang bebas, terbuka dan inklusif" dalam kalangan 10 negara anggota dan dengan rakan-rakan luar, tambahnya.
Perbincangan juga akan menyentuh cara untuk mengukuhkan daya tahan ASEAN dengan menjadikan perdagangan dalam rantau lebih lancar dan mencungkil bidang pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital dan hijau, kata kenyataan itu.
Selain itu, PM Wong dan rakan-rakan sejawatnya dijangka membincangkan cara-cara untuk memperluaskan penglibatan ASEAN dengan rakan-rakan luar, terutamanya dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China semasa sidang puncak ASEAN-GCC dan sidang puncak ASEAN-GCC-China pada Selasa.
GCC meliputi enam negara Arab, termasuk pengeluar minyak utama Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu dan Kuwait. Sidang puncak pada Selasa adalah kali kedua para pemimpin dari kedua-dua rantau bertemu selepas sidang puncak ASEAN-GCC pertama pada tahun 2023.
Kedua-dua blok serantau juga akan mengadakan mesyuarat tiga hala pertama mereka dengan China, yang diwakili oleh Perdana Menteri China Li Qiang.
Sidang puncak ASEAN selama dua hari itu berlangsung di tengah-tengah iklim ekonomi dan perdagangan global yang semakin tidak menentu, akibat tarif "Hari Pembebasan" Presiden Amerika Donald Trump.
Banyak ekonomi Asia Tenggara yang bergantung pada perdagangan dikenakan kadar tarif paling tinggi yang diumumkan pada 2 April. Tarif "timbal balik" itu ditangguhkan selama 90 hari sejak 9 April, tetapi ancaman berlakunya kegenjotan ekonomi masih membayangi rantau ini.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim telah menyeru disediakan satu pelan tindakan bersama ASEAN untuk menangani ancaman tarif tersebut. Di taklimat pra-sidang puncak, Encik Anwar berkata walaupun rundingan dua hala antara negara-negara anggota dengan Amerika Syarikat akan berterusan, perkumpulan itu mesti menunjukkan pendirian bersepadu, menurut laporan AFP.
Dalam lawatannya, PM Wong akan diiringi oleh isterinya Loo Tze Lui, serta Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.
Semasa ketiadaannya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong akan menjadi Pemangku Perdana Menteri pada 25 Mei dan 26 Mei.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam akan menjadi Pemangku Perdana Menteri pada 27 Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.