PM New Zealand Jacinda Ardern rasmikan ukiran Maori di Taman di Persisiran

Arca Kūwaha di Cloud Forest di Taman di Persisiran pada 19 April 2022. (Gambar: Gardens by the Bay)
SINGAPURA: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden merasmikan sebuah ukiran Maori di Cloud Forest di Taman di Persisiran pada Selasa (19 April) sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Singapura selama tiga hari.
Arca Kūwaha itu adalah "ukiran Maori yang ditempah khas dan melambangkan pintu masuk yang simbolik - sebagai meraikan budaya, kepercayaan serta identiti", menurut Taman di Persisiran dalam kenyataan media.
Dengan dinamakan Tāne Te Waiora, arca itu melambangkan dan mengukuhkan lagi hubungan istimewa antara Singapura dengan New Zealand. Ia dibentuk daripada tiga kepingan kayu yang diperbuat daripada kayu totara dari Hutan Pureora di tengah Pulau Utara New Zealand.
Arca itu dihasilkan daripada sebatang pokok yang dianggarkan berusia lebih 2,500 tahun, yang "tumbang secara semula jadi" di dalam sebuah hutan semasa ribut dahsyat melanda, menurut Taman di Persisiran.
Arca yang berukuran setinggi 3.2 meter dan selebar 3.6 meter itu diukir oleh ketua pengukir James Rickard serta pakar pengukir Tommy Herbert dari Institut Seni dan Kraf Maori New Zealand.
Nama arca tersebut, Tāne Te Waiora, diterjemahkan kepada Tane yang bermaksud pemberi kehidupan, terang Taman di Persisiran.
Sumbangan arca Tāne Te Waiora tersebut kepada Cloud Forest dapat dilakukan dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi New Zealand, serta para penaja Fonterra, Tourism New Zealand dan Zespri, menurut Taman di Persisiran.
Ketua Pegawai Eksekutif Taman di Persisiran, Felix Loh, berkata seni dan budaya Maori mempunyai kepentingan yang mendalam dalam sejarah kebudayaan New Zealand.
"Kami berbesar hati kerana hadiah berharga ini ditempatkan secara tetap di pintu masuk Cloud Forest sebagai lambang kekal persahabatan erat antara kedua-dua negara kita," kata beliau.
Cik Ardern berada di Singapura sebagai sebahagian daripada misi perdagangan. Awal dari itu, beliau berada di Istana untuk bertemu dengan Presiden Halimah Yacob dan PM Lee. Ini adalah lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak pandemik COVID-19 melanda pada awal 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.