PM Lee: Tenaga kerja mahir, pemimpin berkebolehan penting jayakan visi Negara Bijak
Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggariskan tiga perkara untuk menjayakan visi Singapura menjadi sebuah Negara Bijak.
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggariskan tiga perkara untuk menjayakan visi Singapura menjadi sebuah Negara Bijak.
Beliau berkongsi perkara itu dalam ucapan pembukaannnya di Sidang Negara Bijak yang berlangsung di Pusat Expo & Konvensyen Sands hari ini (26 Jun).
Menurut PM Lee, perkara pertama adalah memastikan Singapura mempunyai tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknologi.
Beliau berkata, meskipun terdapat syarikat-syarikat berbilang negara seperti Google dan Facebook yang membawa kepakaran mereka ke sini, adalah penting untuk mengasah bakat generasi muda bermula dari bangku sekolah di samping menggalak syarikat-syarikat kecil dan sederhana untuk mendakapi kemahiran teknologi.
Kedua, kata Encik Lee, Singapura memerlukan para pemimpin yang berkebolehan yang mampu memastikan keupayaaan para kakitangannya terus diasah.
Ini, tambahnya, akan memastikan generasi muda terus dibimbing dan akan membolehkan mereka mengambil langkah-langkah wajar dalam pembangunan teknologi.
Akhir sekali, PM Lee menarik perhatian, masyarakat Singapura perlu bersedia untuk meneroka bidang sains dan teknologi. Ini juga bermakna, mereka memahami risiko penggunaan teknologi yang berleluasa dan tidak berasa terancam.
PM Lee menekankan, sekiranya masyarakat anti-sains atau anti-teknologi, ia akan hanya menghambat kemajuan negara.
Beliau turut menyentuh tentang peri pentingnya sektor awam dan swasta bekerjasama mencapai visi Negara Bijak.
"Kami yakin dapat mencapai visi Negara Bijak. Ia strategi penting jika Singapura ingin terus menjadi sebuah negara yang maju seperti pusat-pusat kreativiti manusia dan perusahaan di Amerika, Asia, Eropah atau mana-mana di dunia."ujar beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.