PM Lee: 'Saya ada tanggungjawab awam untuk pastikan Pemerintah beri respons tegas kepada dakwaan palsu'
Walaupun agensi awam mengumumkan sesebuah artikel itu adalah berita palsu, ia masih tidak sama seperti justifikasi di mahkamah.
SINGAPURA: Walaupun agensi awam mengumumkan sesebuah artikel itu adalah berita palsu, ia masih tidak sama seperti justifikasi di mahkamah.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian semasa disoal balas dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan beliau terhadap penulis blog, Leong Sze Hian.
Perbicaraan itu bermula hari ini (6 Okt), dua tahun selepas Encik Leong mengongsikan satu rencana di Facebook yang mendakwa bahawa PM Lee membantu perbuatan pengubahan wang haram dari dana pelaburan strategik Malaysia, 1MDB.
Peguam bela Encik Lim Tean mempersoalkan sama ada perbicaraan itu perlu diadakan kerana pemerintah sudah mengambil langkah-langkah untuk menyanggah dakwaan dalam artikel yang dikongsikan Encik Leong pada 2018.
Encik Lim berkata saman fitnah itu lebih merupakan satu percubaan untuk melindungi integriti pemerintah dan bukan pihak menuntut atau plaintif.
PM Lee bagaimanapun berkata beliau mempunyai tanggungjawab awam untuk memastikan pemerintah memberikan respons tegas kepada dakwaan palsu.
Beliau menambah bahawa beliau mempunyai tanggungjawab peribadi untuk melindungi nama baiknya.
PM Lee berkata "pemerintah akan bercakap bagi pihak pemerintah sendiri dan beliau akan mempertahankan dirinya sendiri".
Peguam bela kemudian bertanya mengapa PM Lee memilih untuk hanya mengambil tindakan terhadap Encik Leong sementara membiarkan dua laman web yang menerbitkan rencana itu, "bebas".
Encik Lim menambah ada lagi ribuan orang yang mengongsikan artikel itu.
PM Lee menerangkan memandangkan laman-laman itu berpangkalan di luar negara, mereka di luar jangkauan dan Encik Leong sendiri menyifatkan dirinya sebagai laman web utama bagi kebanyakan isu Singapura.
Merujuk kepada kenyataan Encik Lim bahawa anak guamnya tidak bertindak dengan niat jahat, PM Lee berkata Encik Leong menarik perhatian kepada kes itu walaupun selepas menghapuskan catatan itu.
Encik Leong melakukan beberapa hal seperti melakukan wawancara dan perbuatan itu sendiri menjadikannya lebih teruk.
Perbicaraan itu disambung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.