PM Lee tiba di Guangzhou untuk lawatan rasmi 6 hari
SINGAPURA: Hubungan Singapura-China menjadi tumpuan lawatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong ke China.
Beliau mendarat di Guangzhou petang Isnin (27 Mac) untuk memulakan lawatan rasmi enam hari ke negara itu.
Semasa rangka lawatan tersebut, PM Lee akan bertemu dengan pemimpin utama China, termasuk Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri baru, Li Qiang.
Lawatan PM Lee dilakukan sedang China berusaha merancakkan semula ekonominya selepas ia melonggarkan langkah-langkah kawalan COVID-19 dan membuka semula sempadannya.
Guangzhou adalah antara sembilan bandar dalam wilayah Guangdong yang merangkumi Kawasan Teluk Raya termasuk Hong Kong dan Macau.
China mahu membangunkan kawasan itu menjadi pusat teknologi utamanya.
Kali terakhir PM Lee melawat Guangzhou ialah pada 2014.
Beliau dijangka mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Parti Guangdong, Huang Kunming.
Encik Lee kemudian akan menyampaikan ucapan di Forum Bo'ao.
Forum di pulau Hainan itu, yang akan dihadiri para pemimpin dunia lain, adalah acara tahunan China bagi membincangkan isu-isu ekonomi, serupa seperti Forum Davos di Switzerland.
Selepas itu, Encik Lee akan ke Beijing untuk bertemu dengan Presiden Xi Jinping.
Kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu adalah di luar sidang puncak APEC di Bangkok, November lalu.
PM Lee juga akan bertemu Perdana Menteri baru China, Li Qiang.
Kali terakhir mereka bertemu adalah pada 2018 semasa Encik Li Qiang menjadi ketua parti di Shanghai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.