PM Lee ucap tahniah kepada bakal PM New Zealand Christopher Luxon
Pemimpin Parti Nasional Christopher Luxon di Auckland pada 14 Oktober 2023, selepas pilihan raya umum New Zealand 2023. (Gambar fail: AFP/Ivan Tarlton)
Parti Nasional pimpinan Encik Luxon memenangi jumlah kerusi yang mencukupi dalam pilihan raya umum pada Sabtu di New Zealand untuk mentadbir negara itu dengan kerjasama parti ACT.
"Bagi pihak pemerintah Singapura, saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana memimpin Parti Nasional untuk memenangi pilihan raya umum itu," ujar PM Lee dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada Encik Luxon.
"Saya yakin New Zealand akan berkembang di bawah kepimpinan anda di tengah-tengah keadaan yang tidak menentu akan datang."
PM Lee menarik perhatian tentang hubungan dua hala yang rapat dan lama terjalin antara kedua-dua negara, yang berlandaskan Kerjasama Dipertingkat Singapura-New Zealand.
"Sebagai rakan kongsi yang berfikiran sama, kami berganding bahu menjalankan banyak inisiatif seperti Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik (P4) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Digital (DEPA)," kata PM Lee.
"Saya berbesar hati yang kedua-dua pihak sedang mempertingkatkan kerjasama dalam memperkukuhkan daya tahan rantaian bekalan, yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak dalam sekitaran serantau yang semakin mencabar dan rumit."
Encik Lee mengalu-alukan kerjasama dengan Encik Luxon untuk memantapkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
Encik Lee juga berkata beliau tidak sabar untuk bertemu dengan Encik Luxon tidak lama lagi. Kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu adalah pada Jun 2022, semasa lawatan Encik Luxon ke Singapura.
"Saya mengharapkan kejayaan bagi anda dan pemerintah anda."
Kemenangan Encik Luxon menamatkan pemerintahan enam tahun Parti Buruh yang berhaluan tengah, yang diketuai oleh Perdana Menteri Chris Hipkins.
Encik Hipkins telah menggantikan Cik Jacinda Ardern sebagai pemimpin New Zealand pada Januari lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.