PM M'sia minta SG teliti kesan penambakan di sekitar Pedra Branca
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim meminta supaya Singapura meneliti setiap penambakan di sekitar kawasan Pedra Branca agar tidak memberi kesan kepada persekitaran dan persempadanan.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi kedaulatan Pedra Branca kepada Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Seah)
SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim meminta supaya Singapura meneliti setiap penambakan di sekitar kawasan Pedra Branca agar tidak memberi kesan kepada persekitaran dan persempadanan.
“Hal itu harus dimuktamadkan. Saya mendapat persetujuan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk mendengar hujah kita dalam masa terdekat,” katanya kepada media Malaysia di hujung lawatan rasmi ke Singapura hari ini (30 Jan).
Menurut Encik Anwar, Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meletakkan kawasan Pedra Branca sebagai milik Singapura, maka penambakan yang dilakukan Singapura adalah mengikut keputusan yang sah.
Semasa ditanya jika Malaysia tidak lagi bercadang untuk membuat rayuan berhubung keputusan ICJ itu, Encik Anwar berkata “Kita dah terlepas kesempatan itu.”
“Kita terpaksa terima keputusan ICJ, tetapi penafsiran, pentakrifan dan interpretasi persetujuan itu sedang kita bincang sejauh mana penambakan (di pihak Singapura) yang boleh dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun Encik Anwar berkata beliau mahukan supaya rundingan itu dilakukan secara baik antara dua negara sahabat.
Dalam merumuskan lawatan sehari beliau ke Singapura hari ini, Encik Anwar berkata kunjungan beliau dapat manfaatkan beberapa perkara temasuk isu-isu rundingan terus serta isu-isu sensitif, yang menurutnya boleh dibincangkan lagi dengan teliti, termasuk berkaitan isu pembekalan air.
Encik Anwar berkata terdapat kesediaan Singapura membuka perbincangan berkaitan isu air dengan perkiraan baru bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi negeri Johor dan Singapura, dan menurutnya rundingan penyumberan air boleh diperluas ke negeri Pahang.
Beliau berkata perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong turut menyentuh isu berkenaan kesesakan di Tambak Johor, yang disifatkan Encik Anwar sebagai menyusahkan ratusan ribu rakyat Malaysia dan juga rakyat Singapura ke Malaysia.
“Kami bersetuju untuk diperbaiki sementara. Kita perkenalkan sistem digital lebih canggih, tapi juga berikan kemudahan tambahan, terutamanya hujung minggu dan waktu pagi untuk pekerja-pekerja Malaysia yang terpaksa bangun pukul 4,00 pagi untuk mencari rezeki dan balik dalam kesusahan,” katanya, sambil menambah pihak Singapura turut setuju untuk memberikan kerjasama menanganinya.
Mengenai lalu lintas ruang udara, Encik Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menetapkan kawasan yang harus jadi hak mutlak Malaysia.
"Di samping itu Singapura bersedia berbincang supaya laluan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Changi tidak diganggu sesiapa, supaya dapat dimanfaatkan untuk laluan penerbangan republik itu,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.