PM Lee sertai 450 jemaah dan tetamu berbuka puasa di Masjid Al-Amin
SINGAPURA: Sekitar 450 jemaah dan para tetamu berbuka puasa bersama-sama Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (22 Mac) di Masjid Al-Amin.
Ia merupakan lawatan pertama PM Lee ke masjid itu yang baru selesai jalani kerja-kerja naik taraf.
Para hadirin termasuk pemimpin masyarakat dan masjid serta pemimpin kumpulan silang agama dari Harmony Circle.
Majlis itu berjalan lancar dengan para tetamu dijamu dengan nasi minyak bersama daging kambing kurma dan ayam goreng.
Majlis berbuka puasa anjuran MUIS dengan kerjasama pihak masjid itu juga cukup istimewa kerana ia diadakan di Masjid Al-Amin yang baru sahaja dibuka sepenuhnya pada bulan lalu setelah selesai kerja naik taraf.
Dalam kesempatan itu juga, PM Lee dibawa melihat beberapa pembaharuan di masjid itu termasuk di ruang solat utama.
Beliau juga dapat berinteraksi dengan beberapa relawan dan kakitangan masjid.
PM Lee disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir.
PM LEE KAGUM DENGAN KERJA-KERJA NAIK TARAF MASJID AL-AMIN
Dalam wawancara bersama pihak media, Encik Masagos berkongsi bahawa PM Lee kagum dengan kerja-kerja naik taraf yang dilakukan di dalam dan di sekeliling masjid.
Ia menurutnya satu pendekatan yang baik untuk para jemaah.
"Perdana Menteri sangat kagum dengan renovasi yang telah dilakukan, apa lagi ubah suai ini yang bukan hanya mencantikkan dalaman masjid tetapi juga sekaligus mengambil kira sekeliling masjid ini, iaitu Mount Faber," kongsi Encik Masagos kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Kehijauan yang ada di sekelilingnya dapat dinikmati oleh jemaah apabila mereka mengunjungi dan bersembahyang di masjid ini. Beliau merasakan ini adalah satu pendekatan yang baik kerana masjid tidak selalu tertutup, dan sekaligus (jemaah) dapat menikmati kehijauan di sekelilingnya," tambahnya.
SEMANGAT SUKARELAWAN DIRAIKAN
Pada masa yang sama, beliau juga memuji para relawan masjid, baik yang baharu mahupun yang lama atas sumbangan mereka.
"Saya gembira kerana ramai yang datang bukan hanya sukarelawan yang telah lama berjasa di sini malah, mereka yang dulu pernah bersukarelawan di masjid ini yang sudah pindah tetapi kembali ke masjid untuk nostalgia," ujar Encik Masagos.
"Mereka merasakan ikatan yang kuat kepada masjid ini dan semangat sukarelawan adalah satu semangat yang kita raikan dan masjid-masjid di Singapura itu semua terus tumbuh dan dijaga rapi dan jemaah dapat khidmat yang terbaik hanya kerana para sukarelawan gigih berjasa dan memberikan yang terbaik untuk mereka," tambahnya.
Para jemaah dan kakitangan masjid yang ditemui BERITA Mediacorp juga seronok dapat kembali ke masjid dan mengalu-alukan pembaharuan itu dan gembira dengan hasil kerja-kerja naik taraf yang siap tepat pada masanya untuk Ramadan.
Ia termasuk pembaharuan kepada dewan serba guna yang kini berhawa dingin serta ruang solat dua tingkat yang dicat semula dan dilengkapi dengan karpet baharu.
KAKITANGAN DAN JEMAAH MASJID ALU-ALUKAN PEMBAHARUAN
Ia boleh menampung lebih 2,500 jemaah lelaki di tingkat 2 dan lebih 800 jemaah wanita di tingkat 3.
"Kelas-kelas kita ada banyak perbezaan. Kawasan dalam masjid ini sudah nampak sangat luas. Dahulu tidak seluas seperti ini dan untuk kaum wanita, ada tempat khas juga," kongsi seorang guru ngaji Masjid Al-Amin, Ustazah Norlia Bahauddin.
"Alhamdulillah, tidak dapat dikatakan sebagai mana gemilangnya cahaya lampu (di masjid) ini, begitulah perasaan saya," luahnya lagi.
"Kalau kita bandingkan (masjid) sekarang ini, megah dan sangat luar biasa dan saya sangat kagum dengan apa yang sudah dibina untuk sekarang ini," kongsi jemaah tetap masjid itu pula, Mohd Esa Muin, 77 tahun.
"Terutamanya, permaidani ini yang nampaknya terang dan luas. Dahulu, permaidaninya gelap, jadi nampak macam malap dan dinding begitu juga. Sekarang ini keadaan terang dengan permaidani yang luar biasa," tambahnya.
INGIN LUASKAN PROGRAM-PROGRAM DI MASJID AL-AMIN
Dengan pembaharuan itu, pihak masjid juga berharap dapat meluaskan lagi program-programnya.
Ia antaranya termasuk program inovatif dan kreatif yang menerapkan teknologi terkini, pantri masyarakat untuk golongan memerlukan serta rumah terbuka untuk lawatan masyarakat bukan Islam pada Mei ini.
"Masjid Al-Amin sudah selesai menaiktarafkan bangunan. Prasarana dan kawasan yang lebih luas dan lebih cantik. Lebih mudah, dan ruang yang lebih selesa untuk jemaah datang solat," kongsi Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Al-Amin, Khalid Shukur.
"Kita ingin memberikan pendekatan kepada pihak yang berkepentingan supaya kita dapat bekerjasama lagi. Kita juga akan adakan lebih banyak program dan aktiviti untuk menarik lebih ramai jemaah untuk belajar di masjid ini dan mengadakan kelas di sini," kongsi Encik Khalid.
Pihak masjid juga merancang untuk mengadakan aktiviti untuk tarik lebih ramai golongan belia ke masjid.
"Kita juga akan mulakan program selanjutnya di mana kita akan adakan pantri masyarakat dan juga adakan hab belia yang saya rasa sangat baik untuk masyarakat kita terutama untuk keluarga muda," tambahnya.
Untuk itu, pihak masjid amat mengalu-alukan idea-idea baharu agar dapat kekal relevan dan mampan untuk generasi seterusnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.