Skip to main content

Singapura

PM Lee terima Anugerah Negarawan Dunia yang mengiktiraf keharmonian agama S'pura

Dasar dan amalan S'pura berhasil dalam menyatupadukan rakyatnya dan mengukuhkan identiti negara ini selama berdekad-dekad lamanya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (23 Sep). Namun, tambahnya, cabaran-cabaran tetap wujud yang boleh menjejas usaha negara ini untuk menggalak keharmonian.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee terima Anugerah Negarawan Dunia yang mengiktiraf keharmonian agama S'pura

PM Lee menyampaikan ucapan selepas menerima Anugerah Negarawan Dunia

Diterbitkan : 24 Sep 2019 12:59PM Dikemas Kini : 24 Sep 2019 01:05PM

NEW YORK: Dasar dan amalan Singapura berhasil dalam menyatupadukan rakyatnya dan mengukuhkan identiti negara ini selama berdekad-dekad lamanya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (23 Sep).

Namun, cabaran-cabaran tetap wujud tambahnya, dan ini boleh menjejas usaha negara ini untuk menggalak keharmonian kaum dan agama.

Encik Lee berkata demikian semasa berucap di majlis jamuan malam tahunan Appeal of Conscience Foundation di New York. Di majlis itu, beliau diiktiraf dengan Anugerah Negarawan Dunia berprestij.

Anugerah oleh yayasan antara agama yang berpangkalan di New York itu mengiktiraf individu yang menyokong keamanan, kemakmuran dan kebebasan, serta menggalakkan tolak ansur, harga diri dan hak asasi kemanusiaan di dalam dan luar negara menerusi kerjasama dengan para pemimpin dunia lain.

Presiden yayasan tersebut berkata Encik Lee diiktiraf kerana memupuk sebuah masyarakat yang mendakapi kepelbagiaan kaum dengan masyarakat berbilang bangsanya mengekalkan cara hidup tersendiri dalam keadaan kehidupan yang harmoni.

Encik Lee juga diiktiraf kerana menyokong ekonomi berteraskan ilmu, sebuah sistem pendidikan yang menyediakan warga Singapura dengan kemahiran yang diperlukan untuk hidup dalam sekitaran global yang berdaya saing serta melaksanakan prasarana jagaan kesihatan bertaraf dunia.

PENGARUH LUAR KEKAL WUJUD

Namun, Singapura kekal terdedah kepada pengaruh luar, memandangkan ia sebuah masyarakat terbuka yang kecil. Tambahan itu, media sosial telah mengubah cara orang ramai berkomunikasi dan ini adalah cabaran yang boleh menjejas usaha negara ini untuk menggalakkan keharmonian kaum dan agama selain sifat tolak ansur dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.

"Kita tidak boleh membenarkan pihak yang menyebarkan pandangan toksik dan berbahaya di Internet daripada terlepas daripada apa yang mungkin satu pembunuhan. Pengawalan Internet adalah usaha yang tiada hentinya, namun kita mesti terus mengemas kini undang-undang dan mencari langkah pencegahan baru dan berkesan," kata beliau.

Encik Lee menjelaskan media sosial membolehkan pandangan provokatif berleluasa dan mendapat sokongan, sambil menambah bahawa ia kini amat mudah untuk mencetuskan kemarahan pihak lain.

Lantaran itu, Singapura meluluskan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) yang memberikan kuasa kepada Pemerintah dan mahkamah untuk mengarahkan pembetulan sebarang kepalsuan atau salah maklumat online, mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang sengaja menyebarkan kepalsuan serta menangani lelaman yang memberikan mereka wadah untuk melakukan sedemikan.

Dalam ucapannya Encik Lee berkata meskipun penyejagatan membolehkan warga Singapura belajar daripada tempat-tempat lain, tindakan itu juga boleh membawa masuk pertikaian dan masalah dari negara asing yang boleh mengganggu perpaduan negara.

PEMERINTAH TIDAK BOLEH WUJUDKAN KEHARMONIAN SECARA SENDIRIAN

Satu lagi cabaran yang diketengahkan Encik Lee adalah kepercayaan lebih mendalam di kalangan kumpulan-kumpulan agama, sesuatu yang disifatkannya sebagai "fenomena sedunia".

"Semua orang di merata dunia lebih menitikberatkan agama dan lebih tekun mengamalkannya," tambah beliau yang menekankan "ini bukan satu masalah" kerana agama boleh membimbing seseorang dan memberikan makna dan matlamat dalam hidup.

"Namun sedang seseorang itu lebih meyakini kepercayaannya sendiri, kita tidak boleh terbawa-bawa hingga tidak menghormati kepercayaan atau tuhan orang lain."

Beliau menambah: "Di Singapura kami sangat menentang amalan bersifat eksklusif yang menghambat individu berbilang kaum berinteraksi antara satu sama lain sebagai warga negara."

Perdana Menteri itu juga memberi amaran tentang keganasan yang menyalahgunakan nama agama atau kaum, dan menyifatkannya sebagai "bahaya nyata dan sedia ada".

Beliau menggesa rakyat Singapura supaya bersatu teguh sebagai sebuah negara jika serangan sedemikian berlaku, sambil menambah Singapura sentiasa mengemas kini usahanya untuk melindungi negara daripada ancaman sedemikian.

"Namun akan sentiasa wujud pihak-pihak yang menyelewengkan dan menyalahgunakan agama untuk mewajarkan keganasan," tambah beliau.

"Bahaya serangan pengganas terus wujud, sama ada dari ISIS atau Al-Qaeda, atau individu yang terpesong yang menjadi radikal akibat propaganda ekstrem yang ditemuinya online."

Beliau menekankan Pemerintah tidak boleh mewujudkan keharmonian agama secara bersendirian.

"Suara-suara bertanggungjawab perlu lantang, tampil menjadi teladan dan menyebarkan mesej tolak ansur dan hormat," kata Encik Lee, yang juga menukil badan-badan seperti Appeal of Conscience Foundation sebagai contoh penggiat usaha sedemikian.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita