Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee tuntut ganti rugi kes fitnah penulis TOC; defendan gagal hadiri perbicaraan

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menuntut ganti rugi daripada penulis The Online Citizen (TOC) atas kes fitnah melibatkan sebuah artikel yang berkali-kali mengulangi dakwaan yang dibuat terhadap PM Lee oleh adik-beradiknya. 

Anggaran Waktu Membaca:
00:52 Min
Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menuntut ganti rugi daripada penulis The Online Citizen (TOC) atas kes fitnah melibatkan sebuah artikel yang berkali-kali mengulangi dakwaan yang dibuat terhadap PM Lee oleh adik-beradiknya. 
Diterbitkan : 31 May 2021 02:02PM Dikemas Kini : 31 May 2021 08:56PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menuntut ganti rugi daripada penulis The Online Citizen (TOC) atas kes fitnah melibatkan sebuah artikel yang berkali-kali mengulangi dakwaan yang dibuat terhadap PM Lee oleh adik-beradiknya.

Penulis TOC Rubaashini Shunmuganathan, yang sudah berkali-kali diberikan surat mahkamah sejak Disember 2019, sekali lagi tidak menghadiri perbicaraan ringkas untuk menilai ganti rugi yang diadakan melalui kaedah Zoom pada Isnin (31 Mei).

Peguam PM Lee, Peguam Kanan Davinder Singh, memberitahu mahkamah bahawa seorang wakil sudahpun pergi ke alamat rumah Cik Rubaashini di Selangor, Malaysia. Seorang lelaki yang mendakwa beliau adalah saudara lelakinya berkata Cik Rubaashini tidak lagi tinggal di situ sejak awal tahun ini.

Cik Rubaashini tidak hadir untuk tuntutan mahkamah dan dia boleh disaman atas perbuatan fitnah yang dilakukan pada 31 Disember 2019. Kes fitnah itu terkandung dalam artikel yang ditulis Cik Rubaashini di laman TOC pada 15 Ogos 2019, bertajuk: "Isteri PM Lee, Ho Ching anehnya berkongsi artikel tentang memutuskan tali persaudaraan dengan anggota keluarga".

Dalam rencana itu, Cik Rubaashini merujuk kepada catatan oleh Cik Ho, isteri PM Lee. Cik Ho berkongsi sebuah artikel bertajuk "Here's Why Sometimes It Is Okay to Cut Ties with Toxic Family Members".

Cik Rubaashini menulis tentang "persengketaan keluarga Lee" antara PM Lee dan adik-beradiknya, Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling, atas rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road.

Dalam artikel tersebut, beliau mengulangi dakwaan oleh adik PM Lee, Dr Lee Wei Ling yang mendakwa PM Lee "memperdayakan" mendiang Lee Kuan Yew bahawa rumah mereka di Oxley Road sudah diwartakan oleh pemerintah Singapura dan ini kononnya mendorong mendiang Encik Lee untuk menyerahkan rumah tersebut kepada PM Lee.

Cik Rubaashini juga menukil dakwaan oleh dua beradik itu bahawa Perdana Menteri mahu menyimpan rumah tersebut "untuk mewarisi kewibawaan dan ketokohan (Lee Kuan Yew)".

Hadir di mahkamah melalui Zoom, PM Lee berkata dalam afidavitnya bahawa Cik Rubaashini langsung tidak mengambil langkah-langkah untuk mengesahkan sama ada dakwaan itu adalah benar.

Menurut dokumen mahkamah, editor TOC Terry Xu menghubungi Cik Rubaashini menerusi aplikasi Slack, pada 15 Ogos 2019 untuk mengongsikan catatan Facebook oleh Cik Ho. Encik Xu juga sudah disaman oleh PM Lee berhubung penerbitan rencana yang menyinggung perasaan itu.

Dalam mesejnya kepada Cik Rubaashini, Encik Xu berkata beliau "memerlukan penulis kreatif" dan wanita itu membalas beberapa jam kemudian dengan draf rencana tersebut. Encik Xu kemudian menjawab dengan berkata "sangat baik! tiada suntingan diperlukan" sebelum rencana itu kemudian diterbitkan.

PM Lee mengatakan bahawa artikel itu mengandungi "tuduhan-tuduhan sensasi" terhadapnya yang mungkin "menarik banyak perhatian dan menjadi tular di Internet serta di lelaman rangkaian sosial".

"Artikel itu dengan jelas dirancang untuk menarik sebanyak mungkin pembaca dalam kalangan rakyat Singapura kerana serangannya terhadap saya serta kejujuran dan integriti saya," ujar beliau.

Para peguam PM Lee dari Davinder Singh Chambers menghantar surat kepada Cik Rubaashini pada Oktober 2019, memintanya mengambil langkah-langkah segera untuk menurunkan artikel itu dari lelaman tersebut dan menerbitkan permintaan maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Cik Rubaashini bagaimanapun tidak mengendahkan surat itu, serta kiriman emel, pesanan-pesanan mesej yang dikirimkan oleh para peguam PM Lee di Facebook and LinkedIn miliknya.

Server proses dari firma guaman Malaysia menyampaikan Writ Saman, Penyataan Tuntutan dan dokumen lain mengenai Cik Rubaashini secara peribadi pada 4 Disember 2019 tetapi dia tidak hadir untuk tuntutan itu.

SIAPA RUBAASHINI SHUNMUGANATHAN?

Menurut Encik Timothy Lin, pengarah di Davinder Singh Chambers, beliau percaya Cik Rubaashini menggunakan sebuah akaun LinkedIn yang menyatakan dia adalah seorang penulis dan penolong editor di TOC.

Mahkamah diberitahu dia masih menulis untuk TOC, Laman profil LinkedIn milik Cik Rubaashini menyatakan dia berasal dari Selangor, Malaysia, dan menuntut di Universiti Cardiff dari 2014 hingga 2015, kata Encik Lin. 

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan