Skip to main content

Singapura

PM Wong akan hadiri Sidang Puncak ASEAN di Cebu

Perdana Menteri Lawrence Wong akan menghadiri Sidang Puncak ke-48 Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Jumaat (8 Mei) di Cebu.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wong akan hadiri Sidang Puncak ASEAN di Cebu

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong di Sidang Puncak ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia pada 28 Oktober 2025. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)

SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong akan menghadiri Sidang Puncak ke-48 Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Jumaat (8 Mei) di Cebu.

Dalam sidang pertama daripada dua sidang puncak yang dijangka diadakan pada tahun ini, yang dipengerusikan oleh Filipina, para pemimpin ASEAN akan membincangkan cara-cara untuk memperkukuh perdagangan, tenaga dan jaminan makanan di rantau ini.

Sidang puncak itu akan berlangsung di bawah tema "Menavigasi Masa Depan Kita, Bersama". Ia mencerminkan komitmen ASEAN untuk mengukuhkan integrasi dan kerjasama ekonomi serta menangani cabaran global yang semakin berkembang menerusi perpaduan dan kesepaduan, menurut Pejabat Perdana Menteri.

Semasa sidang tersebut, para pemimpin dijangka menegaskan semula perpaduan ASEAN dalam menangani kesan perkembangan di Timur Tengah serta penutupan Selat Hormuz terhadap rantau ini.

Persatuan itu, yang mempunyai 11 negara anggota, sedang meneroka kemungkinan mengeluarkan satu pengisytiharan berhubung kerjasama maritim, yang akan memperincikan prinsip serta kaedah bagi kerjasama maritim yang lebih kukuh.

Ia juga sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan utama bagi meningkatkan daya tahan serantau sebagai maklum balas terhadap implikasi situasi di Timur Tengah terhadap rantau ini.

Ini akan melibatkan usaha mengenal pasti senarai tindakan utama dalam bidang-bidang seperti jaminan tenaga, daya tahan kewangan, jaminan makanan, perdagangan dan rantaian bekalan, serta respons kemanusiaan.

Encik Wong akan mengadakan pertemuan dua hala dengan para pemimpin lain di luar sidang puncak tersebut. Beliau akan ditemani isterinya, serta diiringi Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.

Semasa ketiadaannya, K Shanmugam, iaitu Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, akan menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Perdana Menteri pada 7 Mei.

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong akan menjadi Pemangku Perdana Menteri dari 8 hingga 9 Mei.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita