Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee ucap tahniah kepada Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee ucap tahniah kepada Anwar Ibrahim

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Nov 2022 09:49PM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 09:49PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (24 Nov) mengucapkan tahniah kepada Encik Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

"Tahniah saya ucapkan atas kejayaan anda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Tahniah juga kepada Pakatan Harapan atas prestasi kukuhnya dalam Pilihan Raya Umum," tulis PM Lee dalam suratnya kepada Encik Anwar.

Salinan surat itu diberikan kepada media oleh Kementerian Ehwal Luar.

Dalam surat tersebut, PM Lee memberitahu perdana menteri baru itu pelantikan beliau disahkan di tengah-tengah cabaran besar dalam sekitaran serantau dan sejagat.

"Sebagai jiran dekat dan sebagai rakan, Singapura dan Malaysia harus bekerjasama untuk menangani cabaran-cabaran ini dan meneroka peluang-peluang baru bagi kerjasama," kata PM Lee.

PM Lee menarik perhatian bahawa kedua-dua negara berkongsi hubungan penting yang panjang, "disokong oleh hubungan bersejarah, kerjasama berbilang pihak dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara."

"Sepanjang pandemik COVID-19, kedua-dua negara kita merupakan rakan yang saling mendukung antara satu sama lain. Kerjasama rapat antara antara para menteri dan pegawai kita membolehkan kita mengekalkan aliran keluar masuk barangan dan pekerja, serta membuka semula sempadan kita dengan pantas dan berkesan," tulis PM Lee.

PM Lee menambah: "Kita juga rakan kerjasama ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia), yang kekal sebagai keutamaan bagi kestabilan di Asia Tenggara di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak."

Beliau berkata kerjasama dua hala kedua-dua negara juga sudah diperluas meliputi "bidang-bidang yang baru muncul".

"Dua perjanjian rangka kerja dua hala baru-baru ini mengenai ekonomi hijau dan digital akan mewujudkan peluang-peluang baru untuk perniagaan dan rakyat kita.

"Sementara hubungan perdagangan dan pelaburan kita bertenaga, kita masih boleh melakukan lebih banyak lagi untuk mempertingkat keterbukaan, kestabilan dan ketersambungan hubungan dua hala kita untuk saling menguntungkan," kata PM Lee.

Menggulung suratnya, PM Lee berkata beliau menantikan untuk bertemu dengan Encik Anwar tidak lama lagi untuk membincangkan isu-isu bersama yang dihadapi kedua-dua negara dan "bagaimana kita boleh terus melanjutkan hubungan dua hala ini".

"Ho Ching dan saya mengharapkan anda dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah sentiasa sihat dan bahagian," kata PM Lee.
Sumber : Today/NK/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa