Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Vietnam akan lawat SG atas undangan PM Lee; jelang ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Feb 2023 01:12PM Dikemas Kini : 07 Feb 2023 09:57PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh akan mengadakan lawatan rasmi yang pertama ke Singapura dari Rabu (8 Feb) hingga Jumaat atas undangan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Lawatan Encik Chinh diadakan sedang Singapura dan Vietnam bersiap sedia meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan juga ulang tahun ke-10 kerjasama strategik yang sudah terjalin, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) dalam kenyataannya pada Selasa (7 Feb).

Encik Chinh akan disambut dalam satu upacara beristiadat di Istana pada Khamis dan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Halimah Yacob dan PM Lee yang akan menghoskan satu jamuan tengah hari sempena lawatannya ke negara ini.

PM Vietnam itu juga akan mengunjungi pameran Smart Nation CityScape di Galeri Bandar Singapura.

"Kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian dua hala yang akan mengukuhkan lagi pelbagai kerjasama antara Singapura dan Vietnam, terutamanya dalam sektor digital dan ekonomi hijau," menurut MFA.

Encik Chinh juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong, Encik Teo Chee Hean, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.

Encik Chinh akan ditemani isterinya Cik Le Thi Bich Tran dan diiringi oleh para pegawai dari Vietnam.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan