Skip to main content

Singapura

PM Lee umum Menteri Kewangan Lawrence Wong sebagai ketua pasukan 4G

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Apr 2022 08:05PM Dikemas Kini : 14 Apr 2022 11:11PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pada Khamis (14 Apr) bahawa Menteri Kewangan Lawrence Wong akan menerajui kepimpinan Generasi Keempat (4G) Singapura. 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), PM Lee berkata: "Selepas mengadakan proses rundingan, menteri Kabinet hari ini mengesahkan Menteri Lawrence Wong sebagai pilihan mereka sebagai ketua pasukan 4G.

"Keputusan ini disokong oleh semua Anggota Parlimen Pemerintah dalam satu kokus Parti Tindakan Rakyat (PAP) petang tadi." 

Setelah bertemu dengan para menteri, PM Lee bertanya mantan Menteri Kabinet dan Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) Khaw Boon Wan untuk memulakan proses yang melibatkan Menteri, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng. 

"Mr Khaw bertemu setiap seorang daripada mereka secara peribadi untuk mendapatkan pandangan masing-masing dan bagi mendapatkan muafakat baru mengenai pemimpin 4G. 

"Pandangan Perdana Menteri dan kedua-dua Menteri Kanan tidak diminta." 

Encik Khaw mendapati "majoriti besar" daripada mereka yang diminta pandangan masing-masing menyokong Encik Wong sebagai ketua pasukan 4G, menurut kenyataan tersebut. 

Awal sebelum itu (14 Apr), Encik Khaw memberikan taklimat kepada Menteri Kabinet serta Speaker Parlimen dan juga Setiausaha Agung NTUC tentang hasil dapatannya dan semua menyokong keputusan untuk Encik Wong menerajui pasukan tersebut. 

Dengan keputusan itu, PM Lee akan membuat perubahan pada pelantikan Kabinet, yang akan diumumkan dalam masa terdekat. 

"Keputusan penggantian ini adalah penting untuk Singapura. Ia akan memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan yang menjadi tunjang sistem kami. 

"Para Menteri sedia maklum bahawa hak untuk memimpin bukanlah sesuatu yang diwarisi. Encik Lawrence Wong dan pasukannya yang lebih muda akan terus memberikan yang terbaik kepada rakyat Singapura dan menjunjung kepercayaan dan sokongan mereka." 

Pada November lalu, PM Lee mendedahkan bahawa pasukan 4G memerlukan "sedikit masa lagi" untuk memilih pemimpin negara yang seterusnya dan keputusan itu akan dibuat sebelum pilihan raya seterusnya. 

"Dengan keadaan semakin stabil, menentukan pengganti saya akan menjadi perkara penting yang tidak boleh ditangguhkan selama-lamanya," ujar PM Lee semasa berucap di Konvensyen PAP 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec. 

"Pasukan 4G memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat keputusan. Namun, saya yakin bahawa satu keputusan akan dicapai sebelum Pilihan Raya Umum seterusnya." 

Calon untuk menggantikan PM Lee yang kini berusia 70 tahun menjadi tanda tanya sejak Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengundurkan diri sebagai pemimpin 4G PAP pada April tahun lalu.

Encik Heng yang berusia 60 tahun merujuk kepada usianya sebagai sebab di sebalik keputusannya itu dan berpendapat bahawa beliau "tidak mempunyai masa yang secukupnya" untuk menyandang tugas sebagai Perdana Menteri selepas pandemik. 

PM Lee yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP merancang untuk melepaskan  jawatan tersebut apabila mencecah usia 70 tahun, namun berkata bahawa beliau akan terus berkhidmat disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita