PM Malaysia Anwar Ibrahim, pemimpin SG bincang isu penting dua hala
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membincangkan isu-isu penting dua hala dengan pemimpin Singapura termasuk hal ehwal sempadan dan maritim, tenaga boleh diperbaharui serta inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN sebelum menggulung lawatan kerja seharinya, pada Sabtu (31 Mei).
Encik Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 31 Mei 2025. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
Encik Anwar turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di Istana, lapor BH Online.
Beliau juga turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum berangkat pulang.
"Kami turut mengkaji semula projek-projek yang sedang berjalan seperti Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura, yang dijadualkan siap pada akhir 2026, dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan serantau," tulis Encik Anwar dalam catatannya di Facebook.
Menurut BH Online, Encik Anwar juga optimistik lawatan tersebut akan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara untuk faedah bersama.
Encik Wong pula berkata bahawa beliau berharap dapat meneruskan kerjasama rapat antara Malaysia dan Singapura demi manfaat rakyat kedua-dua negara jiran itu, menerusi satu catatan yang dimuatnaikkan ke Facebook.
Semasa lawatan itu, Encik Anwar menyampaikan perutusan khas ketika Dialog Shangri-La ke-22.
Beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dan Presiden Boeing Global Dr Brendan Nelson, lapor BH Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.