PM Lee ucap tahniah kepada PM New Zealand Chris Hipkins
Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (25 Jan) mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari New Zealand, Chris Hipkins dan menyampaikan ucap selamat kepada Jacinda Ardern.

(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (25 Jan) mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari New Zealand, Chris Hipkins dan menyampaikan ucap selamat kepada Jacinda Ardern.
Pemimpin Parti Buruh itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri New Zealand pada Rabu menyusuli peletakan jawatan Cik Ardern.
Cik Ardern berkata pada minggu lalu bahawa beliau tidak lagi berdaya untuk menggalas tugas itu dan akan meletakkan jawatan.
Dalam surat ucapan tahniahnya kepada Encik Hipkins, Encik Lee berkata Singapura dan New Zealand mempunyai hubungan persahabatan yang terjalin lama dan kukuh.
"Sebagai ekonomi kecil dan terbuka, kami berkongsi pandangan serupa dalam banyak isu, seperti peri pentingnya perdagangan bebas dan undang-undang antarabangsa," katanya.
Kedua-dua negara mempunyai kerjasama dalam pelbagai bidang merentasi lima tunjang Perjanjian Dipertingkat seperti perdagangan, pertahanan, sains dan teknologi, program pertukaran penduduk dan perubahan iklim.
"Kedua-dua negara juga saling menyokong semasa pandemik COVID-19 termasuk memastikan rantaiann bekalan kekal terhubung dan kerap berkongsi pengalaman masing-masing," kata Encik Lee.
"Saya mengalu-alukan kerjasama dengan anda untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang cemerlang, dan mengucapkan maju jaya kepada anda dan kerajaan anda."
Dalam surat perpisahan kepada Cik Ardern, Encik Lee berkata beliau terharu apabila mendapat tahu mengenai keputusannya untuk meletak jawatan, meskipun beliau memahami sepenuhnya sebab Cik Ardern berbuat demikian.
"Seperti ramai yang lain, saya rasa tersentuh apabila menyaksikan kenyataan ikhlas dan peribadi anda apabila mengumumkan keputusan itu," katanya.
"Saya harap selepas anda menyerahkan tugas anda, anda dapat berehat dan menyumbang terus kepada kehidupan awam dalam cara yang lain."
Encik Lee menulis dalam surat itu bahawa Cik Ardern memimpin New Zealand pada waktu yang mencabar dan tidak menentu.
Beliau memimpin negara itu dengan belas ihsan, kekuatan dan kebaikan hati melalui pelbagai krisis", termasuk serangan Christchurch, letusan gunung White Island dan pandemik COVID-19.
"Anda menjadi inspirasi terutama sekali kepada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan, bukan sahaja di New Zealand tetapi di seluruh dunia.
"Anda menunjukkan bahawa sikap empati dan keberanian dapat saling wujud dalam kepimpinan politik," kata Encik Lee.
Hubungan antara Singapura dengan New Zealand bertambah kukuh ketika tempoh pentadiran beliau sebagai perdana menteri.
"Anda seorang sahabat baik kepada Singapura. Harap maklum bahawa anda dan keluarga anda sentiasa dialu-alukan di Singapura. Saya doakan yang terbaik untuk anda, Clarke dan Neve," kata PM Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.