PM Lee umum barisan Kabinet baru; Masagos Zulkifli, Ong Ye Kung & Lawrence Wong diberi portfolio baru
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan barisan Kabinet Singapura yang baru pada Sabtu (25 Jul), 15 hari selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi 61.24 peratus undi dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2020.
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan barisan Kabinet Singapura yang baru pada Sabtu (25 Jul), 15 hari selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi 61.24 peratus undi dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2020.
Tiga penyandang jawatan politik akan bersara, manakala enam yang lain bakal dinaikkan pangkat. Selain itu, akan ada tujuh penyandang jawatan politik yang baru. Semua perubahan ini akan berkuat kuasa 27 Jul melainkan dinyatakan sebaliknya.
Encik Lee akan terus memimpin negara sebagai Perdana Menteri.
Encik Heng Swee Keat mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan selepas beliau dinaikkan pangkat kepada Timbalan Perdana Menteri pada Mei tahun lalu. Encik Heng juga akan menyandang tugas sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi.
Encik Teo Chee Hean akan terus menyandang jawatan sebagai Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara manakala Encik Tharman Shanmugaratnam kekal selaku Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.
Encik Lee berkata Kabinet baru bermatlamat untuk mengimbangi kesinambungan, pendedahan dan pembaharuan serta menjadi sebuah pasukan yang akan memimpin Singapura mengharungi krisis-krisis kesihatan awam dan ekonomi selain mencarta masa depan negara.
"Pertama, kesinambungan. Dalam waktu-waktu biasa, kita memerlukan barisan menteri berpengalaman untuk menerajui tampuk kepimpinan yang stabil serta juga membimbing para menteri muda. Dalam krisis ini, keperluan ini bahkan semakin genting," tambah beliau sambil menarik perhatian bahawa menteri-menteri mapan seperti Encik Gan Kim Yong dan Encik K Shanmugam akan kekal dalam Kabinet.
"Kedua, saya akan menggilirkan menteri terutamanya yang muda untuk mendapatkan pendedahan dan mencedok pengalaman. Kami kerap melakukannya semasa rombakan Kabinet dan tujuannya adalah untuk mendedahkan penjawat politik kepada portfolio berbeza, untuk meraih kedua-dua bidang dan memperluaskan pemahaman dan kesulitan isu-isu serta melihatnya daripada perspektif berlainan. Hakikatnya, daripada perspektif peringkat nasional.
"Ketiga, saya akan memperbaharui barisan menteri dan membawa masuk anggota baru serta menaikkan pangkat beberapa pemegang jawatan politik yang lebih muda dan Anggota Parlimen yang belum menyandang jawatan politik tetapi sudah memperlihatkan prestasi yang baik.
"Saya juga akan membawa masuk muka-muka baru daripada Anggota Parlimen baru dilantik, termasuk sebilangan daripada sektor privet dan salah seorang daripada mereka sebagai menteri penuh. Mereka akan memperkukuhkan pasukan saya dan menyuntik idea serta perspektif baru."
Secara keseluruhannya, Kabinet baru akan membariskan 37 pemegang jawatan politik, sama seperti Kabinet yang lalu.
PELANTIKAN MENTERI
- Cik Grace Fu akan dilantik sebagai Menteri Kemampanan dan Sekitaran. (Kementerian Sekitaran dan Sumber Air akan dinamakan semula sebagai Kementerian Kemampanan dan Sekitaran.) Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia;
- Encik Lawrence Wong akan dilantik menjadi Menteri Pendidikan. Beliau akan kekal sebagai Menteri Kedua Kewangan dan melepaskan jawatan selaku Menteri Pembangunan Negara;
- Encik Masagos Zulkifli akan dilantik sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan. Beliau kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan akan melepaskan portfolionya selaku Menteri Sekitaran dan Sumber Air.
- Encik Ong Ye Kung akan dilantik selaku Menteri Pengangkutan. Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan;
- Encik Desmond Lee akan dilantik menjadi Menteri Pembangunan Negara. Beliau akan melepaskan kedudukannya sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga tetapi tetap kekal dalam kementerian itu dan pada masa yang sama dilantik selaku Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial;
- Cik Indranee Rajah akan dilantik sebagai Menteri Kedua Pembangunan Negara. Beliau akan melepaskan jawatannya selaku Menteri Kedua Pendidikan. Beliau akan dikekalkan sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan juga Menteri Kedua Kewangan;
- Dr Tan See Leng akan dilantik menjadi Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.
NAIK PANGKAT
- Dr Maliki Osman akan dinaikkan pangkat ke Menteri penuh. Beliau akan dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar. Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Datuk Bandar CDC Tenggara;
- Encik Edwin Tong akan dinaikkan pangkat ke Menteri penuh. Beliau akan dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang;
- Encik Zaqy Mohamad akan dinaikkan pangkat ke Menteri Negara Kanan. Beliau dikekalkan di Kementerian Tenaga Manusia dan akan menggalas tugas tambahan di Kementerian Pertahanan;
- Cik Low Yen Ling akan dinaikkan pangkat ke Menteri Negara dan akan menyandang jawatan baru di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan. Beliau akan melepaskan jawatannya di Kementerian Tenaga Manusia serta Kementerian Pendidikan. Beliau juga akan kekal sebagai Datuk Bandar CDC Barat Daya.
- Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim akan dinaikkan pangkat ke Menteri Negara dan menggalas jawatan baru di Kementerian Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Negara. Beliau akan melepaskan jawatannya di Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga;
- Cik Sun Xueling akan dinaikkan pangkat ke Menteri Negara. Beliau akan memikul jawatan baru di Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga. Beliau akan melepaskan jawatannya di Kementerian Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Negara.
PELANTIKAN POLITIK LAIN
- Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan menggalas jawatan tambahan sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi;
- Dr Amy Khor akan dilantik sebagai Menteri Negara Kanan Pengangkutan. Beliau akan kekal di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran;
- Cik Sim Ann akan dilantik sebagai Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara. Beliau akan dikekalkan di Kementerian Perhubungan dan Penerangan tetapi melepaskan jawatannya di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia;
- Encik Chee Hong Tat akan dilantik sebagai Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pengangkutan. Beliau akan melepaskan jawatannya di Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan;
- Dr Janil Puthucheary akan dilantik selaku Menteri Negara Kanan Kesihatan. Beliau dikekalkan di Kementerian Perhubungan dan Penerangan tetapi akan melepaskan jawatannya di Kementerian Pengangkutan;
- Dr Koh Poh Koon akan dilantik sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Kesihatan. Beliau akan melepaskan jawatannya di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.
PEMEGANG JAWATAN POLITIK BARU
- Cik Gan Siow Huang akan dilantik sebagai Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia;
- Encik Alvin Tan akan dilantik sebagai Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan berkuat kuasa 1 Sep;
- Encik Desmond Tan akan dilantik sebagai Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran;
- Encik Tan Kiat How akan dilantik sebagai Menteri Negara di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Negara. Beliau juga akan menyandang jawatan selaku Pengerusi REACH;
- Encik Eric Chua akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga;
- Cik Rahayu Mahzam pula akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kesihatan berkuat kuasa 1 Sep.
DATUK-DATUK BANDAR
- Encik Alex Yam akan dilantik sebagai Datuk Bandar CDC Barat Laut;
- Encik Mohd Fahmi Aliman akan dilantik sebagai Datuk Bandar CDC Tenggara.
Terdapat beberapa muka baru dalam Kabinet selepas mantan Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan bersara daripada politik selepas berkhidmat selama 19 tahun. Portfolio pengangkutan beliau akan disandang oleh Encik Ong Ye Kung.
Dr Maliki Osman dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade yang baru, Dr Tan See Leng, menggantikan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
Encik Ng, bersama-sama dengan Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Pengangkutan Lam Pin Min, mantan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin serta peguam Raymond Lye, bertanding di GRC Sengkang dalam GE2020.
Pasukan daripada Parti Pekerja (WP) memenangi kawasan undi itu setelah memperolehi 52.13 peratus undi dalam pilihan raya tersebut.
Upacara Angkat Sumpah Jawatan bagi Kabinet dan pemegang jawatan politik lain akan berlangsung pada 27 Jul, 7.00 malam, di Istana dan Bangunan Parlimen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.