PM Lee ucap tahniah kepada Presiden Xi dilantik semula sebagai pemimpin Parti Komunis
(Gambar fail: Lintao Zhang/AFP)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (25 Okt) mengucapkan tahniah kepada Presiden China Xi Jinping kerana dilantik semula sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China (CPC).
PM Lee juga mengutuskan surat tahniah kepada anggota baru Jawatankuasa Tetap Biro Politik Li Qiang, yang dijangka menjadi perdana menteri baru China.
"Saya mengucapkan tahniah atas pelantikan semula anda sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China dan kejayaan Kongres Nasional ke-20 CPC," kata PM Lee dalam suratnya kepada Encik Xi.
"Anda terus menerajui CPC dan China pada tempoh penting dalam pembangunan China di tengah-tengah persekitaran sejagat yang rumit.
"Saya yakin di bawah kepimpinan anda, China akan terus maju ke arah matlamat jangka panjangnya, mengharungi cabaran dan menikmati kestabilan dan kemajuan pada tahun-tahun akan datang."
PM Lee menyentuh tentang hubungan diplomatik antara Singapura dengan China dan menyatakan kedua-dua negara harus terus bekerjasama.
"Singapura dan China menjalin hubungan luar biasa bersandarkan pertukaran peringkat tinggi dan kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua pihak," kata PM Lee.
"Kerjasama dua hala kita sudah berubah sepanjang beberapa tahun dan berkembang ke bidang-bidang baru, sejajar dengan keutamaan pembangunan masing-masing."
"Kita harus terus bekerjasama untuk meluaskan dan mendalami kerjasama kita pada tahun-tahun mendatang."
Mengakhiri suratnya, PM Lee menulis: "Saya berharap dapat bertemu dengan anda dalam masa terdekat dan bekerjasama dengan anda dan rakan sekerja anda untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara. Saya harapkan anda kekal sihat dan selalu berjaya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.