Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM M'sia Anwar Ibrahim adakan lawatan ke SG 30 Jan

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan sehari ke Singapura pada Isnin (30 Jan), di mana beliau dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong akan menyaksikan pemeteraian perjanjian dalam bidang-bidang termasuk ekonomi hijau dan digital.

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Anwar Ibrahim adakan lawatan ke SG 30 Jan

(Gambar: Pejabat Perdana Menteri Malaysia)

Diterbitkan : 29 Jan 2023 04:42PM Dikemas Kini : 29 Jan 2023 11:08PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan sehari ke Singapura pada Isnin (30 Jan), di mana beliau dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong akan menyaksikan pemeteraian perjanjian dalam bidang-bidang termasuk ekonomi hijau dan digital.

Ini juga adalah lawatan pertama Encik Anwar ke Singapura sebagai PM Malaysia, sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada 24 November lalu.

Encik Anwar akan menghadiri majlis sambutan rasmi di Istana sebelum bertemu dengan Presiden Halimah Yacob dan PM Lee, yang juga akan menjadi tuan rumah bagi jamuan tengah hari dengan beliau, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Ahad. 

Sejenis bunga orkid hibrid juga akan diberi nama sempena isteri Encik Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semasa lawatan itu, PM Lee dan Encik Anwar akan menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian, menurut MFA.

Dua daripadanya merupakan perjanjian rangka kerja mengenai ekonomi digital dan ekonomi hijau antara Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Antarabangsa Malaysia.

Yang ketiga adalah memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital antara Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura dan Kementerian Perhubungan dan Digital Malaysia.

"Lawatan Perdana Menteri Anwar ke Singapura menggariskan hubungan rapat dan terjalin lama antara Singapura dengan Malaysia, dan kedua-dua rakyat kita," menurut MFA.

Encik Anwar akan diiringi oleh Menteri Ehwal Luar Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Perhubungan dan Digital Fahmi Fadzil.

Lawatan Encik Anwar menyusuli lawatan empat hari oleh Menteri Ehwal Luar Singapura ke Malaysia pada minggu lalu.

Dalam lawatannya, Dr Vivian Balakrishnan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Dr Zambry yang berkata kedua-duanya "komited" untuk meneruskan pendampingan positif menerusi mekanisme dua hala sedia ada.

Mereka juga menekankan huraian-huraian isu secara harmoni dan mencari huraian aman bagi mengekalkan hubungan dua hala kukuh antara Malaysia dengan Singapura.

Dr Balakrishnan memberitahu para wartawan di luar lawatannnya pada 17 Januari bahawa beliau yakin dengan "kemajuan ketara" dalam menyelesaikan dengan segera isu-isu dua hala yang tertunggak dengan Malaysia.

Beliau menambah bahawa rundingan akan datang antara pemimpin kedua-dua negara mungkin termasuk isu-isu dua hala yang tertunggak yang "kami fikir sudah tiba masanya untuk diselesaikan".

Lawatan Encik Anwar ke Singapura mungkin mengorak langkah kepada penyambungan semula Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia, iaitu satu wadah penting bagi pemimpin dari kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu dua hala dan meneroka bidang kerjasama baru.

Edisi seterusnya retreat itu, yang kali terakhir diadakan di Putrajaya pada 2019, akan dihoskan oleh Singapura.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan