Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee tegaskan komitmen SG sokong peranan WHO pertingkat kesihatan sejagat

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee tegaskan komitmen SG sokong peranan WHO pertingkat kesihatan sejagat

(Gambar: Instagram/leehsienloong)

BERITAmediacorp: Singapura komited dalam usahanya untuk membangunkan sistem jagaan kesihatan negara ini dan membuat pelaburan bagi memastikan kesihatan serta mutu kehidupan lebih baik buat semua rakyatnya.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan peranan yang dimainkan Singapura sedang negara ini terus menyokong tunggak utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menggalak dan mempertingkatkan kesihatan awam.

Beliau berkata demikian sempena ulang tahun ke-75 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini (7 Apr), yang juga jatuh pada Hari Kesihatan Sedunia.

Dalam catatannya di Instagram, PM Lee turut menarik perhatian kepada peranan penting yang digalas WHO sebagai badan penguasa global yang mengawal selia dan menyelaraskan kerja-kerja kesihatan antarabangsa.
Menurut PM Lee, WHO memainkan peranan besar dalam menggalak kesihatan awam dan menangani krisis kemanusiaan sejagat.

Sepanjang 75 tahun ia ditubuhkan, WHO berjaya menghimpunkan negara-negara anggota untuk berpadu tenaga meningkatkan akses kepada jagaan kesihatan buat semua warga dunia dan umat manusia membuat persiapan bagi menghadapi sebarang penularan penyakit berjangkit.

Dalam catatannya itu, PM Lee turut menggariskan antara usaha Singapura dalam menyokong WHO.

"Sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura mengambil bahagian secara aktif dalam WHO serta bekerjasama dengannya untuk menggalak dan merangsang kesihatan awam," ujar PM Lee.

PM Lee juga memberi contoh usaha Kementerian Kesihatan (MOH) pada tahun lalu dalam menyuntik pembaharuan besar pada sistem jagaan kesihatan negara dengan melancarkan SG Lebih Sihat atau 'Healthier SG'.

Ia bermatlamat untuk membantu rakyat Singapura mengambil langkah-langkah ke arah usaha meningkatkan tahap kesihatan mereka. Program SG Lebih Sihat, kata PM Lee, selaras dengan visi WHO iaitu "Kesihatan untuk Semua".

PM Lee menekankan, Singapura amat menyokong peranan WHO dalam usaha pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik.

Beliau juga berkongsi bahawa Singapura berbangga dapat menyumbang kepakaran teknikalnya kepada kumpulan pakar WHO dan akan "terus menyokong kerja baik" pertubuhan itu.

PM Lee mengakhiri catatan tersebut dengan mengucapkan tahniah kepada WHO atas "pencapaian cemerlangnya" selama ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan