PM Lee seru rakyat SG pertahankan reputasi negara di peringkat global
Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi ucapan di Parlimen pada 19 April 2023 sewaktu perbahasan mengenai ucapan Presiden Halimah Yacob. (Gambar: MCI)
SINGAPURA: Rakyat Singapura mesti berusaha untuk mempertahankan reputasi dan kedudukan Singapura di persada antarabangsa, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Parlimen pada Rabu (19 Apr).
Antaranya, rakyat Singapura terkenal di mata dunia sebagai cekap, berkemahiran dan bekerja keras. Mereka juga dikenali kerana menunaikan komitmen mereka.
Pemimpin-pemimpin negara turut berucap dengan mandat dan kuasa untuk melakukan apa yang dikatakan kerana mereka mempunyai sokongan dan keyakinan rakyat, kata PM Lee sewaktu Parlimen membahaskan Amanat Presiden Halimah Yacob ketika merasmikan pembukaan sesi kedua Parlimen pada minggu lalu.
Rakyat Singapura juga membuat sumbangan yang bermakna kepada isu-isu global.
PM Lee turut memberikan contoh bagaimana Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam mempengerusikan bersama suruhanjaya global mengenai tadbir urus air.
Atas sebab-sebab itu, keyakinan dan kepercayaan terhadap jenama Singapura berkembang maju dan merupakan "aset berharga dalam dunia yang serba tidak menentu", tegas PM Lee.
Beliau menyeru semua rakyat Singapura supaya memelihara dan mempertahankan reputasi Singapura, khususnya semasa mereka berada di luar negara.
"Manfaatkanlah jenama Singapura, tetapi ingat, jangan mencemarinya.
"Teruskan usaha untuk mempertingkatkannya bagi generasi-generasi akan datang. Reputasi antarabangsa yang tinggi akan membawa kelebihan yang sangat ketara bagi Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.